Motosikal kembara Morbidelli T1002VX kini di Malaysia – RM53,888

Morbidelli T1002VX 03

Di samping SYM Husky ADV 300 dan VOGE CU525, MForce Bike Holdings turut melancarkan motosikal kembara Morbidelli T1002VX ke pasaran tempatan.

Boleh didapati dalam warna hitam dan putih, T1002VX dipacu oleh enjin V-twin 80 darjah bersesaran 997 cc yang mampu menghamburkan 88.5 hp pada 7,750 rpm dan 89 Nm pada 5,250 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac slipper. Masa pecutan 0-100 km/j tidak diketahui namun menurut Morbidelli, motosikal ini mampu mencapai kelajuan maksimum 198 km/j.

Dari segi saiz, T1002VX mempunyai ukuran panjang 2,313 mm, jarak roda 1,581 mm dan ketinggian tempat duduk yang mencecah 820 mm.

Selain itu, ia didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 20 liter, manakala berat keseluruhannya adalah 265 kg. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 120/70 R19 di depan dan 170/60 R17 di belakang.

Untuk casis, ia menggunakan kerangka jenis double cradle yang digandingkan dengan sistem suspensi boleh laras sepenuhnya daripada KYB yang terdiri daripada fork USD dan penyerap hentak multilink.

Kuasa membrek pula dibekalkan oleh angkup J.Juan (empat piston di depan, satu piston di belakang) yang ditugaskan untuk mencengkam cakera berkembar 320 mm di depan dan cakera tunggal 260 mm di belakang.

Untuk sistem elektronik pula, terdapat empat mod tunggangan (Standard, Sport, Rainy Days, dan Off-Road), kawalan pendikit elektronik (ETC), Ride-by-Wire, ABS Pro, Traction Control dan Tyre Pressure Monitoring System.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuk lampu LED depan dan belakang, paparan TFT berukuran tujuh inci, port pengecas USB, pemanas tangan dan tempat duduk, serta penghadang angin boleh laras.

Selain itu, T1002VX didatangkan dengan tiga kotak barangan, masing-masing berkapasiti 50, 42 dan 36 liter, serta sistem sambungan MBP Connect.

T1002VX dijual pada harga RM53,888 namun 200 pelanggan pertama akan menikmati harga istimewa iaitu RM48,888.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved