Jaecoo Malaysia jual 7,041 unit J7 dalam tempoh lima bulan

Jaecoo Malaysia mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 7,041 unit Jaecoo J7 dalam tempoh lima bulan pertama selepas ia dilancarkan pada Julai tahun lalu.
Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek, berkata, “Kami menghargai kepercayaan yang dipamerkan oleh pelanggan kami terhadap jenama Jaecoo dan kami terus bertekad untuk menunaikan janji jenama kami dengan membawakan kenderaan yang terbaik dalam kelasnya dan pengalaman pemilikan premium.”
Berikutan kejayaan model J7 dan C9 pada 2024, Jaecoo Malaysia berhasrat untuk memperkenalkan lebih banyak model baru di 2025 sejajar dengan misinya untuk menyediakan rangkaian kenderaan mewah yang mampu dimiliki dalam pasaran automotif.
Usaha syarikat itu akan akan dimulakan dengan pelancaran J7 PHEV pada Februari 2025. Sebagai persiapan untuk pelancarannya, SUV itu akan memulakan cabaran pemanduan jarak jauh merentasi tiga negara iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand dengan satu tangki minyak penuh dan sekali cas.
Dalam pada itu, bagi menghargai pencapaian rangkaian pengedarnya, Jaecoo telah mengiktiraf 12 pengedar cemerlang di majlis anugerah pengedar pertamanya.
Dalam majlis tersebut, Auto Galaksi yang berpangkalan di Johor telah membawa pulang piala hasil daripada pencapaian jualan tertinggi dalam rangkaian.
Turut diiktiraf di majlis anugerah pengedar itu termasuk Gagner Auto, ES Premium Holdings, Luxury Legend, Siang Hin (KL), Apple Autotech, Kluster Automobile, Carshen, AAW Nexus, BH Premium Auto, Indah Utara Enterprise dan Tropical Impact Auto.
“Anugerah ini sesungguhnya mengiktiraf rangkaian pengedar kami yang memainkan peranan penting dalam pencapaian keseluruhan jenama JAECOO. Kami akan terus meluaskan rangkaian pengedar kami, selaras dengan cita-cita kami untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan,” kata Emily.
Dalam usaha mengenal pasti peluang pertumbuhan selanjutnya, Jaecoo akan meluaskan kaedah penilaiannya untuk mengambil kira skor Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) Terbaik dan Indeks Kepuasan Jualan (SSI) antara lain pada tahun yang mendatang.