Petron Malaysia melakar sejarah dengan pembukaan stesen minyaknya yang ke-800 iaitu Petron Pedas-Linggi Layby Southbound (arah selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan.
Menurut syarikat itu, pembukaan stesen seluas 4,047 kaki persegi itu tepat pada masanya bagi menampung peningkatan trafik sempena cuti persekolahan serta perayaan yang akan datang pada bulan Januari.
Selain produk bahan api seperti Blaze 100 Euro 4M, Blaze 97 Euro 4M, Blaze 95 Euro 4M, Turbo Diesel Euro 5 dan Diesel Max Euro 5, stesen minyak ini juga menempatkan kedai Treats di mana pelanggan boleh mendapatkan Dunkin’ dan Costa Coffee, serta menggunakan mesin ATM.
Stesen minyak ini juga merupakan stesen Petron pertama yang dilengkapi dengan kioks Quick Treats di kawasan pam stesen, membolehkan pelanggan membeli minuman dan makanan ringan dengan mudah dan cepat.
Sama seperti kedai Treats yang lain, Treats di stesen minyak ini menyediakan rak untuk barangan keluaran tempatan di bawah inisiatif ‘Sapot Lokal’ yang menyediakan ruang kepada usahawan tempatan untuk menjual produk mereka.
Selain daripada memperluaskan perniagaan, Petron Malaysia juga memberi tumpuan kepada komitmen kelestariannya. Cawangan Pedas-Linggi arah selatan ini dilengkapi dengan teknologi hijau seperti tempat tadahan air hujan, kuasa solar untuk mengurangkan pelepasan karbon, serta penggunaan bahan binaan mesra alam.
“Di Petron, pembukaan stesen minyak kami yang ke-800 ini menandakan pengakhiran yang hebat buat tahun 2024 dan permulaan yang cemerlang untuk 2025. Ini membuktikan komitmen kami dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti kepada lebih ramai rakyat Malaysia selain daripada memenuhi keperluan bahan api mereka,” kata Mohd Nizam Mansor, Pengurus Besar Petron Malaysia.