Diskaun tol 50% pada 27 & 28 Januari sempena Tahun Baru Cina

Walau apa jua isu melibatkan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), ia diharap dapat diselesaikan dengan bijak demi kepentingan pengguna. - Foto ihsan PLUS

Pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun 50% pada 27 dan 28 Januari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada 24 Januari.

Dalam kenyataan tersebut, diskaun ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa)

Ia khusus bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

“Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023,” kata Nanta.

Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024.

Untuk pemberian diskaun ini, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

‘’Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.

‘’Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,’’ tambahnya.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved