Jaecoo J7 PHEV versi CKD mula dikeluarkan di Shah Alam

Jaecoo Malaysia mengumumkan bahawa unit pertama J7 PHEV pemasangan tempatan (CKD) telah pun mula keluar dari kilang pemasangannya di Shah Alam.
Menurut Jaecoo Malaysia, SUV itu akan dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan menjelang akhir bulan ini.
“Kami percaya Jaecoo J7 PHEV menepati selera pasaran tempatan untuk satu alternatif di antara segmen enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV) yang menawarkan yang terbaik dari dua teknologi itu menerusi Super Hybrid System atau SHS,” kata Emily Lek, Naib Presiden Jaecoo Malaysia.
“Memandangkan ekosistem EV Malaysia terus berkembang, Jaecoo berbesar hati menawarkan lebih ketenangan fikiran kepada pengguna yang ingin beralihi kepada mobiliti tenaga hibrid,” tambah Emily.
J7 PHEV dikuasakan oleh gabungan enjin 1.5-liter TGDI, transmisi hibrid DHT satu kelajuan dan bateri LFP Blade berkapasiti 18.3 kW yang memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS (255 kW) dan 525 Nm.
Bateri berkenaan menyokong pengecasan AC 6.6 kW yang boleh mengecas dari 30% hingga 80% dalam masa tiga jam dan pengecasan DC 40 kW yang memerlukan hanya 20 minit untuk pengecasan sama.
Sebagai alternatif, pemilik juga boleh menggunakan soket kediaman tiga pin 230 V yang mengambil masa kira-kira 8.5 jam untuk pengecasan penuh.
Baru-baru ini, J7 PHEV berjaya menempuhi perjalanan jarak jauh dari Singapura ke Hatyai, Thailand, melalui Malaysia dengan satu tangki minyak dan cas, dan mencatatkan jarak WLTP melebihi 1,200 km.