Manchester United ingin Perodua jadi penaja jersi

Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris Manchester United telah mendekati jenama automotif tempatan Perodua bagi perbincangan mengenai potensi tajaan.
Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin yang berkata pihaknya sedang menilai tawaran daripada juara EPL 20 kali itu.
“Baru-baru ini, saya ada menerima surat daripada Manchester United yang bertanya sama ada mereka boleh memaparkan logo Perodua pada jersi mereka dan sama ada kami berminat untuk menaja mereka.
“Saya biasanya tidak berkongsi perkara seperti ini secara terbuka, tetapi secara peribadi, saya sebenarnya penyokong Arsenal. Kalau saya buat begitu, rasa macam tak adil untuk Arsenal,” katanya secara berseloroh.
Ketika ditanya mengenai minat Perodua dalam penajaan sukan, khususnya bola sepak tempatan, Asmat berkata minat daripada Manchester United menunjukkan syarikat itu semakin dikenali di peringkat antarabangsa.
“Kami akan mempertimbangkannya, terutama untuk bola sepak di Malaysia,” katanya.