Harga rasmi BMW 530i M Sport, MINI Countryman S ALL4 diumumkan

02. The All-New Locally Assembled BMW 530i M Sport

BMW Group Malaysia telah mengumumkan harga rasmi bagi dua model pemasangan tempatan baharu iaitu BMW 530i M Sport dan MINI Countryman S ALL4.

Menurut syarikat itu, kedua-dua model berkenaan kini boleh didapati di semua pengedar sah BMW dan MINI di seluruh negara.

BMW 530i M Sport

Diperkenalkan di Malaysia pada Januari lalu, 530i M Sport dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder turbo yang digandingkan dengan sistem hibrid ringkas (mild hybrid) 48V.

Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 258 PS dan 400 Nm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan. Ini membolehkan sedan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.2 saat.

Antara kelengkapan yang disertakan secara standard termasuk pakej BMW Iconic Glow pada gril, rim rekaan jejari bintang 938M berukuran 20 inci, lampu hadapan LED adaptif, stereng M dengan balutan kulit, serta paparan melengkung yang menempatkan kluster instrumen 12.3 inci dan paparan kawalan skrin sentuh 14.9 inci.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) 530i M Sport CKD bermula dari RM399,800 atau RM430,100 dengan waranti lanjutan lima tahun dan pakej servis.

MINI Countryman S ALL4

 

Sementara itu, MINI Countryman S ALL4 didatangkan dengan lampu hadapan LED dengan bantuan pancaran tinggi dan tiga lampu utama boleh laras, rim 20 inci Windmill dua tona dan lampu belakang LED.

Ruang dalamannya pula dilengkapi dengan Favoured Trim yang merangkumi upholsteri tekstil yang diperbuat daripada fabrik poliester kitar semula dua tona melalui proses tenunan.

Memacu Countryman S ALL4 adalah enjin turbo 2.0-liter yang menghasilkan 204 hp dan 300 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem ALL4 All-Wheel-Drive, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 228 km/j.

Countryman S ALL4 dijual pada harga RM258,888. Jika pembeli menambah pakej waranti dan servis lanjutan, harga tersebut menjadi RM269,288.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved