Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd mengumumkan bahawa ia akan mula mengeksport kenderaan ke pasaran Asia Tenggara tahun ini, sekali gus menjadikannya jenama China pertama yang mengeksport keluar dari Malaysia.
Menurut syarikat itu, langkah ini juga selaras dengan visi Chery bagi menjadikan Malaysia sebagai hub produksi bagi rantau ini.
Fasa pertama eksport melibatkan model SUV enjin pembakaran dalaman (ICE) dan plug-in hybrid (PHEV) Jaecoo ke Vietnam, diikuti dengan lebih banyak model ke pasaran-pasaran lain seperti Thailand, Brunei, Filipina dan Singapura.
Leo Chen, naib presiden Chery Corporate Malaysia berkata syarikat itu sedang berkembang dengan baik ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab produksi dan R&D di Asia Tenggara.
“Langkah memperluaskan eksport ini akan memperkukuh kapasiti pengeluaran kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini.
“Selain itu, Chery teruja untuk memainkan peranan dalam merangsang ekonomi Malaysia, membangunkan bakat tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan kami,” katanya.
Pengeluaran untuk pasaran eksport Asia Tenggara disokong oleh fasiliti pengeluaran Chery Corporate Malaysia di Shah Alam, Selangor. Sebagai persediaan meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi pertumbuhan masa depan, Chery turut menjalinkan kerjasama strategik dengan kilang pemasangan tempatan lain di Malaysia.
Untuk tahun 2024, Chery Group mencatat jualan melebihi 2.6 juta kenderaan, meningkat 38.4% berbanding tahun sebelum itu. Eksport pula mencecah 1.1 juta unit, naik 21.4% berbanding 2023.