Kini anda boleh tukar lesen PDL ke lesen CDL melalui aplikasi MyJPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa permohonan pertukaran Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ bermula hari ini (7 Februari).
Menurut Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli, pengenalan fungsi baharu tersebut bertujuan memudahkan borang ramai membuat permohonan CDL secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.
Dengan adanya fungsi baharu ini, seramai 2,383,043 pemegang lesen PDL boleh melaksanakan permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi telefon pintar mereka.
Berikut adalah cara melakukan permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ:
- Muat turun atau kemas kini aplikasi MyJPJ ke versi terkini
- Log masuk ke akaun MyJPJ anda
- Pilih menu “Permohonan CDL”
- Pilih “Tempoh Pembaharuan”
- Pilih “Mod Bayaran” dan bayar fi permohonan secara dalam talian
- Permohonan anda akan diproses dan anda akan menerima notifikasi status permohonan
“JPJ Malaysia berharap inisiatif ini akan mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital tanpa mengambil masa yang lama, seterusnya menjadi salah satu usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan kaunter.
“Pihak JPJ sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.