Chery Smart Auto Industrial Park bernilai RM2.2 bilion dijangka siap dibina menjelang 2026

Photo 1 – Groundbreaking Ceremony

Legenda Beringin Holding dan Chery Corporate Malaysia baru-baru ini menandatangani perjanjian dan melakukan upacara pecah tanah bagi pembinaan Chery Smart Auto Industrial Park di Beringin High-Tech Auto Valley (Beringin HTA Valley).

Menurut Chery Malaysia, Chery Smart Auto Industrial Park menjadi asas dalam pembangunan fasa pertama ekosistem Beringin HTA Valley seluas 800 ekar.

Dengan keluasan 200 ekar, pembangunan Chery Smart Auto Industrial Park sejajar dengan visi berfasa Beringin HTA Valley dalam membangunkan perbandaran bersepadu yang boleh menarik bakat, pelaburan dan inovasi ke Hulu Selangor. Ia juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri automotif serantau.

Projek yang dijangka siap pada 2026 ini mempunyai kapasiti pengeluaran awal sebanyak 100,000 kenderaan setahun, dengan potensi untuk meningkat kepada 300,000 kenderaan setahun. Ia melibatkan pelaburan dan sumbangan berjumlah RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun.

Tanah yang selebihnya akan diperuntukkan untuk pembangunan lain yang menyokong visi dalam mendirikan hab untuk inovasi automotif, bekalan rantaian, latihan vokasional dan kemajuan teknologi di rantau ini.

“Chery berbangga menjadi sebahagian daripada pembangunan berwawasan ini, di mana kami akan menubuhkan kemudahan pembuatan bertaraf dunia, mengintegrasikan teknologi pintar terkini dan menghasilkan pelbagai jenis kenderaan, daripada model enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan hibrid plug-in (PHEV), kenderaan elektrik bateri (BEV) serta kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Kami yakin apabila siap, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menempatkan pusat R&D yang canggih, memperluaskan eksport kenderaan ke negara jiran, memperkukuh peranan Selangor menerusi rantaian bekalan yang kukuh serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif utama di ASEAN,” kata Presiden Chery International, Zhang Guibing.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved