EV pertama Perodua akan dilancarkan pada Disember 2025 – CEO Sime Darby

Perodua kini sedang dalam persiapan bagi melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya pada Disember tahun ini.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times. Menurutnya, syarikat itu akan memulakan ujian bagi EV itu pada Jun ini.
Tambah beliau lagi, model yang belum dinamakan itu mendapat maklum balas positif ketika dipamerkan di Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 pada Disember tahun lalu.
“Segmen EV adalah di mana kita melihat potensi yang kuat. Permintaan semakin meningkat, dan kami meletakkan diri kami dengan sewajarnya,” kata Jeffri.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, EV tersebut akan menampilkan motor elektrik tunggal pacuan roda depan berkuasa 68 PS/220 Nm dengan jarak gerak sejauh 450 km untuk sekali cas penuh.
Spesifikasi mengenai bateri masih belum diketahui namun Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad sebelum ini pernah memberitahu bahawa ia akan disewa secara pajakan (leasing) kepada pembeli.
Beliau menjelaskan bahawa cara tersebut membolehkan Perodua mencapai sasarannya untuk menjual EV tersebut pada harga sekitar RM80,000.