Jaecoo J7 PHEV dilancarkan secara rasmi, harga RM158,800

IMG_3397

Jaecoo J7 PHEV akhirnya dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia, kira-kira empat bulan selepas ia dipertontonkan buat pertama kali.

SUV ini dijual pada harga RM158,800 dan dipasang secara tempatan di kilang pengeluaran Chery Malaysia di Shah Alam bersama-sama dengan J7.

Seperti yang boleh dilihat menerusi namanya, J7 PHEV secara asasnya adalah versi hibrid plug-in bagi J7. Ia dikuasakan enjin 1.5-liter TGDI yang menghasilkan 143 PS dan 215 Nm, dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menjana 204 PS dan 310 Nm, memberikannya kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS dan 525 Nm.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi hibrid (Dedicated Hybrid Transmission atau DHT), membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.5 saat.

Satu lagi komponen penting dalam sistem hibrid Jaecoo ini adalah bateri Blade LFP berkapasiti 18.3 kWj yang menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 106 km.

Bateri berkenaan menyokong pengecasan AC 6.6 kW yang boleh melakukan pengecasan dari 30% hingga 80% dalam masa tiga jam, serta pengecasan DC 40 kW yang memerlukan hanya 20 minit untuk pengecasan sama.

Sebagai alternatif, pemilik juga boleh menggunakan soket kediaman tiga pin 230 V yang mengambil masa kira-kira 8.5 jam untuk pengecasan penuh.

Jaecoo mendakwa gabungan kesemua ini memberikan J7 PHEV jarak keseluruhan mencecah 1,300 km (NEDC), dengan kadar penggunaan bahan api serendah 4.77 liter/100 km.

Kemampuan trenkuasa ini dalam pemanduan dunia sebenar telah pun terbukti. Pada Januari lalu, lima unit J7 PHEV berjaya melepasi jarak 1,200 km (WLTP) dalam perjalanan jarak jauh dari Singapura ke Hatyai, Thailand, melalui Malaysia dengan satu tangki minyak dan cas.

Dari segi penampilan, tidak banyak perbezaan antara J7 dan J7 PHEV. Bagaimanapun, model PHEV ini masih boleh dikenal pasti menerusi logo ‘7’ berwarna biru, lencana ‘PHEV’, rim aerodinamik berukuran 19 inci dan port pengecasan bateri pada bahagian kanan.

Buat masa ini, J7 PHEV boleh didapati dalam tiga warna, iaitu Khaki White, Carbon Crystal Black dan Moonlight Silver. Khaki White ialah edisi terhad dengan hanya 100 unit ditawarkan. Selepas itu, Jaecoo akan memperkenalkan pilihan warna Olive Grey.

Di dalam, anda akan menemui kluster instrumen digital 10.25 inci, skrin infohibur 14.8 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kawalan iklim dua zon.

Apa yang menarik, J7 PHEV mempunyai ruang but yang lebih besar berbanding J7 iaitu 500 liter. Keluasan ruang ini boleh mencapai 1,265 liter apabila tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya.

Sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.5 disertakan, merangkumi brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif, sistem pemantauan pemandu, bantuan pengekalan lorong kecemasan, bantuan suluhan tinggi pintar, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan kesesakan trafik.

Setiap pembelian J7 PHEV disertakan dengan waranti enjin tujuh tahun atau sehingga jarak 150,000 km dan waranti lapan tahun atau sehingga jarak 160,000 km bagi bateri, motor kuasa dan unit pengawal motor kuasa. Waranti lapan tahun menawarkan pertukaran 1 dengan 1 apabila keadaan hayat (SOH) bateri jatuh di bawah 70% dalam tempoh jaminan.

 

View Comments (117)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved