Minggu lalu, Jaecoo Malaysia melancarkan J7 PHEV ke pasaran tempatan pada harga RM158,800, lebih RM10,000 lebih rendah berbanding harga anggaran yang diumumkan pada Oktober tahun lalu.
Sekilas pandang, J7 PHEV nampak serupa dengan J7 namun kedua-dua model sebenarnya mempunyai banyak perbezaan, bukan sahaja dari segi trenkuasa malah juga dalam aspek reka bentuk luaran dan dalaman.
Trenkuasa
Seperti namanya, J7 PHEV didatangkan dengan trenkuasa hibrid plug-in dan bukannya enjin pembakaran dalaman seperti J7. Trenkuasa tersebut, yang digelar sebagai Super Hybrid System, menggabungkan enjin kitaran ‘Deep Miller’ 1.5-liter turbo empat silinder dengan 141 hp/215 Nm, dan sebuah motor elektrik yang menjana 204 PS/310 Nm.
Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS/525 Nm, yang disalurkan ke roda depan menerusi transmisi hibrid (Dedicated Hybrid Transmission atau DHT) kelajuan tunggal.
Luaran
Dari luar, J7 PHEV boleh dibezakan menerusi beberapa bahagian. Ini termasuk rim, di mana J7 PHEV didatangkan dengan rim aerodinamik 19 inci yang dibalut rim Kumho.
Selain itu, model yang baru dilancarkan ini juga boleh dikenal pasti dengan rekaan cermin sisi yang lebih aerodinamik (dengan kemasan berwarna perak), bampar belakang ala Range Rover, lencana ‘PHEV’ pada tailgate dan port pengecas pada bahagian kanan.
Dalaman
Masuk ke bahagian dalam, benda pertama yang anda akan perasan adalah J7 PHEV mempunyai konsol tengah yang lebih kemas dan ringkas. Ini kerana tuil gear konvensional yang dilihat pada J7 telah dikeluarkan dan digantikan dengan tuil gear jenis column shifter.
Talam pengecas tanpa wayar dikekalkan namun tombol pemilih mod pemanduan dibuang manakala pemegang cawan kini diletakkan secara melintang bagi memberi ruang kepada barisan butang kawalan untuk sistem hibrid. Selain itu, J7 PHEV juga tampil dengan rekaan panel pintu yang lebih kemas dan sofistikated berbanding J7.
Kelengkapan
Sistem infohibur untuk kedua-dua J7 PHEV dan J7 sama sahaja, merangkumi panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sentuh 14.8 inci dengan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, paparan head-up dan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.
Ruang but
Walaupun didatangkan dengan bateri yang diletakkan di bawah lantai but, J7 PHEV mempunyai ruang but yang lebih besar berbanding J7 iaitu 500 liter. Cuma, ia tidak mempunyai tayar simpanan – pelanggan sebaliknya mendapat kit pembaikan tayar.
Apa yang menarik, tonneau cover pada J7 PHEV boleh dijadikan sebagai skrin projektor, yang boleh dikuasakan oleh kenderaan menerusi fungsi Vehicle-to-Load (V2L).
Harga
Seperti yang dikatakan, J7 PHEV dijual pada harga RM158,800. J7 pula boleh didapati pada harga RM138,800 bagi varian 2WD dan RM148,800 bagi varian AWD.
J7 PHEV disertakan dengan waranti enjin tujuh tahun atau sehingga jarak 150,000 km dan waranti lapan tahun atau sehingga jarak 160,000 km bagi bateri, motor kuasa dan unit pengawal motor kuasa. Waranti lapan tahun menawarkan pertukaran 1 dengan 1 apabila keadaan hayat (SOH) bateri jatuh di bawah 70% dalam tempoh jaminan.