XPeng X9 dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga dari RM270k

XPeng X9 launch 02

Bermaz Xpeng Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Xpeng di Malaysia, telah melancarkan model keduanya iaitu X9.

Digelar sebagai “Ultra Smart Large Seven-seater,” MPV elektrik ini bakal memberi saingan model-model seperti Zeekr 009 dan Denza D9.

Ia kini sudah boleh ditempah, dengan harga dan varian seperti berikut:

  • X9 Standard Range 2WD Pro – RM269,888
  • X9 Long Range 2WD Pro – RM287,888
  • X9 Long Range 2WD Pro Plus – RM299,888

Bermaz menawarkan waranti pengeluar selama lima tahun/120,000 km, dan pakej servis percuma selama lima tahun/100,000 km. Turut disertakan adalah waranti bateri voltan tinggi untuk lapan tahun/160,000 km.

Ketiga-tiga varian didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 315 hp dan 450 Nm. Pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa 7.7 saat, manakala kelajuan maksimum boleh mencecah 200 km/j.

Apa yang menarik, X9 boleh didapati dengan dua jenis bateri. Varian Standard Range 2WD Pro didatangkan dengan bateri LFP 84.5 kWj yang menawarkan jarak gerak 500 km (WLTP), manakala varian-varian Long Range mendapat bateri NMC 101.5 kWj dengan jarak gerak 590 km.

X9 menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 317 kW, yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam masa 20 minit.

Menurut Xpeng, X9 merupakan MPV 7 tempat duduk BEV pertama di dunia yang menampilkan struktur badan aluminium tuangan pada bahagian hadapan dan belakang bagi tujuan meningkatkan keselamatan dan ketahanan.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang aktif yang dipadankan dengan sistem suspensi udara dual chamber, memberikannya radius pusingan 5.4 meter.

Masuk ke dalam, anda akan disapa oleh kokpit yang diinspirasikan daripada kapal angkasa lepas. Varian Standard Range 2WD Pro dan Long Range 2WD Pro didatangkan dengan upholsteri leatherette, manakala Long Range 2WD Pro Plus pula diberikan kerusi Zero Gravity yang dibaluti upholsteri kulit Nappa.

Tarikan utama di sini adalah skrin infohibur berukuran 21.3 inci, sistem audio X-Opera dengan 23 pembesar suara yang memberikan kualiti audio setanding konsert, serta sistem penulenan udara maju.

X9 didatangkan dengan konfigurasi tujuh tempat duduk namun ia boleh ditukarkan kepada empat tempat duduk dengan menekan satu butang sahaja. Tempat duduk barisan ketiga akan dilipat, sekaligus memperluaskan kapasiti ruang but dari 755 liter kepada 2,554 liter.

Untuk lebih keselesaan, ciri-ciri seperti sistem pelarasan kerusi barisan ketiga, fungsi urut dan peti sejuk pintar turut disertakan.

Untuk keselamatan pula, terdapat sistem XPilot 2.5 yang merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Adaptive Turning Cruise (ATC), Intelligent Speed Limit Assist (SAS), dan Active Lane Change (ALC).

Parkir juga menjadi lebih mudah dengan adanya Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP), dan Straight Summon yang boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih XPeng.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk enam beg udara, Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind-Spot Detection (BSD), Lane Keeping Assist (LKA), dan Rear Cross-Traffic Alert (RCTA).

X9 diimport sepenuhnya (CBU) dari China dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Nebula White, Crescent Silver dan Dark Night Black. Untuk bahagian dalam pula, terdapat dua pilihan warna iaitu Starry Night Black dan Moon Shadow Brown.

View Comment (1)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved