Setelah dipertontonkan pada Oktober tahun lalu, trak pikap saiz pertengahan JAC T9 akhirnya dilancarkan ke pasaran Malaysia menerusi Evolvelectric Motors selaku pengedar rasmi kenderaan JAC Motors.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, T9 ditawarkan dalam dua varian iaitu T9 Grand-ES yang dikuasakan oleh enjin turbodiesel dan T9 Grand-BEV yang merupakan versi elektrik.
Harga jualan bermula dari RM119,888 untuk T9 Grand-ES, manakala T9 Grand-BEV pula berharga RM199,888. Model diesel itu didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, manakala model elektrik pula hadir dengan jaminan pengeluar selama enam tahun atau had perbatuan 200,000 km.
T9 Grand-ES menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 167 hp pada 3,600 rpm dan 410 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan empat roda (4WD) dan transmisi automatik ZF lapan kelajuan.
T9 Grand-BEV pula menampilkan dua motor elektrik, dengan janaan 94 hp/176 Nm pada gandar hadapan dan 215 hp/342 Nm pada gandar belakang. Ini memberikannya daya kilas keseluruhan sebanyak 516 Nm.
Kuasa untuk kedua-dua motor elektrik tersebut dibekalkan oleh bateri LFP buatan CATL berkapasiti 88 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 340 km, berdasarkan kitaran WLTP.
Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan AC 11 kW yang memerlukan 6 jam 50 minit untuk mengecas bateri dari 15% hingga penuh.
Sebagai alternatif, pemilik juga boleh menggunakan pengecasan pantas DC 88 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 30% hingga 80% dalam tempoh 35 minit.
Tidak kira varian apa yang anda pilih, T9 mempunyai ukuran panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,920 mm dan tapak roda sepanjang 3,110 mm.
Ia adalah trak pikap yang sebenar, menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, sudut pendekatan 27 darjah, sudut pelepasan 23 darjah dan keupayaan meranduk air sedalam 800 mm, 100 mm lebih dalam berbanding Hilux Rogue.
Dari segi kelengkapan, T9 didatangkan dengan lampu LED hadapan dan belakang, lampu DRL LED, pemijak sisi, sports bar belakang, serta rel bumbung.
Di dalam, terdapat kluster instrumen digital tujuh inci, skrin tengah 10.4 inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto, pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar dan enam pembesar suara.
Turut disertakan adalah pelarasan enam tahap untuk tempat duduk hadapan, corong pendingin hawa barisan kedua, port USB tambahan dan soket kuasa.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada tujuh beg udara, kamera 360 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), brek kecemasan autonomi (AEB), amaran keluar lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKS), kawalan jelajah adaptif (ACC) dan sistem pengecaman papan tanda trafik (TSRS).