Jualan Proton kembali meningkat, catat 11,232 unit pada Februari


Proton telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Februari 2025, di mana ia berjaya menjual 11,232 unit kenderaan. Jumlah ini merangkumi pasaran domestik dan eksport, serta kenderaan elektrik jenama Proton eMAS dan smart.
Angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 13.2% berbanding rekod Januari. Menurut syarikat itu, ia menganggarkan bahagian pasaran sebanyak 17.2% daripada ramalan jumlah volum industri (TIV) sebanyak 65,276 unit.
Tambah Proton lagi, tiga modelnya mendahului segmen masing-masing untuk jualan tahun hingga kini (YTD). S70 kekal sebagai sedan segmen-C terlaris di Malaysia dengan jualan sebanyak 2,340 unit untuk dua bulan pertama tahun ini.
X90 terus mendominasi jualan SUV segmen-D dengan 746 unit terjual pada bulan lalu, manakala angka jualan SUV segmen-B paling laris iaitu X50 pula mencecah 1,824 unit.
Untuk eMAS 7 pula, Proton berkata populariti EV itu sedang melonjak dengan lebih 4,500 tempahan diterima sejak pelancarannya. Bulan Februari menyaksikan 580 unit eMAS 7 diserahkan kepada pelanggan, menjadikan jumlah keseluruhan penghantaran kini melebihi 1,000 unit.
Selain daripada jualan domestik, eMAS 7 juga bersedia untuk mencipta pengaruh di pasaran eksport. Sebanyak 50 unit telah dieksport ke Nepal pada bulan Februari sebagai persiapan untuk pelancaran akan datang, sementara sejumlah kecil unit turut dihantar ke Singapura dan Trinidad & Tobago untuk tujuan penilaian.
Seiring dengan peningkatan jualan, bulan Februari juga membawa perkembangan baru kepada operasi eksport Proton menerusi pengeluaran Proton Saga CKD pemanduan kiri (LHD) di kilang Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) di Mesir. Kemudahan baru ini dibina dengan pelaburan sebanyak USD50 juta, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 40,000 kenderaan.
“Jualan Proton telah menunjukkan pemulihan pada bulan Februari setelah permulaan tahun 2025 yang
kurang memberangsangkan. Masih ada sedikit ketidakpastian tentang kemampuan pembeli tetapi buat masa
sekarang, jumlah jualan kami sedang menambah.
“Maka, Proton secara keseluruhan terus fokus untuk meningkatkan volum jualan bagi rangkaian produk ICE kami, dan pada masa yang sama, menetapkan rentak di pasaran EV. Dengan Proton eMAS 7 yang telah terbukti berjaya di peringkat awal, cabaran kami kini adalah untuk memastikan ia terus menjadi tumpuan sambil merancang dengan agresif untuk pengenalan model-model kami yang lain pada akhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.