Tiada lagi tempahan slot berganda di Puspakom, kata Anthony Loke

Puspakom tidak lagi akan membenarkan pelanggan membuat tempahan slot berganda dalam usahanya untuk menutup ruang salah guna oleh orang tengah atau runner untuk mengaut keuntungan.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang berkata langkah ini perlu diambil memandangkan sebelum ini ada orang tengah atau runner didapati menjual slot pemeriksaan yang ditempah kepada pihak lain demi keuntungan berlebihan.
Beliau memberi contoh, sekiranya kenderaan dengan nombor pendaftaran ABC123 membuat empat tempahan slot pemeriksaan pada tarikh sama, hanya satu slot sahaja akan dibenarkan.
“Untuk itu, Puspakom akan menambah baik sistem tempahan dengan membekukan slot pemeriksaan asal sekiranya ia ditunda ke tarikh lain.
“Ia bagi mengelakkan slot asal daripada disalahgunakan atau dijual kepada pihak lain,” katanya.

Loke berkata langkah berkenaan antara yang dimuktamadkan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat antara kementeriannya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) semalam.
Antara langkah lain yang akan diambil bagi menangani isu kesesakan termasuk menambah kapasiti pemeriksaan kenderaan kepada 15,500 kenderaan sehari berbanding hanya 13,500 sebelum ini.
Selain itu, MOT juga akan memperkenalkan konsep deklarasi kendiri terhadap beberapa bahan pemeriksaan yang tidak membabitkan aspek keselamatan.
“Lima bahan dikenal pasti bagi kelonggaran pemeriksaan mandatori termasuklah tanda badan pada kenderaan atau ‘body lettering’, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran serta keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam.
“Bahan pemeriksaan ini akan dikeluarkan daripada senarai mandatori bagi kelulusan pemeriksaan Puspakom. Bagaimanapun pemilik kenderaan perlu membuat deklarasi kendiri bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan ini,” katanya.