Modenas Ninja 500 kini dilancarkan di Malaysia – versi standard dan SE, harga dari RM28k

Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom, telah melancarkan Modenas Ninja 500 untuk pasaran Malaysia.
Motosikal sport saiz pertengahan itu boleh didapati dua versi iaitu standard dan Special Edition (SE). Versi standard dijual pada harga RM28,100 dan boleh didapati dalam warna hitam sahaja.
Sementara itu, Ninja 500 SE yang berharga RM30,100 ditawarkan dalam dua warna iaitu Lime Green dan hitam/merah.
Tidak kira sama ada dalam versi standard atau SE, Ninja 500 dikuasakan oleh enjin 500 cc dua silinder selari yang menjana 44.8 hp pada 9,000 rpm dan 42.6 Nm pada 6,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.
Ninja 500 mempunyai ukuran panjang 1,995 mm, lebar 730 mm dan tapak roda 1,375 mm. Ketinggian pelana mencecah 785 mm, manakala kapasiti tangki pula adalah 14 liters, memberikan motosikal ini berat keseluruhan 171 kg.
Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41 mm pada bahagian depan dan penyerap hentak dengan pelarasan pra-muatan pada bahagian belakang.
Untuk brek, Ninja 500 menggunakan cakera tunggal 310 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Turut disertakan adalah ABS dwi saluran.
Selain pilihan warna berbeza, Ninja 500 SE juga didatangkan dengan beberapa ciri tambahan iaitu port USB Type-C, sistem tanpa kunci KIPASS (Kawasaki Intelligent Proximity Activation Start System) dan paparan TFT berwarna penuh.