Modenas tawar diskaun istimewa menerusi kempen ‘Mai Servis Motor Sambut Raya’

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom, telah mengumumkan pelancaran kempen ‘Mai Servis Motor Sambut Raya’ yang berlangsung dari 14 hingga 28 Mac 2025.

Inisiatif yang tersedia di semua pusat servis Modenas di seluruh negara ini dijalankan bagi memastikan motosikal pelanggan berada dalam keadaan optimum menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

Antara manfaat eksklusif yang ditawarkan menerusi kempen ini termasuk:

  • caj upah kerja percuma untuk servis motosikal biasa
  • diskaun istimewa untuk servis dan penyelenggaraan motosikal
  • diskaun tambahan eksklusif untuk ahli E-Keahlian Modenas
  • konsultasi percuma dari mekanik bertauliah Modenas mengenai penjagaan dan penyelenggaraan motosikal

Pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pusat servis Modenas sepanjang tempoh kempen dari Isnin hingga Jumaat (8:30 pagi – 4:30 petang) dan Sabtu (8:30 pagi – 1:00 petang) untuk menikmati tawaran ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan dalam satu kenyataan menekankan komitmen syarikat terhadap keselamatan jalan raya dan kesejahteraan komuniti.

“Melalui kempen ini, kami ingin memberi kembali kepada komuniti dengan memastikan motosikal mereka diselenggara dengan baik, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan atau kemalangan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial korporat yang berterusan, menjadikan mobiliti yang selamat dan boleh dipercayai dapat diakses oleh semua,” katanya.