Sebagai respons kepada kebimbangan keselamatan mengenai bank kuasa, Batik Air telah memperkenalkan polisi terkini untuk mengukuhkan lagi langkah-langkah keselamatan di dalam pesawat.
Bermula serta-merta, penumpang dibenarkan membawa maksimum dua bank kuasa, yang mesti sentiasa disimpan pada diri mereka dan tidak boleh diletakkan dalam barang bawaan (carry-on). Bank kuasa adalah dilarang sama sekali dalam bagasi berdaftar (checked baggage) pada semua penerbangan Batik Air.
Walau bagaimanapun, untuk keselamatan yang lebih baik, penggunaan bank kuasa di dalam kabin adalah dilarang sama sekali.
Penumpang juga dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membawa bank kuasa jenis auto-magnet charge, kerana ini mungkin menimbulkan risiko tambahan.
Mengikut Peraturan Barangan Berbahaya Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bank kuasa yang dibawa ke dalam pesawat tidak boleh melebihi 100 Wh atau 20,000 mAh.
“Peringatan keselamatan akan dipaparkan dengan jelas di kaunter daftar masuk dan ditambah dengan pengumuman sebelum berlepas serta taklimat dalam penerbangan untuk memastikan pelaksanaan yang lancar.
“Kakitangan daftar masuk juga akan memeriksa bank kuasa sebelum menaiki pesawat untuk mengesahkan bahawa ia dalam keadaan baik dan memenuhi had Wh yang ditetapkan,” kata Batik Air dalam satu kenyataan.