Denza D9 – 200 unit pertama diserahkan kepada pelanggan di Malaysia

Denza, sub-jenama premium BYD, telah menyerahkan 200 unit pertama Denza D9 dalam acara ‘Denza and BYD Electrifying Experience’ yang diadakan di Plaza Arkadia, Desa Parkcity pada hujung minggu lalu.
Acara tersebut menyambut pelanggan awal yang membeli MPV elektrik premium itu semasa fasa pelancarannya pada bulan lalu.
Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia berkata penyerahan 200 unit pertama Denza D9 itu menandakan satu peristiwa penting buat Denza di Malaysia.
“Sambutan luar biasa ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik premium dan menegaskan dedikasi kami terhadap inovasi, ketukangan, dan pengalaman pelanggan.
“Kami komited untuk membentuk masa depan EV mewah dan tidak sabar untuk menyerahkan lebih banyak kenderaan yang luar biasa kepada pelanggan kami di Malaysia,” katanya.
Dilancarkan pada 20 Februari, D9 dijual pada harga bermula dari RM259,000 untuk varian Advanced FWD dan RM309,000 untuk Premium AWD.
Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 308 hp dan 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.
Sementara itu, Premium AWD pula mempunyai dua motor elektrik yang memberikan 369 hp dan 470 Nm, sekali gus mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada 6.9 saat.
Kedua-dua varian mendapat bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj yang menawarkan jarak gerak (kitaran NEDC) sejauh 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.
Mereka yang membeli D9 di acara tersebut atau di mana-mana cawangan Denza Malaysia sebelum 16 Mac menerima pakej pelancaran eksklusif yang merangkumi wall box percuma berserta kad pemasangan dan pakej servis percuma selama enam tahun.