Vespa GTS 300 Classic dilancarkan di Malaysia pada harga RM31,900

Didi Group, pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, secara rasminya melancarkan Vespa GTS 300 Classic. Ini merupakan model GTS 300 ketiga yang ditawarkan dalam pasaran tempatan selepas SuperSport dan SuperTech.
Menurut syarikat itu, model terbaru ini dijual pada harga RM31,900 namun 50 pelanggan pertama akan menikmati harga pengenalan istimewa iaitu RM29,900.
GTS 300 Classic dikuasakan oleh enjin HPE (High Performance Engine) 278 cc silinder tunggal yang mampu menghasilkan 23.5 hp (17.5 kW) pada 8,250 rpm dan 26 Nm pada 5,250 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh transmisi jenis CVT.
Untuk sistem suspensi, ia menggunakan link arm tunggal pada bahagian hadapan dan penyerap hentak hidraulik berkembar dengan pelarasan pra-beban empat peringkat pada bahagian belakang.
Sistem brek merangkumi cakera tunggal berukuran 220 mm dengan ABS dwi saluran, manakala rim yang digunakan adalah bersaiz 12 inci yang dipadankan dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.
GTS 300 Classic mempunyai tangki bahan api berkapasiti 8.5 liter dan tempat duduk berketinggian 795 mm.
Untuk pasaran Malaysia, terdapat tiga warna yang boleh dipilih iaitu Beige Sabbia Q02, Black Vulcano ND dan Green Relax V11.