BMW C400 X, C400 GT dikemas kini untuk tahun 2025, harga dari RM47,500

BMW Motorrad Malaysia hari ini melancarkan BMW C400 X dan C400 GT model tahun 2025 yang tampil dengan penambahbaikan teknikal serta ciri, warna, dan aksesori baharu.
‘Nadi’ utama C400 X dan C400 GT tidak berubah, bermakna kedua-duanya masih dipacu enjin silinder tunggal bersesaran 350 cc yang mampu menjana 34 hp pada 7,500 rpm dan 35 Nm pada 5,750 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi CVT yang menjanjikan prestasi lancar dan responsif.
Walau bagaimanapun, kedua-dua skuter premium itu kini dilengkapi dengan ABS Pro sebagai ciri standard yang memastikan keselamatan optimum walaupun ketika membrek pada sudut condong.
Sementara itu, fungsi Kawalan Brek Dinamik yang dihubungkan dengan ABS Pro memberikan tindak balas yang lebih sensitif, serta kestabilan yang lebih tinggi ketika membrek dan menunggang.
Turut disertakan adalah Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan Kawalan Tork Seretan Enjin (MSR). DTC menawarkan keselamatan tambahan ketika memecut dalam keadaan jalan licin atau pada sudut condong, manakala MSR berfungsi untuk mengelakkan keadaan tunggangan yang tidak stabil yang boleh berlaku semasa meluncur atau pengurangan pendikit secara mengejut.
C400 X didatangkan dengan paparan TFT 6.5 inci bersama aplikasi BMW Motorrad Connected yang membolehkan paparan tersebut disambungkan dengan kepelbagaian kawalan pada bahagian kiri pemegang.
C400 GT pula menampilkan paparan TFT 10.25 inci melalui pakej Connectivity Pro yang menawarkan fungsi skrin berpisah serta navigasi peta.
Kedua-dua model juga didatangkan dengan persediaan navigasi sebagai pilihan, yang membolehkan penunggang mengintegrasikan BMW Motorrad Connected Ride Navigator atau Connected Ride Cradle untuk pengalaman navigasi yang lebih canggih.
Selain kelengkapan, BMW Motorrad turut menambahbaik ruang penyimpanan pada kedua-dua model. C400 X menyediakan tambahan 3 liter ruang penyimpanan di bawah tempat duduk, manakala C400 GT menawarkan sehingga 12 liter ruang tambahan, termasuk poket hadapan. Versi Gran Turismo ini turut mendapat cermin penghadang angin yang boleh dilaras secara manual.
Rak bagasi disertakan sebagai ciri standard pada versi X dan GT, namun pelanggan juga boleh mendapatkan kotak penyimpanan berkapasiti 43.5 liter sebagai aksesori tambahan, yang bukan sahaja menyediakan 13.5 liter lebih ruang berbanding sebelum ini, tetapi juga meningkatkan kapasiti muatan kepada 10 kg, berbanding 5 kg pada model sebelumnya.
Kotak penyimpanan baharu itu turut dilengkapi dengan lampu dalaman serta port pengecasan USB. Ciri-ciri baharu lain yang disertakan termasuk sistem tanpa kunci dan lampu utama Pro pada versi X.
Selain itu, C400 X kini ditawarkan dalam varian Rugged yang menampilkan warna badan Kalamata metallic matt, tempat duduk merah dan hitam, rim merah serta tayar off-road. Versi ini juga didatangkan dengan sisipan pemijak kaki, angkup brek hadapan berwarna emas, serta cermin penghadang angin gelap sepenuhnya.
C400 GT pula hadir dalam varian Exclusive dengan warna badan Diamond White metallic, rim berwarna emas, sulaman tempat duduk yang sepadan dengan warna rim, pencahayaan lantai atau sisipan pemijak kaki, angkup brek hadapan emas, serta cermin penghadang angin yang sedikit gelap.
Harga jualan (atas jalan, termasuk waranti tiga tahun BMW Motorrad Malaysia dan Program Bantuan Tepi Jalan selama tiga tahun, tanpa insurans) adalah RM47,500 bagi C400 X dan RM53,500 bagi C400 GT.