Temui Jaecoo J8 di pusat beli-belah 1Utama dari 27-30 Mac ini

Jaecoo Malaysia mengesahkan bahawa Jaecoo J8 akan membuat penampilan umum pertamanya di negara ini menerusi siri jelajah yang akan diadakan di pusat beli-belah 1Utama dari 27 hingga 30 Mac ini.
Walau bagaimanapun, bagi pihak media, ini bukanlah kali pertama kami dapat melihat SUV itu secara langsung. J8 sebenarnya pernah dipertontonkan di samping J7 pada Januari 2024 namun dalam versi pemanduan sebelah kiri.
Ketika itu, J8 dikatakan akan dilancarkan pada suku keempat tahun yang sama namun mungkin disebabkan kesibukan membuat persiapan untuk pelancaran Omoda C9, ia tidak berlaku.
Namun dengan pengumuman siri jelajah ini, kami boleh katakan dengan yakin yang J8 akan memasuki pasaran Malaysia secara rasmi dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.
Spesifikasi J8 untuk pasaran tempatan masih belum didedahkan namun apa yang kami tahu, J8 mempunyai dimensi lebih besar berbanding J7 dengan ukuran 4,820 mm panjang 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi, dan jarak roda 2,820 mm.
Di dalam, elemen-elemen yang diinspirasikan dari Mercedes-Benz GLE boleh dilihat pada corong pendingin hawa berbentuk segi empat dan paparan berkembar 12.3 inci yang terletak kemas di atas papan pemuka.
Di bawah hud J8 terdapat enjin petrol 2.0-liter turbo yang menjana 245 hp dan 385 Nm, disalurkan ke jalan oleh kotak gear dwi-klac tujuh kelajuan. Model ini boleh didapati dalam versi pacuan dua-roda atau semua-roda namun tidak pasti sama ada Jaecoo Malaysia akan menawarkan salah satu atau kedua-duanya sekali.
Harganya juga masih belum diketahui namun ada ura-ura mengatakan yang akan dijual pada harga sekitar RM200,000.