Bermula 7 April ini, kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Motor) 2024 dalam usahanya untuk mengekang penjualan minyak enjin kenderaan motor tiruan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dengan perintah baharu ini, pengguna boleh mengenal pasti penjualan minyak enjin kenderaan motor yang tulen sekali gus membanteras penjualan minyak tiruan yang boleh membawa risiko keselamatan serta kemalangan jalan raya.
“Perintah ini juga akan dapat melindungi kepentingan syarikat pengeluar produk minyak enjin kenderaan motor dengan mengekang risiko penghasilan produk-produk tidak tulen oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Armizan berkata mana-mana produk minyak enjin sama ada dihasilkan dalam negara mahupun diimport, perlu mendapat perakuan tulen menerusi SIRIM QAS International Sdn Bhd yang dilantik sebagai pihak bertanggungjawab memperaku dan mengeluarkan label pematuhan produk bagi tujuan itu.
Kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada syarikat pengeluar untuk mematuhi arahan berkenaan dengan perintah pewartaan bermula pada 11 Oktober 2024.
“KPDN dengan kerjasama SIRIM telah menganjurkan program penglibatan sejak 2022 melibatkan hampir semua pemain utama dalam industri minyak enjin kenderaan bermotor di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar, [atau] penjual yang menjual produk yang tidak disahkan dan tidak mempunyai label pematuhan yang sah,” kata Armizan.