Penyelarasan subsidi RON95 akan dilaksanakan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua peringkat harga.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 akan diumumkan selepas separuh pertama tahun ini.
Tambah beliau, mekanisme berkenaan sedang diperhalus dan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
“Kita tidak mahu mengumumkan sesuatu perkara sementara kami masih menjalankan kerja, kerana perkara paling penting yang kami mahu pastikan adalah sistem ini kukuh.
“RON95 akan menggunakan dua peringkat harga iaitu harga subsidi dan tanpa subsidi. Sistem yang akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak adalah melalui MyKad,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kewajaran menggunakan MyKad dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 itu kelak, Amir Hamzah menjelaskan sistem itu sudah digunakan dalam Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Amir Hamzah dalam masa sama turut menegaskan bahawa 85% rakyat negara ini tidak akan terkesan susulan penyasaran subsidi RON95 yang akan dilaksanakan kelak.