Category Archives: MALAYSIA

Isuzu D-Max generasi ketiga bakal berada dalam pasaran hujung April ini?

BERITA baik untuk penggemar kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang ternanti-nanti kemunculan Isuzu D-Max generasi ketiga!

Terbaharu, Isuzu Malaysia mengumumkan model terbaharunya itu akan memasuki pasaran tempatan bulan ini, jauh lebih awal seperti yang dijadual.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Dagang Ringan Isuzu Malaysia Masayuki Suzuki berkata, pengenalan lebih awal ini dilakukan hasil kerjasama Isuzu Motors Ltd yang melihat Malaysia sebagai pasaran strategik.

“Kami sangat gembira Isuzu D-Max serba baharu ini dapat diperkenalkan lebih awal daripada jangkaan untuk pasaran Malaysia.

“Sebagai negara kelima di dunia yang melancarkan model ini selepas pengenalan sulungnya di Thailand, ia menjadi bukti komitmen oleh Isuzu Motors untuk memastikan pasaran Malaysia menerima pilihan kenderaan Isuzu yang terkini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Isuzu D-Max generasi ketiga dibangunkan dengan rekaan lebih sporty selain menampilkan imej jalanan lebih kental.

Didatangkan dengan dengan ukuran dimensi keseluruhan lebih besar, ia juga memiliki ruang kabin dan kargo lebih luas.

Selain itu, Isuzu D-Max generasi ketiga juga mempunyai single cab atau double cab serta dua pilihan enjin — RZ-4E 1.9 liter dan 4JJ-3TCX 3 liter.

Memperolehi penarafan maksimum lima bintang bagi Asean NCAP 2020, Isuzu D-Max generasi ketiga menawarkan tahap keselamatan baharu untuk perlindungan lebih baik.

Ia termasuk ciri-ciri Advanced Driver Assist Systems (ADAS) yang ditawarkan bagi varian terpilih.

Memasuki pasaran tempatan pada hujung April, Isuzu D-Max serba baharu dianggarkan dijual pada harga RM89,000 hingga RM145,000 bergantung kepada model selain tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Proton catat jualan tertinggi sejak tujuh tahun, 32,826 unit terjual pada suku pertama 2021

Ativa terima permintaan tinggi, Perodua catat peningkatan jualan 29 peratus

PERODUA Ativa menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di negara ini sejak dilancarkan awal bulan lalu.

Dibuka untuk tempahan pada 19 Februari, terdapat lebih 14,574 tempahan diterima bagi model Perodua Ativa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya akan terus berusaha memenuhi permintaan tinggi bagi model SUV Ativa walau terpaksa berdepan rintangan tertentu termasuk kekurangan bekalan komponen.

“Buat masa ini, tentangan terbesar adalah kekurangan cip semikonduktor yang memberi kesan berbeza pada pembuat kenderaan pada skala global.

“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk mencari bekalan alternatif dan pada masa yang sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran kami berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Perodua berjaya mencatatkan peningkatan 29 peratus jualan bagi suku pertama tahun ini.

Jumlah itu bersamaan dengan 57,911 kenderaan berbanding 44,977 dalam tempoh sama tahun lalu.

Perodua menyasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit tahun ini berbanding 220,968 pada 2020.

Lancar laman web, EnGear tekad terus penuhi permintaan peminat automotif

PERMINTAAN tinggi terhadap kandungan dunia automotif menyaksikan satu lagi rangkaian Media Works Sdn Bhd iaitu laman web Engear.tv dilancarkan hari ini.

Engear.tv bukan sahaja menyajikan informasi terkini mengenai industri automotif tempatan dan global malah, turut berkongsi pelbagai tips termasuk kewangan, mekanikal serta keselamatan jalan raya.

Pengarah Kreatif Engear.tv Ahmad Amsyar Emir berkata, laman web ini diharap bukan sahaja mampu memenuhi kehendak peminat automotif tempatan tetapi pada masa sama menjadi medium informasi terkini kepada pengguna jalan raya.

Engear.tv terus melangkah setapak lagi ke hadapan dengan pelancaran laman web ini.

“Saya amat bersyukur kerana laman web ini bukan sahaja memenuhi permintaan peminat automotif tetapi menjadi platform orang ramai mendapat maklumat mengenai kereta dan pelbagai kenderaan lain.

“Saya berharap laman web ini akan terus berkembang dan mampu menjadi rujukan kepada pengguna mengenai hal berkaitan automotif,” katanya.

Engear.tv mula mendapat tempat di hati peminat automotif selepas pertama kali memuatnaik kandungan video di platform media sosial pada 12 Mei 2017.

Antara keunikan kandungan yang disajikan Engear.tv termasuk video automotif bermutu tinggi, menyampaikan informasi pandu uji automotif secara santai dan meningkatkan kesedaran awam mengenai tips keselamatan jalan raya.

Selain itu, Engear.tv juga menjadi platform bagi membahas isu semasa mengenai automatif dengan mengetengahkan konsep penyampaian yang kreatif.

Aprilia perkenal RS660, tampil ciri teknologi terkini

SYARIKAT pengeluar motosikal berkuasa tinggi Aprilia melancarkan model terbaharu mereka, Aprilia RS660 2021 pada Rabu (31 Mac).

Aprilia RS660 2021 dihasilkan syarikat berpangkalan di Itali itu bukan sahaja dilengkapi teknologi terkini malah, didatangkan dengan harga yang munasabah.

Antara menarik perhatian termasuk pengenalan konsep pengayaan baharu dengan nisbah kuasa enjin ke berat motosikal yang optimum.

Berikut antara ciri-ciri menarik lain yang terdapat pada Aprilia RS660 2021:-

  • Casis yang langsing 
  • Enjin dua silinder 100bhp
  • Sistem elektronik premium
  • Enjin V-Twin dengan capaian 10,500rpm & 67Nm

Harga Aprilia RS660 2021 bermula Rm59,000 (tidak termasuk cukai jalan & insurans).

Terdapat dua pilihan warna iaitu Lava Red (versi Reggiani Replica) serta Apex Black.

Kenderaan elektrik mampu milik bakal dipasarkan di Malaysia?

IMPIAN bagi sebilangan besar rakyat Malaysia memiliki kenderaan elektrik dengan harga mampu milik semakin hampir menjadi kenyataan.

Terbaharu, syarikat pengeluar kenderaan elektrik iaitu EV Innovations dilaporkan sedang berusaha mengeluarkan kenderaan elektrik dengan harga berpatutan di pasaran negara ini.

Selain itu, EV Innovations yang berpangkalan di Malaysia juga dikhabarkan berminat untuk menembus pasaran beberapa negara Asean yang lain.

Setakat ini, dipercayai kenderaan yang dihasilkan akan dijual sekitar harga RM30,000 sehingga RM40,000.

Bagaimanapun, EnGear masih belum menerima maklumat bila tarikh sebenar pelancaran kenderaan keluaran EV Innovations untuk pasaran negara ini.