5 fakta yang perlu anda tahu pasal skuter elektrik MODENAS

Baru-baru ini kami telah dijemput ke kilang MODENAS yang terletak di Gurun, Kedah untuk menghadiri acara penyerahan skuter elektrik MEV-1 Pro kepada Pos Malaysia.
Ia merupakan serahan kedua yang dibuat oleh MODENAS dengan jumlah sebanyak 1,092 unit selepas serahan kumpulan pertama dibuat kira-kira setahun yang lalu.
Berikut kami kongsikan beberapa lagi fakta menarik yang anda perlu tahu pasal MODENAS MEV-1:
1. Maksud MEV-1
Modenas.
Electric Vehicle.
Number 1.
Untuk model lain yang akan diperkenalkan kelak, MODENAS akan menggunakan nama MEV-2, MEV-3 dan seterusnya.
2. Kerjasama dengan VMoto
Untuk makluman, MODENAS MEV-1 merupakan ‘kembar’ kepada model skuter elektrik VMoto VS1.
MODENAS bekerjasama dengan VMoto untuk membangunkan MEV-1 untuk manfaat perolehan teknologi dalam tempoh masa yang lebih singkat.
Jenama VMoto dipilih disebabkan oleh faktor ketahanan, kecekapan dan kualiti yang lebih baik berbanding beberapa model pesaing yang telah dinilai sebelum ini.
CEO MODENAS, Roslan Roskan turut menambah, pemilihan model yang lebih berkualiti adalah penting supaya rakyat Malaysia yang mungkin akan membeli skuter elektrik pada tahun hadapan lebih berpuas hati dengan setiap nilai ringgit yang dibelanjakan.
Untuk info, VMoto merupakan jenama rasmi pembekal skuter elektrik kepada pasukan Ducati MotoGP.
Bukan calang-calang jenama ya!
3. Naik taraf ambil masa setahun, ujian ketahanan 10,000 km
Berbanding MEV-1 yang telah digunakan selama setahun, MEV-1 Pro merupakan versi yang telah ditambah baik mengambil kira data penggunaan dan keperluan spesifik Pos Malaysia.
Menurut MODENAS, antara penambahbaikan yang dibuat termasuklah penambahan butang brek parkir manual, pendakap rak yang lebih tahan lasak, dan penggunaan motor elektrik yang lebih berkuasa.
Disebabkan itu, MEV-1 Pro kini berupaya menghasilkan kuasa 5.8 hp, boleh menampung beban sehingga 250 kg, serta mampu mendaki cerun curam 19 darjah.
Ia juga lebih tahan panas terima kasih kepada perubahan yang dibuat pada unit kawalan kenderaan dan sistem bateri, sesuai untuk tugas-tugas Pos Malaysia yang lebih ekstrem.
4. Masalah jarak tak cukup?
Berbanding motosikal moped biasa, kebanyakan skuter elektrik mempunyai satu masalah umum – jarak tunggangan yang kurang mencukupi untuk operasi harian.
Namun, ia bukan satu masalah besar buat abang-abang posmen kita.
Menurut Pos Malaysia, secara purata sebuah skuter elektrik MEV-1 bergerak sejauh 40 km setiap hari untuk membuat penghantaran barang.
Bermakna, jarak gerak standard yang ditawarkan oleh MEV-1 adalah sudah lebih daripada memadai untuk merangkumi operasi harian Pos Malaysia.
Namun pada masa depan, Pos Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan opsyen mendirikan stesen penukaran bateri yang lebih praktikal untuk menampung keperluan yang semakin bertambah.
5. Berminat? Tunggu tahun depan
Buat masa ini, MEV-1 dan MEV-1 Pro hanya dikhususkan untuk kegunaan armada elektrik syarikat seperti Pos Malaysia.
Namun, MODENAS menjanjikan skuter elektrik yang boleh dibeli orang ramai akan ditawarkan menjelang suku pertama 2025 (Q1 2025), dengan spesifikasi dan harga yang lebih mesra pengguna.
Untuk permulaan, ia akan dijual dalam versi CBU dengan harga jualan anggaran belasan ribu ringgit, atau mungkin bawah RM10 ribu ringgit dalam versi pemasangan tempatan (CKD).
Spesifikasi MODENAS MEV-1 Pro
Kuasa: 5.8 hp
Daya kilas: 165 Nm
Pek bateri: 5.4 kWh
Jarak gerak: 95 km
Dimensi: 2,094 x 727 x 1,141 mm
Jarak roda: 1,366 mm
Jarak lega bumi: 154 mm
Tinggi pelana: 760 mm
Suspensi: Fork teleskopik hadapan, penyerap hentak tunggal belakang
Saiz tayar: 100/80-16 depan, 110/80-14 belakang
Brek: Rotor 240 mm depan, 180 mm belakang
MODENAS MEV-1 Pro
MODENAS MEV-1 Pro SX
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.