Airbus, Rolls-Royce jamin beri sokongan penuh tangani isu teknikal A330neo MAS

Airbus telah memberi jaminan untuk memberi sokongan penuh kepada Malaysia Airlines yang bertindak menggantung operasi sebuah pesawat baharu Airbus A330neo selama sekurang-kurangnya 48 jam selepas melakukan penerbangan sulung ke Melbourne pada 19 Disember lepas, lapor Bernama.

Pesawat yang dilengkapkan dengan teknologi enjin terbaharu Rolls Royce itu mengalami masalah teknikal selepas melakukan penerbangan sulung yang dikaitkan dengan kebimbangan melibatkan kualiti pengeluaran serta proses penghantarannya.

“Kami sedang memberi sokongan secara langsung kepada syarikat penerbangan itu bagi meleraikan isu-isu ini bersama dengan pihak Rolls-Royce,” kata jurucakap Airbus kepada Bernama hari ini.

Pada 19 Disember lepas, Malaysia Aviation Group (MAG) yang juga syarikat induk bagi syarikat penerbangan nasional itu, mengadakan majlis memperkenalkan pesawat A330-900 (A330neo) pertama di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut laporan media, Malaysia Airlines terpaksa bertindak membatalkan penerbangan MH149 ke Melbourne pada 21 Disember lepas akibat isu teknikal serta apa didakwa sebagai hasil kerja kilang yang tidak memuaskan, sekali gus menyebabkan pesawat itu digantung operasi pada masa ini bagi kerja-kerja baik pulih.

A330neo merupakan pesawat terbaharu menyertai kumpulan pesawat MAG yang terus meningkat dengan penghantaran sebanyak 20 pesawat menjelang 2028 susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Airbus, Rolls-Royce dan Avolon pada Ogos 2022.

Pesawat yang dikuasakan oleh enjin Trent 7000 Rolls-Royce, bercirikan inovasi terkini dalam aerodinamik, bahan mentah maju dan membolehkan pengurangan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon sehingga 14 peratus berbanding generasi sebelumnya.

MAG pada masa ini mengendalikan sebanyak 107 kumpulan pesawat yang digunakan anak syarikatnya, termasuk Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan MASkargo.

Selain daripada Airbus, MAG juga dijejaskan oleh kelewatan penghantaran pesawat Boeing 737-8 pada tahun ini.

MAG terima pesawat pertama A330neo

Syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) telah menerima penghantaran pesawat Airbus A330neo pertamanya, semalam.

Pesawat A330-900 itu merupakan unit pertama daripada 20 pesawat yang disewa daripada Avolon oleh MAG, di mana ia menetapkan piawaian baharu untuk kecekapan bahan api dan pengalaman penumpang.

Airbus A330neo dikonfigurasikan dengan susun atur premium dua kelas yang menampilkan 297 tempat duduk termasuk 28 tempat duduk kelas perniagaan.

Sementara kabin ekonomi pula mampu memuatkan 269 orang penumpang.

Antara kemudahan yang ditawarkan termasuklah storan atas kepala yang besar, kualiti udara yang ditambahbaik, sistem infohibur dalam penerbangan terkini dan sambungan Wi-Fi berkelajuan tinggi.

MAS akan menggunakan pesawat A330neo ini untuk penerbangan merentas Asia dan Pasifik, serta beberapa laluan terpilih ke Timur Tengah.

MAG merupakan syarikat yang ke-20 yang menyertai kumpulan pengendali global pesawat moden cekap bahan api A330neo.

Sehingga kini, Airbus telah menghantar lebih daripada 140 unit pesawat A330neo kepada syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Tentera Udara Indonesia tempah 4 helikopter Airbus H145

Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) membuat tempahan empat helikopter Airbus H145 sebagai sebahagian daripada program pemodenan latihannya, menurut laporan Bernama.

Helikopter ini akan digunakan untuk latihan ketenteraan dan misi mencari dan menyelamat ringan.

Tempahan ini diumumkan minggu ini semasa Pertunjukan Udara Antarabangsa Bali, sebagai sebahagian daripada perjanjian antara Tentera Udara dan syarikat aeroangkasa PT Dirgantara Indonesia (PTDI), menurut kenyataan Airbus pada Rabu.

Di bawah perjanjian itu, Airbus akan membekalkan H145 kepada PTDI, yang akan menguruskan pemasangan semula dan melengkapkan peralatan misi serta kerja-kerja penyesuaian lain di kemudahannya di Bandung, Indonesia sebelum diserahkan kepada tentera udara.

“Kami yakin bahawa H145 yang serba boleh ini akan memberi impak positif dalam meningkatkan latihan juruterbang, sambil memainkan peranan penting dalam operasi mencari dan menyelamat,” kata Ketua Airbus Helicopters Asia-Pasifik, Vincent Dubrule.

Presiden pengarah PTDI, Gita Amperiawan berkata kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh perkongsian yang lama terjalin antara PTDI dan Airbus, tetapi juga mempamerkan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan boleh dipercayai bagi keperluan operasi negara.

“Melalui kerjasama erat ini, PTDI bukan sahaja akan menyokong penghantaran helikopter H145 tetapi juga meningkatkan keupayaan dalam integrasi dan pemasangan di kemudahan kami,” kata Gita.

Airbus Helicopters dan Indonesia menjalinkan kerjasama hampir 50 tahun, bermula pada 1976 dengan lesen PTDI untuk menghasilkan helikopter NBO-105.

PTDI menjadi pembekal utama untuk  ‘rear fuselage’ dan rangka utama Airbus H225 pada 2008, dengan pengeluaran penuh tersedia di Indonesia menjelang 2011.

Pesawat kargo Airbus Beluga singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi

PESAWAT kargo, Airbus Beluga A300-600ST mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) semalam kira-kira jam 3:49 petang.

Berdasarkan data diperoleh daripada aplikasi Flightradar24, Beluga siri ketiga itu singgah di LTAL setelah memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India pada pukul 9:49 pagi waktu tempatan.

Pesawat itu mendarat di Langkawi untuk mengisi minyak sebelum menyambung penerbangan ke destinasi seterusnya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat pesawat ‘gergasi’ tersebut dengan memenuhi sepanjang pagar di tepi landasan LTAL. Ia mempunyai rekabentuk unik dan rata-rata netizen menyamakannya dengan ikan flower horn.

Beluga A300-600ST mempunyai ukuran panjang 56.15 meter dan setinggi 17.24 meter itu dioperasikan oleh dua orang krew. Ia mempunyai berat kira-kira 86,500kg dan mampu membawa muatan sehingga 47,000kg.

Gambar oleh: Flight Global

Pesawat ini mampu membawa kapal terbang kecil atau helikopter selain sering membawa alat ganti pesawat ke seluruh dunia. Benjolan di atas ruang kokpitnya mempunyai pintu besar yang boleh dibuka untuk akses ke ruang kargonya.

Beluga yang dikendalikan oleh Airbus Transport International (ATI) berpengkalan di Toulouse, Perancis memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Francazal pada 20 Julai lalu ke Lapangan Terbang Marseille.

Gambar oleh: Muslim Mazlan

Airbus teroka teknologi hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan dengan DisruptiveLab

AIRBUS semasa persidangan tahunan mereka telah mendedahkan DisruptiveLab, sebuah pelantar dan makmal terbang baharu. Ianya direka bagi menguji teknologi untuk menambahbaik prestasi pesawat dan mengurangkan pelepasan karbon dari helikopter.

DisruptiveLab juga sebenarnya sebuah prototaip helikopter. Ia akan menilai binaan aerodinamik baharu untuk mengurangkan penggunaan bahan api selain menuju ke arah pacuan hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan.

Demonstrator ini akan memulakan penerbangan sebelum hujung 2022 untuk ujian dan membangunan teknologi-teknologi baharu tersebut.

“DisruptiveLab pergi lebih jauh dalam strategi Airbus Helicopters untuk mengurangkan kesan helikopter terhadap alam sekitar dan untuk mempelopori industri penerbangan yang mapan,” kata Bruno Even, CEO Airbus Helicopters.

“Binaan inovatif dan jana kuasa hibrid baharu ini hanya boleh diuji dengan demonstrator baharu bagi mengesahkan impak keseluruhan dalam pengurangan pelepasan karbon, iaitu sehingga 50 peratus,” tambahnya.

Pesawat demonstrator itu dibina dengan badan aliminium dan komposit yang aerodinamik, direka khas untuk mengurangkan seretan (drag) lantas mengurangkan penggunaan bahan api.

Bilahnya disepadukan dengan rotor agar keseluruhan struktur ini lebih kompak, mengurangkan seretan udara, dan menambahbaik kecekapan tenaga di samping mengurangkan tahap bunyi. Bahagian ekornya lebih ringan, menampilkan rekaan rotor Fenestron yang lebih senyap dan mempunyai prestasi lebih baik.

Demonstrator FlightLab yang diuji bermula 2020.

Syarikat penerbangan Perancis ini telah mula menggunakan demonstrator terbang mereka sejak 2020 dengan Flightlab. Ia menggunakan platform H130 sedia ada untuk menguji teknologi berkenaan autonomi. DisruptiveLab yang baharu ini lebih memfokus kepada prestasi dan alam sekitar.

Gambar oleh: Airbus