Selepas pelancaran skuter maxi kembara Vanguard 250 awal tahun yang lalu, Aveta Malaysia kini melancarkan dua buah skuter daripada siri Nova yang lebih mampu milik – Nova 125 dan Nova 160.
Aveta Nova 125
Skuter berharga RM5,188 ini direka untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan termasuklah para pelajar yang mahu mencari kenderaan yang lebih mampu milik.
Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara 125 cc menghasilkan kuasa 9.0 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 8.6 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan teleskopik, diikuti lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal di belakang.
Selain itu, ia mendapat ciri Combined Brake System (CBS) yang terdiri daripada brek cakera hadapan dan gelendong di belakang, serta rim 14 inci dengan balutan tayar 80/90-14 depan dan 90/90-14 di belakang.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api 6 liter, panel meter digital LCD, soket pengecas USB, serta tinggi pelana 765 mm.
Aveta Nova 125 tersedia dengan warna Peach Berry, Grey Lemon, dan Blue Lemon.
Aveta Nova 160
Peminat skuter yang lebih bergaya boleh mendapatkan Aveta Nova 160 dengan harga jualan bermula dari RM7,988.
Ia dikuasakan enjin silinder tunggal sejukan cecair 154.4 cc menghasilkan 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, diikuti penyerap hentak berkembar berserta sub-tangki di belakang.
Nova 160 didatangkan dengan sistem brek cakera depan dan belakang, sayang sekali ia tidak didatangkan dengan ciri keselamatan brek anti-kunci.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api 10 liter, sistem tanpa kunci, sistem idling stop system (ISS), panel meter digital, sistem lampu LED, soket pengecasan USB dan tinggi pelana 778 mm.
Skuter Nova 160 tersedia dengan warna Raven Red, Aveta Blue dan Copper Blaze.
Kedua-dua model Nova 125 dan Nova 160 berada di pasaran Malaysia bermula Mac 2025.