Cruiser Benda LFC700 Pro 2025 mendarat di Malaysia – RM48,888

MForce Bike Holdings baru sahaja melancarkan model cruiser bergaya, iaitu Benda LFC700 Pro untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan cuma RM48,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 676 cc sejukan cecair, LFC700 Pro ini mampu menjana kuasa 92.5 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 63 Nm @ 8,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan, sistem ‘sliding clutch’ dan sistem pacuan akhir rantai untuk penukaran gear yang lebih responsif dan lancar.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik yang menawarkan jarak pergerakan roda 100 mm, diikuti penyerap hentak udara tunggal dengan jarak pergerakan roda 35 mm.

Sistem brek menggunakan rotor berkembar saiz 320 mm di depan, diikuti rotor bersaiz 260 mm di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran dan sistem kawalan cengkaman (TCS).

Antara ciri unik yang wujud pada cruiser ini termasuklah sistem RAM-air pada bahagian perumah ‘lampu utama’, lampu utama LED jenis pop-up di bahagian sisi, serta radiator bersaiz besar.

Segala informasi boleh diakses menerusi skrin paparan TFT saiz lima inci berwarna penuh, selain terdapat port pengecasan USB untuk kegunaan semasa tunggangan.

Benda LFC700 Pro menawarkan kapasiti tangki bahan api sebesar 17 liter, serta tempat duduk ergonomik setinggi 695 mm.

Cruiser Benda Chincilla 500 rasmi di Malaysia – RM27,888

MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar sah motosikal jenama Benda melancarkan cruiser terbaharu Chinchilla 500, menyertai dua model cruiser yang sudah tersedia ada di sini.

Berbeza dengan Napoleon Bob 500 yang telah dilancarkan sebelum ini, Chincilla 500 membawakan rupa cruiser yang lebih konvensional, lengkap dengan tempat duduk untuk memuatkan pembonceng.

Benda Chinchilla 500 dikuasakan oleh enjin V-twin SOHC sejukan cecair bersesaran 475.6 cc yang mampu menjana kuasa 47 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 42 Nm @ 7,200 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan, sistem pacuan akhir tali sawat serta klac slipper.

Casis cruiser ini disokong dengan sistem gantungan yang terdiri daripada fork 41 mm jenis terbalik di depan (jarak pergerakan roda 129 mm) dan penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-muatan (jarak pergerakan roda 65 mm).

Sistem brek pula menggunakan angkup empat omboh dan rotor brek terapung tunggal saiz 320 mm di depan, sementara bahagian belakang pula menggunakan angkup dua omboh dan rotor bersaiz 260 mm.

Secara standard, Chinchilla 500 ini hadir dengan unit pencahayaan LED, serta ciri keselamatan seperti ABS dua saluran dan kawalan cengkaman.

Selain itu, terdapat skrin kluster berbentuk bulat yang ringkas bertenggek di atas bar hendal, tangki bahan api sebesar 16 liter dan pelana berketinggian 705 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Benda Chincilla 500 dijual pada harga RM27,888.