BMW M5 Touring 2025 muncul, alternatif lebih praktikal banding sedan M5

Ucapkan selamat datang kepada model wagon pantas yang baharu sahaja dilancarkan, iaitu BMW M5 Touring 2025.

BMW M5 varian bumbung panjang ini merupakan model wagon ketiga dalam sejarah M5, di mana kali terakhir model wagon M5 muncul adalah pada tahun 2007.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang anda perlu tahu pasal M5 Touring 2025 ini:

 

1. Berat 2.5 tan

BMW M5 2025 boleh digelar sebagai anak gajah, dengan berat keseluruhan mencecah hampir 2.5 tan, disebabkan rangkaian kuasa yang digunakan.

Namun untuk model M5 Touring, BMW menganggarkan berat sekitar 2,508 kg, atau 63 kg lebih berat berbanding model sedan.

 

2. Nisbah agihan berat badan hampir 50:50

Satu perkara yang tidak wujud pada model sedan ialah nisbah agihan berat badan hampir 50:50.

Menurut BMW, ia adalah disebabkan faktor seperti jarak antara roda yang panjang, trek lebar, dan titik graviti yang lebih rendah.

 

3. Kuasa sama macam M5 sedan

BMW M5 Touring 2025 menggunakan tetapan yang sama seperti model sedan.

Enjin 4.4 liter turbo bentangan V8 yang dibantu dengan sistem hibrid itu berupaya menjana kuasa 717 hp dan 1,000 Nm.

Pecutan 0-96 km/j adalah sepantas 3.5 saat (M5 sedan 3.4 saat), dengan kelajuan tertinggi sekitar 248 km/j.

Dengan pakej M Driver, anda boleh pandu wagon ini pada kelajuan maksimum 304 km/j.

 

4. Ruang kargo besar

Kelebihan yang wujud pada model wagon sudah pasti ruang yang lebih praktikal.

BMW M5 Touring 2025 dengan garis bumbung yang panjang ini menawarkan ruang sebesar 501 liter dan boleh mencecah sehingga 1,631 liter apabila tempat duduk baris kedua (40:20:40) itu dilipat rata.

Ciri lain masih lagi sama macam M5 sedan, seperti panel skrin melengkung, paparan grafik spesifik M, BMW’s Operating System 8.5, roda stereng rekaan baharu serta sistem pencahayaan ambien yang khas.

 

5. Pelancaran

BMW M5 Touring 2025 akan dilancarkan di peringkat global menjelang suku keempat tahun ini.

Ia juga akan ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat dengan harga jualan bermula dari $121,500 (RM539,010).

 

BMW M3 Competition xDrive 2025, kuasa 523 hp tapi rupa depan kurang garang

BMW akhirnya mengemas kini penawaran model sedan pantas M3 untuk model tahun 2025.

Kemas kini pertengahan kitaran tersebut membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik yang tidak begitu ketara, namun menjadikannya kurang garang berbanding penawaran terdahulu.

 

 

Seperti contoh, unit lampu utama yang telah direka semula dengan grafik LED yang lebih ringkas, rim aloi tempa dengan kemasan baharu, serta logo dengan kemasan luaran perak untuk M3 Competition.

Ada duit ekstra? Anda boleh mendapatkan pakej M Carbon Exterior yang menambah komponen CFRP seperti inlay liang kemasukan udara hadapan, perumah cermin sisi, diffuser serta spoiler belakang, serta opsyen untuk menambah brek seramik karbon, tempat duduk bucket M Carbon, roda stereng balutan Alcantara dan trim gentian karbon.

 

 

Untuk ruang kabin, BMW M telah meringkaskan lagi kokpit dengan mengurangkan butang fizikal, diikuti dengan roda stereng tiga jejari bawah rata, serta skrin sebesar 12.3 inci dan 14.9 inci yang dikawal oleh BMW Operating System 8.5.

Selain itu, terdapat juga penggunaan bahan yang lebih premium, seperti kemasan Sensatec dan Aluminum Rhombicle Anthracite, serta opsyen M Carbon Fiber dan M Fine Brushed Aluminum.

Tidak seperti Mercedes-AMG C 63 yang mahu tunjuk kuasa dengan enjin hibrid empat silinder sebaris, kesemua model M3 mengekalkan penawaran enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkuasa 473 hp yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan dan pacuan roda belakang, atau 503 hp dalam trim M3 Competition dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat, sementara model tiga pedal pula sepantas 4.1 saat.

 

 

Mahukan opsyen yang lebih berkuasa, pilih sahaja M3 Competition xDrive, di mana BMW M telah ‘mengurut’ semula unit rangkaian kuasa itu supaya mampu menjana kuasa setinggi 523 hp (+20 hp) dan daya kilas puncak 649 Nm yang masuk antara 2,750 hingga 5,730 rpm.

Dalam versi ini, M3 Competition xDrive berupaya memecut sepantas 3.4 saat dari pegun ke 100 km/j.

Produksi BMW M3 2025 hanya akan bermula pada bulan Julai 2024 di kilang BMW Munich, Jerman.