Apabila berbicara tentang hypercar yang dibina khusus untuk beraksi di litar lumba, kita semua sedia maklum bahawa kos penjagaannya boleh menyamai atau bahkan melebihi harga sebuah kereta marhaen.
Ya, memang itu jangkaannya. Tetapi dengan Bugatti Bolide, maksud “mahal” dibawa ke tahap yang jauh lebih ekstrem.
Baru-baru ini, YouTuber dan pemilik koleksi kereta mewah terkenal, Manny Khoshbin, berkongsi pengalamannya memiliki hypercar bernilai kira-kira $4.7 juta (RM20.6 juta) itu.
Pertama sekali, tayar. Bugatti mengesyorkan agar tayar ‘slick’ Bolide ditukar selepas hanya 60 km digunakan di litar demi prestasi dan keselamatan. Untuk gambaran lebih jelas, 60 km bersamaan kira-kira 12 pusingan di Litar Antarabangsa Sepang.
Menurut Khoshbin, sebelum Bolide boleh ‘dilenjan’, tayarnya perlu dipanaskan, kemudian dipasang dan dibuka sebanyak tiga kali bagi mencapai cengkaman optimum. Selepas itu barulah ia boleh dibawa turun ke litar.
Kos satu set tayar? Sekitar $8,000 (RM35,000), iaitu lebih kurang harga sebuah Proton Saga. Tapi itu masih lebih murah berbanding tayar Chiron (RM31,000) dan jauh lebih berpatutan daripada tayar Veyron yang boleh mencecah lebih RM180,000.
Walau bagaimanapun, jika disimpan dalam garaj berhawa dingin dan tidak digunakan langsung, tayar tersebut dikatakan boleh tahan sehingga lima tahun.
Di sebalik tayar tersebut, terdapat sistem brek karbon-karbon terbesar yang pernah dipasang pada sebuah kereta litar. Kos penggantian pad brek keluaran Brembo itu tidak didedahkan, tetapi boleh dijangka ia bukan murah.
Selain tayar, beberapa komponen keselamatan Bolide turut mempunyai tarikh luput. Ini termasuk tali pinggang keledar, bahan pelapik, tangki bahan api khas, dan alat pemadam api.
Bercakap tentang keselamatan, Bolide turut dilengkapi suis pemati enjin dan sistem pemadam kebakaran automatik. Kedua-duanya boleh diaktifkan sama ada dari dalam kereta atau melalui pemegang merah besar di luar badan kereta.
Bolide dikuasakan enjin 8.0-liter W16 dengan empat pengecas turbo yang mampu menjana sehingga 1,600 PS. Tetapi nak hidupkan enjin ini bukanlah semudah menekan butang start Myvi. Suis utama perlu ditarik terlebih dahulu, kemudian hidupkan suis pencucuh, dan barulah tekan butang mula yang terletak pada stereng.
Yang agak pelik, walaupun harganya puluhan juta, Bolide tidak mempunyai kipas penyejukan terbina dalam. Selepas digunakan di litar, pemilik perlu menyejukkan enjin menggunakan kipas luaran selama sekurang-kurangnya 30 minit untuk elak daripada enjin terlalu panas.
Nota kaki: Hmm, macam-macam. Baik masuk track dengan Myvi je. Kipas radiator pun ada.