Kereta sifar bintang Latin NCAP: Chevrolet Groove

Chevrolet Groove merupakan sebuah model crossover yang dijual di pasaran Amerika Latin dan Timur Tengah.

Model tersebut merupakan versi tukar lencana daripada Baojun 510 yang dihasilkan oleh SAIC-GM-Wuling.

Sayang sekali, ia juga menjadi salah satu model yang gagal dalam ujian penilaian kenderaan baharu Latin Amerika (Latin NCAP), dengan skor sifar bintang merangkumi 39.42 peratus dalam perlindungan penumpang dewasa, 68.57 peratus dalam perlindungan kanak-kanak, 36.37 peratus untuk perlindungan pejalan kaki dan 58.14 peratus dalam bantuan keselamatan.

Dalam skop pelanggaran hadapan, kenderaan tersebut mempamerkan struktur yang tidak stabil, manakala perlindungan terhadap dada, lutut dan kaki pemandu pula hanyalah sedikit (marginal).

Ujian impak pelanggaran sisi pula mendedahkan terdapat pencerobohan kepada ruang penumpang.


SUV kecil itu juga turut menawarkan perlindungan yang lemah terhadap kepala pejalan kaki, manakala perlindungan atas kaki dinilaikan juga dinilaikan sebagai lemah.

Latin NCAP menyeru para pengguna untuk berhenti membeli crossover Groove ini sehinggalah Chevrolet menghasilkan versi yang lebih selamat.

Untuk makluman, Chevrolet Groove secara standard datang dengan empat beg udara tanpa sebarang sistem bantuan pemandu termaju ditawarkan sebagai opsyen.

Chevrolet bukanlah satu-satunya pengeluar utama yang terpalit dalam situasi sebegini.

Sebuah lagi crossover kecil, Toyota Raize (kembar Perodua Ativa) turut memperoleh skor sifar bintang dalam ujian penilaian Latin NCAP awal bulan lalu.

Chevrolet beri peringatan untuk recall beg udara Takata di Malaysia

Chevrolet telah menyiarkan notis peringatan pemanggilan semula (recall) melibatkan 3,725 unit kenderaan Chevrolet dan Saab di Malaysia. Notis pemanggilan semula itu mula dikeluarkan pada Jun tahun lepas.

Chevrolet Orlando. Gambar oleh: Autoworld

Menurut syarikat itu, pemanggilan semula tersebut bagi menggantikan inflator beg udara pemandu Takata yang bermasalah.

Model-model yang terlibat adalah:

  • Chevrolet Cruze (2010-2015)
  • Chevrolet Orlando (2013-2015)
  • Chevrolet Sonic (2013-2014)
  • Chevrolet Trax (2017)
  • Saab 9-3 (2007)
Saab 9-3. Gambar oleh: Autopedia

Seperti yang diketengahkan tahun lepas, syarikat itu berkata kenderaan yang terlibat berkemungkinan mempunyai inflator beg udara yang mengandungi tablet PSAN (phase-stabilized ammonium nitrate) yang tidak dikeluarkan lembapan padanya.

Chevrolet Cruze

Ia berkemungkinan mengalami perubahan selepas terdedah kepada suhu tinggi dan kitaran suhu di kawasan berkelembapan tinggi.

Hasilnya, inflator itu mungkin pecah jika gas terhasil melebihi kemampuan inflator untuk mengeluarkan gas itu. Ini menyebabkan tekanan meningkat melebihi kekuatan mekanikal inflator itu, menjurus kepada pecahnya perumah inflator.

Chevrolet Sonic. Gambar oleh: Yahoo News Malaysia

Seorang jurucakap untuk Chevrolet Sales Thailand berkata syarikatnya bertanggungjawab untuk kempen pemanggilan semula di rantau Asia Tenggara. Katanya, kadar respon di Malaysia adalah di bawah jangkaan, maka sebab itulah ada peringatan semula.

Syarikat itu berkata mereka bimbang memandangkan kematian boleh berlaku jika beg udara yang bermasalah itu meletup semasa kemalangan. Mereka mendesak agar pemilik kenderaan-kenderan ini menggantikan beg udara mereka.

“Kami berharap pengguna jalan raya di Malaysia berkongsi berita ini, atau sebarkan kepada rakan-rakan serta insan tersayang yang mungkin memiliki kenderaan Chevrolet.

“Pemilik Chevrolet terlibat yang belum mendapat notis atau panggilan disebabkan data yang tidak dikemas kini digalakkan menghubungi pasukan talian kami atau layari laman web pemanggilan semula ini.

“Untuk keselamatan anda dan insan tersayang, lebih baik untuk menukarnya sebelum musim perayaan bermula,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Chevrolet, memandangkan kenderaan yang terlibat bukanlah baharu, ianya menjadi sukar untuk mengesan pemilik memandangkan data yang tidak dikemas kini. Ini lebih buruk lagi disebabkan tiadanya wakil rasmi Chevrolet di Malaysia.

Bagi mereka yang terlibat atau ingin membuat semakan, boleh terus ke laman web atau hubungi 011-3129-9963 atau 011-3129-9965.