Cyclone RE600, 58 hp/55 Nm, imej retro moden, harga RM25,888

MForce Bike Holdings bakal melancarkan sebuah jentera scrambler retro moden RE600 sebagai pelengkap kepada model-model yang telah disebutkan pada artikel terdahulu (RT3E, RX650 & RA600).

Sama seperti model RA600, RE600 turut mendapat enjin parallel-twin 550.4 cc berkuasa 58 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 55 Nm @ 6,500 rpm.

Jentera ini mampu mencapai kelajuan tertinggi 170 km/j.

Sistem suspensi RE600 terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) diikuti dengan penyerap hentak tunggal di belakang.

Aspek pemberhentian pula diserahkan kepada rotor brek berkembar di hadapan, serta rotor brek tunggal di belakang, dibantu dengan sistem ABS dan sistem kawalan cengkaman (TCS).

Imej retro jentera ini disumbangkan dengan unit pencahayaan LED bulat depan, lampu belakang LED nipis, lampu membelok jenis LED, dan skrin penghadang angin yang kecil.

Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT berwarna penuh.

Ciri lain termasuklah rim 17 inci, tangki bahan api sebesar 20 liter, dan tinggi pelana 800 mm.

Harga jualan Cyclone RE600 adalah sekitar RM25,888 apabila ia dilancarkan pada pertengahan tahun kelak.

Cruiser Cyclone RA600 dipertontonkan, harga RM25,888

Melengkapkan lagi penawaran jenama Cyclone untuk pasaran Malaysia tahun ini ialah jentera cruiser RA600, membawakan tanda harga RM25,888.

Cyclone RA600 dikuasakan oleh enjin parallel-twin 550.4 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 58 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 55 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi sistem pacuan tali sawat.

Aspek gantungan jentera ini terdiri daripada fork teleskopik hadapan, serta penyerap hentak tunggal di belakang.

Membawakan penampilan yang agresif, cruiser ini didatangkan dengan sistem lampu LED depan dan belakang, sistem ekzos berkembar, bar hendal terdedah, dan panel skrin digital LCD berbentuk bulat yang agak ringkas.

Ciri lain termasuklah rim 16 inci, cermin sisi pada penghujung bar hendal, tangki bahan api sebesar 14.5 liter dan tinggi pelana 725 mm.

Pihak MForce mengumumkan harga jualan RA600 sekitar RM25,888 apabila ia dilancarkan menjelang pertengahan tahun ini.

Jentera adventure touring Cyclone RX650 bakal masuk Malaysia, harga jangkaan bawah RM30k

Selain daripada Cyclone RT3E, pihak MForce turut mengambil kesempatan memperlihatkan jentera adventure touring 650 cc Cyclone RX650 yang bakal masuk pasaran Malaysia kelak.

Dari segi kuasa, RX650 dijana dengan enjin parallel-twin 650 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 70 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 62 Nm @ 7,000 rpm.

RX650 dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan jenis terbalik (USD), diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar di hadapan, rotor tunggal di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Selain itu, RX650 mendapat teknologi seperti sistem pencahayaan LED, Cornering ABS, sistem penukaran gear pantas (quickshifter), kawalan jelajah, radar pengesan titik buta dan sistem kamera perakam tunggangan depan dan belakang.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 20 liter, rim 17 inci, tinggi pelana 820 mm, skrin penghadang angin boleh laras, serta skrin paparan TFT berwarna penuh.

Kami difahamkan harga jualan Cyclone RX650 bermula bawah RM30,000 apabila model ini masuk pasaran Malaysia secara rasmi menjelang pertengahan tahun ini.

MForce perlihat skuter klasik Cyclone RT3E, harga RM12,888, pelancaran tahun ini

Mforce Bike Holdings Sdn Bhd dalam satu sesi lawatan ke kilang Zoshen di Chongqing, China bersama para pengamal media Malaysia memperlihatkan beberapa buah model motosikal jenama Cyclone yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Salah satu daripadanya ialah Cyclone RT3E yang membawakan imej skuter klasik seakan Vespa.

Dari segi kuasa, RT3E didatangkan dengan enjin silinder tunggal 247 cc menghasilkan kuasa 26.15 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 24.5 Nm @ 6,500 rpm.

Skuter ini dilengkapi dengan sistem brek cakera depan dan belakang, dibantu dengan sistem ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 10 liter, tinggi pelana 750 mm, panel meter digital, lampu LED, skrin penghadang angin, crash bar kiri dan kanan, rak hadapan, serta tayar klasik dinding putih.

Untuk pasaran Malaysia, Cyclone RT3E bakal dijual pada harga RM12,888.