Ferrari 296 Speciale diperkenalkan, 0-100 km/j dalam 2.8 saat, ‘top speed’ lebih 330 km/j

Bagi mereka yang merasakan Ferrari 296 GTB sudah cukup hebat, Maranello kini membawa supercar itu ke tahap lebih tinggi. Memperkenalkan 296 Speciale dan versi convertible-nya iaitu Speciale A – secara asasnya lebih berkuasa, lebih ringan dan lebih aerodinamik berbanding model asal.

‘Nadi’ utama 296 Speciale ialah enjin 3.0-liter twin-turbo V6 yang sama seperti yang terdapat pada versi standard, tetapi telah dipertingkatkan dengan rod penyambung titanium, piston baharu, aci engkol lebih ringan serta pemetaan daripada kereta lumba 296 Challenge.

Selain itu, motor elektrik turut ditala semula dan kini mampu menjana kuasa tambahan sebanyak 180 PS/315 Nm. Secara keseluruhannya, jentera ini mempunyai 880 PS, iaitu 50 PS lebih tinggi berbanding GTB. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi DCT lapan kelajuan yang ditala untuk memanfaatkan kuasa tambahan itu.

Gabungan ini membolehkan kereta ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.8 saat, dan 0 hingga 200 km/j dalam 7.0 saat sahaja. Kelajuan maksimum pula dikatakan melebihi 330 km/j.

Jangan lupa yang 296 Speciale masih lagi sebuah kereta hibrid plug-in (PHEV), bermakna ia boleh dipandu sejauh 24 km dalam mod elektrik sepenuhnya.

Selain peningkatan kuasa, Ferrari turut memberi fokus kepada pengurangan berat. Penggunaan gentian karbon secara meluas membolehkan 296 Speciale kehilangan sekitar 60 kg, manakala 296 Speciale A pula sekitar 50 kg.

Untuk sistem aerodinamik pula, 296 Speciale mendapat bampar depan dan belakang yang direka semula, diffuser belakang yang lebih besar, serta sayap aktif boleh laras yang memberikan 20% lebih downforce berbanding model standard.

Khas untuk 296 Speciale A adalah flap pada penyandar kepala yang bertindak untuk mengurangkan gangguan angin dan mengalirkan udara lebih baik.

Sistem suspensi ditingkatkan dengan spring titanium yang lebih keras dan penyerap hentak Multimatic boleh laras, sama seperti yang digunakan pada 296 GT3. Ia turut menggunakan rim aloi lima jejari baharu yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Di sebalik rim berkenaan adalah brek karbon seramik berukuran 398 mm di depan dan 360 mm di belakang, yang membolehkan kereta ini berhenti dari kelajuan 200 km/j ke 0 dalam jarak hanya 206 meter.

Harga rasmi 296 Speciale dan Speciale A belum diumumkan dan kalau diikutkan, memang Ferrari tidak akan mendedahkan harga sebenar model istimewa seperti ini namun laporan mengatakan bahawa ia bermula sekitar $464,000 (anggaran RM2.2 juta).

40% daripada pelanggan kami berusia bawah 40 tahun – CEO Ferrari

Ramai orang menyimpan impian untuk memiliki kereta Ferrari namun tidak semua mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk berbuat demikian.

Manakala mereka yang mampu untuk membelanjakan jutaan ringgit untuk supercar dari Maranello itu pula biasanya sudah mencecah usia pertengahan.

Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, Ferrari dilihat semakin popular dalam kalangan pembeli daripada kelompok lebih muda.

Bercakap kepada CNBC, Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Benedetto Vigna mendedahkan bahawa 40% daripada pembeli baharu jenama itu berusia bawah 40 tahun.

Angka yang disebutkan oleh Vigna itu menunjukkan peningkatan signifikan sebanyak 10% berbanding 18 bulan lalu.

“Saya tidak pasti untuk jenama lain, tetapi bagi kami, ia adalah satu pencapaian yang disumbang oleh pasukan kami,” tambahnya.

Angka ini boleh dianggap mengejutkan memandangkan Ferrari sebuah jenama yang sangat mementingkan keeksklusifan.

Tahun lalu, Fortune melaporkan bahawa 81% daripada kereta Ferrari baharu dijual kepada pelanggan sedia ada dan daripada jumlah tersebut, 48% sudah memiliki lebih daripada satu Ferrari.

Namun bagi penulis, ini bukan sesuatu yang menghairankan kerana seperti yang kita boleh lihat, semakin ramai orang muda menjadi kaya dengan menceburi bidang mata wang kripto dan penciptaan kandungan.

Tidak lupakan juga golongan atlet profesional dan selebriti muda yang sememangnya gemar mengumpul kereta mewah seperti Ferrari.

Ferrari F40 Alte Prestazioni lebih mudah dijinakkan

Dengan rekaan yang tak lapuk dek zaman hasil sentuhan Pininfarina, ramai menganggap Ferrari F40 sebagai kereta Ferrari yang paling cantik pernah dihasilkan.

Bukan itu sahaja, dengan enjin 2.9-liter twin-turbo V8 yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan, ia juga digelar sebagai supercar analog terhebat pada zamannya.

Walau bagaimanapun, gabungan enjin berkuasa tinggi, badan yang ringan serta kekurangan sistem elektronik menjadikan F40 begitu liar dan sukar untuk dijinakkan. Buktinya? Tahun ini sahaja sudah dua buah F40 ranap dalam insiden berasingan.

Bagi mengelak bilangan F40 daripada terus berkurangan, sebuah syarikat dari Turin, Itali iaitu Officine Fioravanti telah menghasilkan pakej istimewa bagi menjadikan kereta itu lebih mudah dipandu tanpa menjejaskan karakternya.

Pakej yang dikenali sebagai Alte Prestazioni itu merangkumi sistem suspensi Ohlins TTX 36 dengan pelarasan empat hala, di samping lengan, galas bebola dan hub carrier baharu.

Turut disertakan adalah cakera karbon seramik dan angkup Brembo (enam piston di depan, empat di belakang), serta ABS yang dipertingkatkan. Stereng juga ditambah baik menerusi bantuan kuasa hidraulik.

Oleh kerana F40 dianggap sebagai antara Ferrari paling lawa pernah dihasilkan, tidak banyak yang dibuat untuk meningkatkan penampilannya.

Namun untuk membuatkannya nampak lebih agresif, Officine Fioravanti menyertakan rim lebih besar berukuran 18 inci di depan dan 19 inci di belakang. Pelanggan boleh memilih sama ada untuk mendapatkan tayar Michelin Cup 2 atau Pirelli P Zero.

Harga pakej ini tidak dinyatakan namun bagi mereka yang memiliki F40, kos sudah tentu bukan satu isu.

Ferrari 12Cilindri rasmi dilancarkan di Malaysia, varian coupe & Spider, harga dari RM4.7 juta

Ucapkan selamat datang kepada sebuah lagi model Grand Tourer terbaharu daripada Ferrari membawakan format nama yang agak aneh dan pelik – 12Cilindri.

Ya, 12Cilindri (sebutan Docici Cilindri) merupakan terjemahan kepada perkataan Itali yang membawa maksud 12 unit silinder, menunjukkan model GT ini masih lagi kekal dengan penawaran enjin bentangan V12.

Dalam hierarki model, Ferrari 12Cilindri direka untuk menggantikan model 812 Superfast yang sudah agak berusia.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang Ferrari 12Cilindri yang masuk ke pasaran Malaysia ini:

 

1. Enjin

Ferrari 12Cilindri dikuasakan nadi V12 6.5 liter aspirasi semula jadi (NA), menghasilkan 830 hp @ 9,250 rpm dan 678 Nm @ 7,250 rpm.

Tiada sebarang bantuan hibrid diberikan pada model ini, namun Ferrari berjaya untuk memenuhi segala regulasi undang-undang emisi yang telah ditetapkan.

 

2. Modifikasi yang dibuat

Beberapa pengubahsuaian telah dibuat pada nadi V12 ini, termasuklah penggunaan con rod aluminium untuk mengurangkan jisim putaran sebanyak 40 peratus berbanding con rod keluli.

Selain itu, terdapat juga omboh aloi aluminium, aci engkol ringan yang telah diseimbangkan, serta komponen ‘sliding finger followers‘ dengan salutan DLC (Diamond-Like-Carbon) dipinjamkan daripada sukan F1 yang mampu mengurangkan geseran dan meningkatkan aspek kecekapan mekanikal enjin tersebut.

 

3. Transmisi

Ferrari 12Cilindri didatangkan dengan kotak gear automatik klac berkembar lapan-kelajuan, menjanjikan penukaran gear 30 peratus lebih cepat berbanding model 812.

Tidak cukup dengan itu, Ferrari turut memperkenalkan sistem yang dinamakan sebagai ‘Aspirated Torque Shaping’, di mana sistem ini menggunakan elektronik untuk mengubah lengkungan tork pada nisbah gear ketiga dan keempat.

 

4. Prestasi

 

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.9 saat, atau 7.9 saat untuk mencapai 200 km/j sebelum mencecah kelajuan maksimum 340 km/j.

Versi Spider pula sedikit perlahan, di mana ia memerlukan 2.95 saat untuk mencapai 100 km/j, dan 8.2 saat untuk mencecah 200 km/j.

 

5. Casis

 

Penggunaan struktur badan aluminium penuh menjadikan casis 12Cilindri ini 15 peratus lebih tegar.

Walaupun lebih panjang berbanding 812 Superfast, 12Cilindri didatangkan dengann jarak antara roda 20 mm lebih pendek, menyumbang kepada kelincahan kawalan.

Secara asasnya, sebuah Ferrari 12Cilindri mempunyai berat kering sekitar 1,560 kg, manakala varian Spider pula lebih berat, sekitar 1,620 kg.

 

6. Rupa

 

Muka hadapan 12Cilindri macam pakai cermin mata itu mengingatkan kita pada model ikonik 365 GTB/4 Daytona.

Ia dipadankan dengan set rim bersaiz 21 inci pada keempat-empat sudut gerbang roda yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport S5 atau Goodyear Eagle F1 Supersport.

 

7. Aspek aerodinamik

Ferrari 12Cilindri menggandingkan aerodinamik pasif dan aktif untuk memastikan tahap pekali seretan (Cd) yang jauh lebih baik berbanding model 812 Superfast.

Seperti contoh, rekaan bawah badan untuk memaksimumkan janaan beban menegak yang lebih cekap, louver di belakang roda hadapan untuk mengurangkan tekanan berlebihan pada ruang enjin, tiga pasang penjana vorteks pada bahagian bawah hadapan, serta elemen aerodinamik aktif yang berfungsi antara kelajuan 60 km/j-300 km/j untuk memaksimumkan daya mendap.

 

8. Ruang kabin

Tiada sebarang kluster meter analog dibekalkan, sebaliknya 12Cilindri banyak bergantung kepada penggunaan skrin digital, dimulakan dengan skrin 15.6 inci di depan pemandu, skrin tengah 10.25 inci dan skrin hadapan penumpang sebesar 8.8 inci.

Roda stereng dipinjamkan daripada model 296 GTB yang lengkap dengan butang kawalan kapasitif.

Selain alunan V12, penumpang juga boleh menikmati alunan muzik yang keluar daripada sistem audio Burmester yang dilengkapi dengan 15 pembesar suara.

Tidak ketinggalan, sokongan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto turut disediakan.

 

9. Teknologi moden

12Cilindri mendapat manfaat daripada pelbagai ciri moden standard, seperti contoh ABS Evo, sistem brake-by-wire, perisian Slide Slip Control 8.0 (SSC 8.0), serta sistem stereng empat roda yang pintar.

 

10. Harga

Untuk pasaran Malaysia, Ital Auto meletakkan tanda harga 12Cilindri bermula dari RM4.7 juta untuk versi coupe, manakala 12Cilindri Spider pula berharga RM5.1 juta.

 

Ferrari mahu hidupkan semula F40 di bawah siri Icona

Jika sebelum ini Lamborghini mengambil langkah berani menghidupkan semula nama ikonik Countach, Ferrari juga mungkin akan menggunakan pendekatan yang sama menerusi model ikonik Prancing Horse: F40.

Menurut laporan daripada Top Gear memetik sumber “yang sangat dipercayai”, sebuah F40 versi moden mungkin akan dibangkitkan semula sebagai sebahagian daripada siri model Icona Ferrari.

Pada ketika ini, Ferrari sudah pun membina beberapa model Icona, iaitu Monza SP1, Monza SP2 serta Daytona SP3 yang dihasilkan dalam unit terhad.

Ferrari F40 merupakan supercar V8 yang dihasilkan dari tahun 1987 hingga 1992, dan merupakan model terakhir yang diiktiraf dan diluluskan oleh Enzo Ferrari.

Dengan rekaan yang dihasilkan oleh Pininfarina, F40 merupakan salah satu supercar dengan bentuk badan yang paling cantik untuk menghiasi dinding golongan petrolhead era tersebut.

Untuk mengekalkan tema F40, Ferrari mungkin akan menggunakan tetapan nadi V8 turbo berkembar hibrid daripada SF90 Stradale pada model Icona terbaharu tersebut.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada kemunculan semula F40 versi moden itu akan diterima dengan baik oleh peminatnya ataupun tidak.

Lihat saja tahap penerimaan terhadap Lamborghini Countach moden, di mana rekaan supercar itu dikritik keras dan tidak mendapat pengiktirafan daripada pereka asal Countach, Marcello Gandini.

Apa pendapat anda? Adakah wajar model ikonik ini diberikan nafas baharu seperti model pesaing Lamborghini Countach?

Ferrari F80, hypercar dengan nadi V6 hibrid turbo berkembar, 1,184 hp!

Ferrari akhirnya membuka tirai bagi hypercar F80, pewaris kepada model-model bertaraf mercu seperti GTO, F40, F50, dan Enzo setelah lebih sedekad melancarkan model mercu LaFerrari.

Biarpun tanpa enjin ikonik V12, Ferrari F80 tetap menjadi model yang paling berkuasa pernah dibina oleh jenama Prancing Horse, dengan kuasa keseluruhan mencecah 1,184 hp.

Lebih daripada separuh kuasa kuda itu disumbangkan oleh enjin bentangan V6 120 darjah, di mana komponen ICE itu sahaja mampu menghamburkan kuasa setinggi 888 hp dan 740 Nm, jauh lebih tinggi berbanding model 296 GTB.

Enjin itu dibantu dengan tetapan tiga motor elektrik, dua di hadapan berkuasa 282 hp dan motor ketiga di belakang berkuasa 80 hp.

Ini menjadikan F80 model hypercar Ferrari pertama yang hadir dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Sayang sekali, tiada mod EV dibekalkan walaupun ia mempunyai tiga motor elektrik.

Sebaliknya, pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan, iaitu Hybrid yang mengutamakan pemulihan tenaga dan pengecasan bateri, Performance dan Qualify untuk kuasa sepenuhnya.

Terdapat teknologi yang dinamakan sebagai Boost Optimization di mana sistem akan mengenalpasti seksyen yang memerlukan tujahan tenaga tambahan dan kemudian sedia untuk melampiaskan kuasa tersebut bila diperlukan.

Untuk model bertaraf mercu ini, Ferrari F80 menampilkan casis monocoque gentian karbon, diikuti sub-rangka depan dan belakang diperbuat daripada aluminium.

Struktur rekaan yang tidak simetri ini menyediakan konfigurasi tempat duduk 1+1, di mana tempat duduk pemandu boleh dilaras posisinya manakala kedudukan tempat duduk penumpang pula tidak boleh dilaras.

Bahagian luar F80 turut menampilkan rujukan elemen rekaan daripada model-model Ferrari yang terdahulu.

Seperti contoh, visor hadapan yang diinspirasikan daripada model Daytona diikuti dengan fender hadapan bersegi dan fender belakang yang mengingatkan kita pada model F40 yang sangat seksi itu.

Aspek aerodinamik F80 banyak diambil daripada pengetahuan Ferrari di dalam sukan Formula 1, di mana secara keseluruhan mampu menjana daya mendap seberat 1,000 kg pada kelajuan 249 km/j.

Sistem brek CCM-R Plus yang dibangunkan bersama Brembo menawarkan kekuatan mekanikal 100 peratus lebih baik berbanding brek gentian karbon biasa, dan 300 peratus kadar kekonduksian haba yang lebih baik.

Terdapat dua pilihan tayar iaitu Michelin Pilot Sport Cup 2s atau Pilot Sport Cup 2Rs dengan saiz 285/30 di depan dan 345/30 di belakang.

Selain berkongsi enjin yang sama dengan 296 GTB, F80 sebenarnya turut berkongsi tetapan sistem suspensi yang sama seperti Purosangue.

Sistem peredam spool-valve Multimatic ini mampu menawarkan keseimbangan antara pengendalian berprestasi dan pemanduan yang berkualiti, dalam masa yang sama mengenepikan penggunaan bar anti-oleng tradisional.

Tidak ketinggalan, sistem keselamatan aktif termasuklah brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong, bantuan suluhan tinggi automatik dan sistem pengecaman papan tanda trafik.

Hanya 799 unit Ferrari F80 yang akan diproduksikan bermula akhir tahun 2025, setiap satu memiliki tanda harga bermula €3.6 juta (RM16.87 juta).

 

7 selebriti ini dilarang membeli Ferrari, artis Malaysia ada tak?

Dari mula ia diasaskan hinggalah ke hari ini, setiap kereta yang dihasilkan oleh Ferrari menjadi rebutan ramai. Oleh itu tidak hairanlah pengeluar supercar dari Maranello, Itali itu mempunyai ‘kuasa’ untuk memilih siapa yang berhak menjadi pelanggannya.

Agak luar biasa, bukan? Tetapi itulah hakikat bagi sebuah jenama yang mengutamakan imej lebih daripada segala-galanya.

Percaya atau tidak, Ferrari sebenarnya mempunyai senarai individu yang terdiri daripada selebriti terkenal yang dihalang daripada membeli kereta keluarannya. Berikut adalah antara nama besar dalam senarai tersebut:

Justin Bieber

Foto: Autoevolution

‘Beliebers’ pasti ingat bahawa bintang pop terkenal itu pernah membeli sebuah Ferrari 458 Italia sekitar tahun 2011. Dia menghantar keretanya ke West Coast Customs untuk mendapatkan balutan berwarna Electric Blue, kit badan Liberty Walk serta logo kustom. Itu kesalahan pertama.

Bukan itu sahaja, selepas berparti di Beverley Hills, Bieber dilaporkan tidak menjumpai keretanya itu selama tiga minggu! Tidak lama selepas ia dijumpai kembali, penyanyi lagu Baby itu melelongnya pada harga sekitar $435,000 tanpa izin Ferrari. Patutlah kena ban.

Floyd Mayweather Jr.

Foto: Eurosport

Hampir sama seperti kes Justin Bieber, Mayweather Jr. dihalang daripada membeli Ferrari kerana dia melanggar peraturan pemilikan Ferrari yang melarang pelanggan daripada menjual kereta mereka dalam tempoh kurang setahun selepas dibeli.

Namun penulis pasti ini bukanlah satu masalah besar buat Mayweather Jr. kerana dia adalah peninju terkaya dunia dengan pendapatan sekitar $450 juta setakat ini. Dengan harta sebanyak itu, banyak lagi kereta mewah yang boleh dibeli olehnya.

Kim Kardashian

Foto: vroomgirls.com

Sama ada benar atau tidak Kim Kardashian di-ban daripada membeli Ferrari sebenarnya masih kabur namun cerita ini timbul kerana dia pernah dilihat memandu Ferrari 458 Italia berwarna putih yang dilaporkan dihadiahkan oleh Jho Low.

Disebabkan publisiti negatif yang berpunca daripada skandal 1MDB, nama Kim Kardashian dikatakan telah dimasukkan ke dalam senarai tidak rasmi individu-individu yang dilarang daripada membeli Ferrari.

Deadmau5

Foto: Ben via Wikimedia Commons

Kira-kira 10 tahun yang lalu, artis EDM dari Kanada, Joel Zimmerman atau lebih dikenali sebagai Deadmau5 membalut Ferrari 458 Spider miliknya dengan livery meme Nyan Cat. Malah dia juga menukar logo kuda jenama itu dengan logo kucing, manakala tulisan ‘Ferrari’ ditukar menjadi ‘Purrari’.

Tidak cukup dengan itu, Zimmerman turut menjual kereta itu menerusi laman Craigslist tidak sampai setahun selepas memilikinya. Seperti yang anda boleh jangka, tindakan itu mengundang amarah Ferrari yang kemudiannya menghantar surat pemberhentian (cease and desist) kepada Zimmerman.

Tyga

Foto: E Online

Menurut laporan, Tyga pernah menyewa sebuah Rolls-Royce Ghost dan sebuah Ferrari 458 Spider sekitar tahun 2016. Namun penyanyi rap terkenal itu dilaporkan gagal membayar duit sewaan sebelum perjanjian sewaan tamat menyebabkan kedua-dua kereta tersebut ditarik semula.

Bukan itu sahaja, keengganannya membayar hutang kepada syarikat yang menyewakan kedua-dua kereta berkenaan menyebabkan Tyga disaman oleh syarikat itu dan ini sudah tentu memberikan imej buruk kepada Ferrari.

50 Cent

Foto: Facebook 50 Cent

Seorang lagi bintang rap yang ‘berjaya’ meletakkan namanya dalam senarai hitam Ferrari adalah 50 Cent atau nama sebenarnya Curtis Jackson. Pada 2020, Jackson mengadu di media sosial apabila Ferrari 488 miliknya tidak dapat dihidupkan akibat bateri mati.

Dalam hantaran tersebut, Jackson berkata dia tidak mahu kereta itu lagi dan akan menggantikannya dengan kereta smart. Publisiti buruk seperti ini sudah tentu tidak digemari oleh Ferrari.

Chris Harris

Foto: Motoring Research

Mereka yang tidak mengikuti perkembangan sektor automotif mungkin tidak mengenali Chris Harris namun dalam dunia kereta, Harris dianggap sebagai salah seorang wartawan yang cukup dihormati.

Pertelingkahan antara Harris dan Ferrari berpunca daripada sebuah artikel bertajuk ‘How Ferrari Spins’ yang diterbitkan dalam laman web Jalopnik pada 2011. Dalam artikel itu, Harris mendakwa Ferrari mengubahsuai unit pandu uji mereka bagi memastikan ia mendapat pujian tertinggi dari wartawan automotif.

Ferrari lanjut tempoh waranti bateri PHEV sehingga 16 tahun

Kereta dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) mampu menawarkan manfaat yang tersendiri untuk pembeli yang masih keberatan untuk membeli EV, namun antara mimpi ngeri yang masih lagi membelenggu sesetengah pengguna ialah kos penggantian bateri yang agak mahal.

Terutama apabila mereka memilih untuk mendapatkan model berprestasi tinggi seperti supercar Ferrari dan Lamborghini.

Untuk para pemilik Ferrari, jenama Prancing Horse itu kini menyediakan dua pelan lanjutan jaminan bagi model-model PHEV seperti SF90 Stradale, SF90 Spider, SF90 XX Stradale, SF90 XX Spider, 296 GTB dan 296 GTS.

 

 

Dua pelan yang dimaksudkan itu ialah Warranty Extension Hybrid dan Power Hybrid yang disasarkan untuk pemilik Ferrari yang mahu mengekalkan prestasi dan kecemerlangan kereta sports hibrid mereka dari semasa ke semasa.

Pelan Warranty Extension Hybrid menawarkan tempoh jaminan sehingga tahun kelapan pemilikan di mana bateri bervoltan tinggi akan digantikan tanpa tambahan kos.

Sementara pelan Power Hybrid pula merupakan pelan jangka panjang yang merangkumi kesemua komponen utama termasuklah sistem hibrid bermula dari tahun kelapan hingga tahun keenam belas.

Ini bermakna, sekiranya pek bateri PHEV tersebut berdepan masalah pada tahun ke-16, ia juga akan digantikan secara percuma.

 

Menariknya, pada masa depan para pemilik supercar PHEV Ferrari mungkin akan dapat menikmati teknologi bateri yang jauh lebih canggih dan maju.

Menurut Ferrari, bateri bervoltan tinggi yang bermasalah itu akan digantikan dengan komponen baharu yang lebih canggih dan menjanjikan prestasi yang sama seperti bateri asal, atau mungkin lebih daripada itu.

Pelan jangka panjang ini juga boleh dipindah hak kepada mana-mana pemilik yang membeli supercar ini selepas pemilik asal menjualnya.

Ferrari juga menjelaskan pelan baharu yang ditawarkan ini juga turut tersedia untuk mana-mana supercar yang tidak lagi tertakluk di bawah jaminan pengeluar yang asal, namun ia memerlukan pemeriksaan teknikal yang menyeluruh.

Adakah ini bentuk sebenar EV pertama Ferrari?

Ferrari bakal melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka pada tahun 2025 dan pada saat ini jenama Prancing Horse mungkin sudah pun memulakan fasa pengujian model sifar emisi tersebut.

Ini adalah berdasarkan kelibat sebuah model aneh yang berjaya dikesan oleh pengguna Instagram Derek Cornelissen baru-baru ini berdekatan dengan fasiliti Ferrari di Maranello.

 

 

Berdasarkan pengamatan, ‘kuda elektrik’ yang aneh itu mengguna pakai badan Maserati Levante yang telah diubahsuai, menampilkan unit lampu yang dipinjam daripada Ferrari Roma serta rekaan rim yang agak unik.

Seperkara lagi, Ferrari dilihat memadankan empat tip ekzos palsu pada hujung bampar belakang, diikuti dengan kehadiran beberapa pelekat voltan tinggi berwarna kuning yang memberikan petanda ia adalah sebuah kenderaan elektrik.

Difahamkan, ini bukanlah bentuk akhir EV yang bakal diproduksikan oleh Ferrari, memandangkan jenama itu sendiri belum mendedahkan bentuk badan yang bakal digunakan oleh kenderaan pantas sifar emisi tersebut.

 

 

Malah Ferrari sebelum ini turut menjanjikan EV pertama mereka akan menghasilkan bunyi yang tulen persis sebuah Ferrari yang sebenar, walaupun tidak diketahui cara apakah yang bakal digunakan oleh pengeluar itu kelak.

Biarpun Ferrari baru berjinak-jinak dalam arena EV, jenama itu masih lagi setia untuk menghasilkan enjin bentangan V12 sehingga ‘ia diharamkan’ oleh undang-undang.

Menjelang 2030, Ferrari menjangkakan 20 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan terdiri daripada supercar/SUV berenjin pembakaran dalaman tulen, diikuti 40 peratus kenderaan plug-in hybrid (PHEV) manakala selebihnya terdiri daripada EV.

 

Ferrari akan terus hasilkan enjin V12 sehingga ia diharamkan

BUKANLAH satu rahsia bahawa Ferrari bertekad untuk terus menghasilkan enjin V12 selama mungkin. Malah, supercar terbaru dari Maranello pun diberi nama 12Cilindri sempena jumlah silinder yang ada padanya.

Bercakap kepada Car Expert, pengarah pemasaran produk Ferrari, Emanuele Carando memberi jaminan kepada peminat bahawa syarikat itu akan terus menghasilkan kereta dengan enjin 6.5-liter itu sehingga ia diharamkan.

“Kami akan menghasilkan V12 aspirasi natural sehingga undang-undang [tidak lagi] membenarkan kami. Kami berharap undang-undang pada masa depan akan terus memberikan peluang, mungkin dengan mengusahakan petrol baharu yang lebih mampan,” kata Carando.

Di dalam 12Cilindri Coupe dan Spider, enjin 6.5-liter V12 keluaran Ferrari boleh berputar sehingga 9,500 rpm sahaja namun secara teknikalnya enjin berkenaan mampu mencapai 10,000 rpm.

Menurut ketua program V12, Ruggero Cevolani, had putaran yang lebih rendah sengaja dipilih untuk memaksimumkan penghantaran kuasa untuk mengelakkan “kejatuhan dalam sensasi pecutan berterusan.”

Tambah beliau lagi, Ferrari pertama sekali adalah “syarikat kejuruteraan” dan sebab itulah prestasi menjadi keutamaannya.

Sebelum ini, ketua pereka Ferrari, Flavio Manzoni mengakui bahawa enjin V8 turbo lebih baik dari segi prestasi berbanding enjin V12. Bukan itu sahaja, beliau juga berkata bahawa enjin 12 silinder bukanlah enjin yang paling cekap.

Walau bagaimanapun, syarikat itu akan terus berjuang untuk enjin tersebut bagi memastikan ia hidup selama mungkin memandangkan  ia lebih beremosi berbanding enjin-enjin yang lebih kecil.

Ferrari bukanlah satu-satunya jenama mewah yang masih berminat menghasilkan enjin V12. Aston Martin juga mempunyai hala tuju yang sama dengan model Vanquish akan datang yang dikatakan mempunyai enjin V12 twin turbo yang lebih berkuasa.

Ferrari 12Cilindri – Enjin gempak, power gila, nama hampeh

ENJIN gempak, power gila, tapi nama hampeh. Itulah yang boleh diperkatakan mengenai Ferrari 12Cilindri serba baharu. Kami rindukan nama-nama hebat seperti Fiorano, Scuderia, Maranello, dan F50.

Ia dinamakan sempena enjin yang menjadi kemegahan Ferrari iaitu V12 naturally-aspirated berkapasiti 6.5-liter, serta menjana 819hp dan 678Nm tork.

Enjin ini diletakkan dalam konfigurasi front-mid pada badan dengan bonet depan yang panjang, suatu bentuk klasik Ferrari. Konfigurasi front-mid bermaksud di depan kabin, tetapi di belakang gandar depan, untuk imbangan optima.

Unit V12 ini telah digunakan sejak berdekad yang lalu, bermula pada Enzo. Untuk 12Cilindri, Ferrari berjaya melepasi piawaian ketat terkini tanpa sebarang bantuan hibrid atau elektrifikasi. Ya, jadi enjin ini dapat menjerit dan dikerah sendiri untuk mencapai kuasa puncaknya.

Teknologi terkini yang digunakan pada enjin V12 ini ialah Aspirated Torque Shaping yang menggunakan elektronik untuk mengubah lengkungan tork dalam gear tiga dan empat.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan yang terletak di belakang, seperti anda jangkakan, juga untuk imbangan berat. Kotak gear ini dikatakan mampu menukar gear 30 peratus lebih cepat dari 812, model sebelumnya.

Untuk prestasi, Ferrari berkata 12Cilindri ini mampu memecut ke 100km/j dalam 2.9 saat dan mencapai 200km/j kurang 7.9 saat. Versi Spider sedikit ‘perlahan’, iaitu 2.95 saat dan 8.2 saat masing-masing untuk mencapai 100km/j dan 200 km/j. Kelajuan maksima kedua-dua model adalah melebihi 340km/j.

Ferrari 12Cilindri dilengkapi dengan pelbagai sistem kawalan casis termaju seperti Side Slip Control 8, sistem stereng empat-roda bebas, pilihan rim 20 atau 21-inci, dan pilihan tayar Michelin Pilot Sport S 5 atau Goodyear Eagle F1 Supersport. Casis juga 15 peratus lebih tegar berbanding 812.

Seperti dijangka, harganya tidak akan murah. 12Cilindri dijual pada harga USD423,000 (RM2.006 juta) untuk coupe dan USD466,000 (RM2.209 juta) bagi Spider. Pada masa ini, kita bolehlah anggap semuanya telah habis dijual kerana Ferrari V12 mempunyai permintaan sangat tinggi.

Ferrari F40 ranap dalam kemalangan di Stuttgart

DALAM tempoh lima tahun iaitu dari 1987 hingga 1992, hanya sebanyak 1,315 unit Ferrari F40 yang keluar dari kilang penghasilan syarikat itu di Maranello, Itali.

Berapa banyak F40 yang masih wujud tidak diketahui namun jumlah supercar itu semakin berkurang selepas sebuah lagi remuk selepas merempuh dinding terowong di Jerman.

Menurut laporan, F40 berkenaan dipandu oleh seorang pekerja pengedar kenderaan mewah Mechatronik yang sedang dalam perjalanan ke acara Motorworld di Böblingen.

Kira-kira 18 km dari destinasi, pemandu berusia 24 tahun itu dikatakan hilang kawalan ketika memandu di dalam terowong Engelberg di Stuttgart.

Seorang jurucakap polis memberitahu akhbar tempatan Bild, buat masa ini tidak diketahui sama ada kemalangan tersebut disebabkan oleh kerosakan teknikal atau kelajuan berlebihan.

Pemandu tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu namun egonya sudah tentu tercalar. Dia juga mungkin tidak bekerja di situ lagi.

Ini kerana dia telah meranapkan salah satu kereta Ferrari paling ikonik pernah dihasilkan. Sebelum kejadian ini, F40 berkenaan diiklankan dalam laman web Mechatronik dengan harga $3.2 juta (RM15.3 juta).

F40 dikuasakan oleh enjin 2.9-liter twin-turbo V8 yang menghamburkan 471 hp ke roda belakang menerusi transmisi manual lima kelajuan.

Lupakan tentang sistem bantuan pemandu kereta ini memang ‘kosong’. Radio, karpet dan pendingin hawa pun tak ada, apatah lagi sistem elektronik canggih yang dapat menyelamatkan pemandu dari kesilapan mereka sendiri.

Namun itulah tarikan F40 yang membuatkan ramai tergila-gila sehingga ke hari ini.

EV Ferrari tidak akan senyap, adakah bising macam sebuah Ferrari asli?

Apa yang terbayang apabila nama Ferrari melintas dalam kotak fikiran?

Barisan ‘kuda’ yang mampu memecut pantas dan dalam masa yang sama mempunyai runut bunyi yang cukup garang dan agresif.

Namun, apa yang akan terjadi sekiranya Ferrari hadir dengan model kenderaan elektrik (EV) pertama mereka tahun hadapan? Tanpa bantuan enjin, adakah ia masih berbunyi macam sebuah Ferrari sejati?

 

Ferrari 296 GTB, sebuah supercar plug-in hybrid (PHEV)

 

Menurut CEO-nya, Benedetto Vigna dalam satu temubual bersama Squawk Box Europe CNBC menjelaskan, Ferrari akan tetap berusaha mengekalkan aspek prestasi dan penggayaan yang unik pada barisan EV mereka kelak.

Vigna menambah, Ferrari sedang membangunkan sistem bunyi unik untuk dipadankan pada model-model EV berdasarkan paten yang telah didaftarkan pada tahun 2023.

Teknologi ini membolehkan Ferrari bereksperimentasi dengan banyak perkara, dan dalam masa yang sama tidak menjadikan sesebuah EV Ferrari itu senyap macam tipikal EV jalanan.

Beliau turut yakin syarikat itu mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang istimewa dengan memanfaatkan teknologi terkini dengan cara yang tersendiri.

 

 

Dalam pada itu, Vigna berpendapat enjin pembakaran dalaman (ICE) tidak akan pupus begitu sahaja dari pasaran kereta mewah.

Jenama Prancing Horse itu akan terus menawarkan barisan model berenjin pembakaran dalaman, hibrid dan BEV di mana 60 peratus daripadanya terdiri daripada kenderaan berelektrik.

 

Sistem brek bermasalah, Ferrari berdepan tindakan undang-undang di US

Pengeluar kereta pantas Itali, Ferrari berdepan dengan tindakan undang-undang di Amerika Syarikat berhubung kegagalan syarikat itu menangani isu brek bermasalah melibatkan model popular termasuklah 458 dan 488, menurut laporan Road & Track.

Tuntutan undang-undang tersebut difailkan di mahkamah persekutuan San Diego Isnin lalu.

Pada tahun 2021, Ferrari telah mengumumkan kempen panggil semula melibatkan hampir 10,000 unit kereta termasuklah model 458 yang diproduksikan dari 2010 hingga 2015, serta model 488 (2016-2019).

Masalah kebocoran bendalir brek mampu mengakibatkan kehilangan kuasa membrek, dan ia merupakan satu masalah besar terutama bagi mana-mana Ferrari yang mampu mencapai kelajuan melebihi 300 km/j.

Salah seorang mangsa, Iliya Neschev dari California yang memandu sebuah Ferrari 458 2010 yang dibeli tahun 2020 mendakwa beliau berdepan dengan situasi mencemaskan beberapa kali disebabkan oleh kegagalan sistem brek.

Apabila kereta tersebut dibawa ke pengedar Ferrari untuk diperiksa, beliau hanya diberitahu sistem brek kereta tersebut adalah ‘normal’ dan perlu membiasakan diri dengan keadaan tersebut.

Pembekal komponen brek Bosch yang dikatakan bermasalah turut dinamakan dalam tuntutan tersebut.

 

Ferrari 512M milik Gerhard Berger ini dijumpai semula selepas dicuri 28 tahun lepas!

LONDON Metropolitan Police baru menyelesaikan satu kes kecurian lama. Unit Organised Vehicle Crime menjumpai sebuah Ferrari 512M yang dicuri dari seorang pemandu Formula Satu, Gerhard Berger kira-kira 28 tahun lalu di Grand Prix San Marino 1995 di Imola.

Pencuri itu telah melarikan 512M milik Berger di lot parkir hotel semasa hujung minggu perlumbaan. Turut dicuri pada masa yang sama ialah kereta rakan sepasukan Berger, Jean Alesi iaitu sebuah Ferrari 355.

Polis London menjumpai 512M Berger itu dengan bantuan Ferrari. Pengeluar itu melaporkan kepada pihak polis bahawa mereka telah memeriksa kereta itu bagi pihak pelanggan Amerika yang membelinya dari seorang broker di UK.

Menurut siasatan polis, kereta itu dibawa ke Jepun selepas ia dicuri. Ia kembali ke UK pada penghujung 2023 sebelum pihak polis merampasnya bagi mengelakkan ia keluar dari negara itu.

Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut, belum ada sebarang penahanan dibuat. Sayangnya, F355 milik Alesi masih belum dijumpai.

Walaupun kereta mereka dicuri, Berger dan Alesi tetap cemerlang di Grand Prix San Marino 1995. Alesi menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Berger di tempat ketiga.

Ferrari 512M ialah evolusi terakhir Testarossa yang popular pada tahun 1980an. Berbanding versi-versi awal, 512M mendapat lampu depan biasa dan bukannya jenis pop-up.

Ia dipacu enjin 4.9-liter flat-12 yang dinaik taraf, menghasilkan 434hp dan 500Nm tork. Hanya 501 unit Ferrari 512M pernah dihasilkan.

Kenapa Ferrari sedang uji Tesla Model S Plaid di Maranello?

Jenama Prancing Horse dilapor sedang menguji sebuah model berkuasa elektrik berdekatan dengan kilang pengeluarannya di Maranello.

Berdasarkan video oleh saluran YouTube Varryx, jurutera Ferrari dilihat memilih sebuah Tesla Model S Plaid yang dilengkapi dengan pelekat voltan tinggi, serta rim bersaiz 19 inci.

Ia merupakan sebahagian daripada persediaan Ferrari untuk melancarkan sebuah kenderaan elektrik yang dijangka muncul pada tahun 2025.

Dengan menggunakan Tesla Model S Plaid sebagai kereta ujian, EV pertama Ferrari berkemungkinan besar bakal menampilkan tetapan dua hingga tiga motor elektrik, dan kuasa yang mungkin mampu menyamai model Lanzador daripada pesaingnya Lamborghini.

Untuk info, Tesla Model S Plaid mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,020 hp sementara Lamborghini Lanzador pula mampu mencecah sehingga 1 megawatt (1,341 hp).

 

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak pihak mula menggunakan kereta elektrik Tesla untuk mengkaji kejuruteraan yang terkandung di sebalik EV tersebut, seperti contoh Porsche, Volvo dan juga Ford.

Ini kerana Tesla merupakan antara pihak terawal yang mula menceburkan diri dalam arena EV, dan antara yang pertama menawarkan kenderaan elektrik dengan jarak gerak yang agak jauh.

Jadi adalah masuk akal sekiranya pengeluar lain cuba untuk belajar daripada kelebihan dan kekurangan yang ada pada Tesla untuk diterapkan pada produk tersendiri.

 

 

Kos tukar monocoque Ferrari LaFerrari lebih RM5 juta! Kalau aku kaya…

KATAKANLAH anda baru terlibat kemalangan dalam Ferrari LaFerrari anda. Dan ia bukan sekadar bampar kemik, tetapi agak kuat sehingga merosakkan monocoque gentian karbon. Jika ia tidak boleh dibaiki, ia perlu diganti.

Menurut Scuderia Car Parts, anda boleh beli monocoque baharu terus dari Ferrari, dengan harga USD1,072 juta (RM5.00 juta).

Harga asal Ferrari LaFerrari pada 2013 ialah USD1.4 juta (RM6.53 juta), ini bermakna harga monocoque itu kira-kira tiga suku dari harga kereta.

Tetapi dalam tempoh 10 tahun, hypercar ini telah meningkat nilainya. Jika dirujuk online, harganya kini sekitar USD4 juta (RM18.66 juta).

 

Post by @16vpete
View on Threads

 

Bila casis monocoque telah rosak, bermakna anda juga harus tukar beberapa komponen lain yang berkaitan. Bumbungnya berharga USD140,645 (RM656k) dan bahagian bulkhead belakang berharga USD28,295 (RM132k).

Kemudian sub-frame depan juga perlu ditukar, tidak berapa mahal dengan harga USD12,372 (RM58k). Tetapi komponen ini memerlukan 14 skru titanium, setiap satu berharga USD71 (RM333).

Bagi kita, mungkin harga baik pulih ini boleh beli kereta atau rumah, tetapi biasa bagi golongan pemilik hypercar. Bak kata pepatah Melayu, besar periuk, besarlah keraknya, tak begitu?

Ferrari mengeluarkan 499 LaFerrari coupe, dan unit ke-500 pernah dikeluarkan khas untuk kebajikan gempa bumi di Itali.

LaFerrari dikuasakan oleh enjin 6.2-liter V12 naturally-aspirated yang menjana 800hp dan 700Nm tork. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa 3.5 saat dan mencapai 160km/j dalam hanya 9.2 saat. Kelajuan maksima pula melebih 350km/j.

Ferrari Roma Spider tiba di Malaysia dengan harga RM3.2 juta

SELAIN Ferrari Purosangue, Ital Auto Malaysia Sdn Bhd turut melancarkan satu lagi model Ferrari iaitu Roma Spider. Secara asasnya, ia merupakan versi convertible kepada Roma yang diperkenalkan di Malaysia pada Jun 2020.

Dari segi penampilan, Roma Spider masih mengekalkan bentuk asas versi coupe namun bumbung ala fastback itu telah digantikan dengan bumbung fabrik soft top.

Menurut Ferrari, bumbung berkenaan diperbuat menggunakan bahan fabrik baharu yang dikatakan lebih sofistikated. Ia boleh dibuka dan ditutup dalam masa 13.5 saat, ketika kereta bergerak pada kelajuan sehingga 60 km/j.

Apabila dilipat, bumbung tersebut hanya menggunakan ruang setinggi 220 mm di dalam but. Kapasiti ruang but adalah 255 liter apabila bumbung ditutup.

Bagi mengurangkan pergolakan udara dan bunyi di dalam kabin apabila bumbung dibuka, Roma Spider didatangkan dengan nolder 5 mm yang terletak pada rel cermin hadapan dan pemesong angin automatik yang boleh diaktifkan ketika kereta sedang bergerak.

Satu lagi ciri inovatif yang terdapat pada Roma Spider adalah spoiler aktif pada bahagian belakang. Ia boleh digunakan dalam tiga posisi berbeza iaitu Low Drag (LD), Medium Downforce (MD) dan High Downforce (HD).

Dalam kedudukan yang paling tinggi iaitu HD, spoiler tersebut boleh menjana downforce sehingga 95 kg pada kelajuan 250 km/j.

Ruang kabin Roma Spider membawakan susun atur kokpit berkembar yang sama dengan Roma. Ciri-ciri yang ada juga sama iaitu kluster instrumen digital 16 inci, skrin infohibur 8.4 inci dan stereng SF90 Stradale dengan pad sentuh yang ditambah baik.

Dari segi kuasa, Roma Spider menggunakan enjin yang sama dengan versi coupe iaitu enjin 3.9-liter twin-turbo V8 dengan 620 PS dari 5,750 hingga 7,500 rpm dan 760 Nm dari 3,000 hingga 5,750 rpm.

Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang memacu roda belakang. Ini membolehkan Roma Spider melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat dan 0-200 km/j dalam 9.7 saat. Kelajuan maksimum adalah melebihi 320 km/j.

Apa yang menarik, angka prestasi ini tidak jauh berbeza dengan Roma walaupun versi Spider ini 85 kg lebih berat, dengan berat keseluruhan 1,556 kg.

Harga jualan Ferrari Roma Spider bermula dari RM3.2 juta termasuk duti dan cukai. Seperti Purosangue, ia didatangkan dengan program jaminan lanjutan selama tujuh tahun.

Ferrari Purosangue dilancarkan di Malaysia, RM5 juta untuk SUV V12!

ITAL Auto Malaysia Sdn Bhd, pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Malaysia, secara rasmi telah melancarkan Ferrari Purosangue di bilik pamerannya yang terletak di Kuala Lumpur.

Bukan setakat SUV pertama Ferrari, Purosangue juga merupakan kereta empat pintu dan empat tempat duduk pertama bagi jenama supercar dari Itali itu.

Ia dibina menggunakan casis serba baharu dengan struktur bawah yang diperbuat sepenuhnya daripada aluminium aloi. Menurut Ferrari, casis ini lebih ringan dan tegar berbanding casis empat tempat duduk sebelum ini, sekali gus membantu meningkatkan aspek NVH.

Selain itu, ia mempunyai bumbung gentian karbon untuk merendahkan pusat graviti dan pintu belakang welcome doors untuk memudahkan penumpang masuk dan keluar.

Pintu tailgate yang diperbuat daripada aluminium mempunyai bukaan sehingga 73 darjah bagi membolehkan penumpang mengakses ruang but berkapasiti 473 liter dengan mudah.

Purosangue mempunyai susun atur transaxle dengan enjin tengah-depan dan kotak gear pada bahagian belakang. Enjin berkenaan dipadankan dengan Power Transfer Unit (PTU) untuk memberikan kereta ini pacuan semua roda (AWD) serta nisbah pengagihan berat 49:51%.

Dengan sesaran 6.5 liter dan 12 silinder yang disusun dalam bentuk V, enjin tersebut menghasilkan 725 PS pada 7,750 rpm dan 716 Nm pada 6,250 rpm.

Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan dan AWD, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.3 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam 10.6 saat. Kelajuan maksimum dikatakan melebihi 310 km/j.

 

Purosangue dilengkapi dengan sistem suspensi aktif dengan peredam adaptif True Active Spool Valve (TASV) System, serta pelbagai lagi ciri elektronik seperti Side Slip Control (SSC) 8.0 dan Chassis Dynamic Sensor enam hala (6w-CDS).

Di dalam, anda akan menemui empat tempat duduk individu, masing-masing dengan pelarasan elektrik, paparan berukuran 10.2 inci, pengecas wayarles dan sistem audio Burmester 3D.

Apa yang menarik, 85 peratus daripada trim di dalam kabin Purosangue diperbuat daripada bahan lestari. Sebagai contoh, pelapik bumbung diperbuat daripada polyester kitar semula, sementara karpet pula daripada poliamida yang dikitar semula daripada pukat nelayan.

Bukan itu sahaja, balutan Alcantara juga diperbuat daripada polyester kitar semula. Malah, Purosangue merupakan kereta pertama di dunia yang menggunakan versi ini.

Sistem keselamatan Purosangue terdiri daripada ciri-ciri bantuan pemandu ADAS seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic Emergency Brake System (AEB), Auto High Beam (HBA/HBAM), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist (LKA), Blind Spot Detection (BSD), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan pelbagai lagi.

Harga jualan Ferrari Purosangue bermula dari RM5 juta termasuk duti dan cukai. Ia didatangkan dengan program jaminan lanjutan selama tujuh tahun.

Ferrari KC23 model ‘one-off’ berasaskan 488 GT3 EVO – siapa pemiliknya?

ANDA mungkin sudah tahu bahawa Ferrari mempunyai program Special Projects yang bertanggungjawab untuk membina model-model kustom atau one-off untuk pelanggan-pelanggan terpenting mereka.

Apa yang anda lihat ini adalah jentera terbaru yang dihasilkan di bawah program itu yang dikenali sebagai KC23. Ia boleh digunakan di litar lumba sahaja dan dibangunkan berasaskan 488 GT3 EVO. Kereta ini mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Tetapi jika diperhatikan, kereta ini memang langsung tidak serupa seperti 488 GT3 EVO. Menurut Ferrari, ini kerana setiap garisan dan permukaan badan, termasuk kluster lampu dan tingkap, telah direka semula untuk memberikannya penampilan yang unik.

Hasilnya, KC23 tampil lain dari yang lain, dengan pintu butterfly yang buka ke atas, spoiler gergasi yang boleh dicabut selepas sesi litar dan juga panel badan bermotor yang boleh bergerak untuk membuka saluran udara.

Satu lagi ciri istimewa adalah warna baharu yang dikenali sebagai Gold Mercury. Warna ini dikatakan mempunyai unsur logam cair dan dicat sebanyak empat lapisan.

Apa yang menarik, kereta ini didatangkan dengan dua set tayar. Set pertama berukuran 18 inci dan dipadankan dengan tayar slick untuk kegunaan di litar, manakala set kedua, yang lebih sesuai untuk tujuan pameran, berukuran 21 inci di depan dan 22 inci di belakang.

Berlainan dengan rekaan luaran, ruang dalaman KC23 boleh dikatakan hampir sama dengan kabin 488 GT3 EVO. Ini bermakna ia mempunyai roll cage lengkap, stereng jenis yoke, kluster instrumen digital, panel butang pada bahagian tengah dan sepasang kerusi bucket dengan balutan Alcantara.

Untuk kuasa pula, jentera ini menggunakan enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang sama dengan EVO tetapi jumlah kuasanya tidak didedahkan. Namun, tidak mengejutkan jika ia mempunyai kuasa yang sama dengan 488 GTB iaitu 670 PS dan 760 Nm.