GAC Aion ES masuk pasaran EV Malaysia, harga bawah RM110,000

WTC Automotif (WTCA), pengedar rasmi jenama GAC Aion di Malaysia, tanpa disangka-sangka telah melancarkan sedan elektrik Aion ES pada acara Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024.

Dibina di atas platform elektrik Aion (AEP) 2.0, ES mempunyai ukuran panjang 4,810 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,545 mm, dengan jarak roda 2,750 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih besar berbanding sedan segmen C popular seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis.

Untuk pasaran Malaysia, ES didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda depan dengan 136 PS dan 225 Nm.

Motor elektrik berkenaan mendapat bekalan kuasanya daripada bateri LFP 55.2 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 442 km berdasarkan kitaran NEDC.

Bateri itu mengambil masa 11 jam untuk pengecasan penuh menggunakan pengecas AC 6.6 kW yang tersedia. Dengan pengecas DC berkapasiti 60 kW pula, ia memerlukan 30 minit untuk pengecasan 30-80% atau 1.5 jam untuk pengecasan penuh.

ES mempunyai fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kapasiti 3.3 kW, fungsi pemanduan pedal tunggal i-Pedal dan brek janaan semula dengan tiga tahap.

Dari segi kelengkapan, ES didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, rim aloi 17 inci dan tailgate elektrik yang memberikan akses kepada ruang but sebesar 450 liter.

Di dalam, terdapat upholsteri leatherette, tombol gear jenis rotari, pelarasan enam hala untuk kerusi pemandu, kluster instrumen LCD 3.5 inci, skrin sentuh 8.0 inci dengan Apple CarPlay, Keyless Entry, dan pendingin hawa dua zon dengan penapis udara PM2.5.

ADAS tidak disertakan. Sebaliknya, anda mendapat ciri keselamatan asas seperti ABS dengan EBD, ESP, Hill Hold Control, Seat Belt Reminder , TPMS dan dua beg udara.

Aion ES dijual pada harga RM106,800 dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Pure White, Glamour Black dan Holographic Silver.

Ia didatangkan dengan waranti kenderaan selama lapan tahun/160,000 km, dan waranti bateri EV, motor dan kawalan elektrik selama lapan tahun/200,000 km.

Sempena dengan pelancaran ini, pembeli akan menerima pengecas Wallbox bernilai RM3,500 secara percuma.

GAC Aion Hyper HT 2024, pintu ala Model X, jarak gerak 770 km

Tesla Model X mungkin sekali SUV elektrik canggih idaman ramai yang sukar untuk dimiliki kebanyakan orang, disebabkan harga jualan yang agak mahal.

Namun, pengguna di China kini boleh mendapatkan model alternatif pada harga yang jauh lebih murah.

GAC Aion Hyper HT 2024 yang anda lihat ini merupakan pendatang baharu di dalam segmen EV, dihasilkan oleh GAC Aion.


Di China, terdapat enam varian ditawarkan, masing-masing dengan nama yang sangat panjang.

Varian asas dimulakan dengan model RWD Technology Version, di mana ia mempunyai motor elektrik tunggal pacuan belakang berkuasa 241 hp dan 355 Nm, dan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat.

Pek bateri 72.7 kWh membolehkan SUV ini bergerak sejauh 600 km.

Sebuah lagi varian RWD menyokong fungsi penukaran bateri, di mana ia hanya dilengkapi dengan pek bateri yang lebih kecil (70 kWh), dengan jarak gerak maksimum 550 km.


Tiga varian pertengahan (RWD High-Voltage Version, RWD High-Voltage NDA Version, dan RWD Gull-Wing Doors High-Voltage NDA Version) mendapat kelengkapan yang lebih berkuasa – pek bateri 80 kWh dengan jarak gerak 670 km, dan motor elektrik 340 hp dan 440 Nm.

Varian tertinggi RWD Gull-Wing Doors High-Voltage Max Version pula mengekalkan motor elektrik 340 hp dan pecutan 0-100 km/j dalam 5.8 saat.

Cuma ia dibekalkan dengan pek bateri 93 kWh yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 770 km untuk sekali cas penuh.

Harga jualan Hyper HT ini bermula dari 213,900 yuan (RM138,253) untuk versi asas, sehinggalah 329,900 yuan (RM213,229) untuk varian tertinggi.