GWM Tank 500 HEV rasmi di Malaysia – harga RM328,800

GWM Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan SUV off-road mewah Tank 500 HEV di Malaysia Autoshow 2025.

Untuk pasaran tempatan, Tank 500 HEV dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo 224 PS/380 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 106 PS/268 Nm.

Kuasa keseluruhan mencecah 346 PS dan 648 Nm yang disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi automatik sembilan-kelajuan.

SUV tujuh tempat duduk ini membawakan ukuran dimensi 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm dan jarak antara roda 2,850 mm.

Tank 500 HEV menawarkan sistem pacuan roda pintar (dengan ciri M-Lock), sistem Intelligent All-Terrain dengan 11 mod pemanduan, fungsi Tank Turn, kawalan jelajah off-road serta fungsi casis pandang telus.

Ia juga mampu meredah air pada kedalaman maksimum 800 mm.

Untuk bahagian luaran, Tank 500 HEV menawarkan ciri seperti lampu LED projektor, jeriji besar dengan kemasan krom, lampu belakang LED, ruang tayar simpanan di belakang, rim 20 inci, serta tempat pemijak sisi boleh simpan automatik.

Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin kluster 12.3 inci, skrin infohibur 14.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, jam analog, slot pengecasan peranti nirwayar, butang kawalan iklim fizikal, serta sistem audio Infinity dengan 12 pembesar suara.

Ciri keselamatan termaju turut dimuatkan pada Tank 500 HEV termasuklah sistem brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal tengah lorong, sistem pengelakan pintar, sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, serta amaran bukaan pintu.

Ditawarkan dalam varian tunggal, GWM Tank 500 HEV dijual pada harga bermula dari RM328,800 atas jalan tanpa insurans.

GWM Malaysia buka tempahan SUV off-road Tank 500 HEV, harga anggaran bawah RM350,000

GWM Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV off-road mewah Tank 500 HEV untuk pasaran tempatan.

Tank 500 HEV secara asasnya merupakan sebuah SUV tujuh tempat duduk, membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm dan jarak antara roda 2,850 mm.

Ia dijana dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo dipadankan dengan motor elektrik tunggal 105 hp/268 Nm dan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan.

Secara keseluruhan, Tank 500 HEV mampu menghasilkan kuasa setinggi 346 hp dan 648 Nm.

Selain daripada sistem pacuan empat roda pintar (dengan ciri M-Lock), GWM Tank 500 HEV menawarkan sistem Intelligent All-Terrain yang turut merangkumi 11 mod pemanduan, fungsi Tank Turn, Off-road Cruise Control, dan fungsi casis pandang telus.

Antara kelengkapan ruang kabin termasuklah tempat duduk balutan kulit Nappa, sistem bunyi Infinity, tempat pemijak sisi berkuasa elektrik, serta fungsi urut dan ventilasi untuk tempat duduk hadapan.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan seperti enam beg udara, casis badan berkekuatan tinggi dan sistem bantuan pemandu termaju L2+.

Sesi pra-tempahan untuk GWM Tank 500 HEV kini dibuka di semua 14 pusat pengedar sah GWM di seluruh negara, dengan harga jualan bermula bawah RM350,000.

Tank 300 2025 ada versi diesel, 2.4T, 181 hp, 480 Nm, transmisi 9AT

Great Wall Motor (GWM) mengemaskini penawaran bagi model SUV off-road Tank 300 2025 di mana pelanggan kini boleh mendapatkan varian berenjin diesel serba baharu.

Tank 300 diesel dijana dengan enjin 2.4 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 181 hp dan daya kilas 480 Nm.

Dengan padanan transmisi automatik sembilan-kelajuan (9AT), Tank 300 dikatakan mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, dengan kadar kecekapan mencecah 97 peratus!

Selain daripada versi petrol turbo 2.0 liter (217 hp/380 Nm), Tank 300 juga tersedia dalam versi plug-in hybrid Hi4-T.

Kuasa keseluruhan Tank 300 Hi4-T mampu mencecah 402 hp dan daya kilas 750 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.7 saat dan menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 105 km.

10 mod pemanduan turut tersedia.

Perubahan besar dibawakan pada ruang kabin, di mana Tank 300 kini menampilkan skrin infohibur sebesar 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155, skrin kluster digital 12.3 inci, tuil transmisi pada kolum stereng serta roda stereng baharu.

Selain itu, terdapat juga sistem audio dengan 12 pembesar suara, sistem operasi Coffee OS 3, sistem pembatalan bunyi hingar aktif dan tempat duduk balutan kulit Nappa.

Disebabkan tuil transmisi telah dialihkan diikuti dengan susun atur butang fungsi pada konsol tengah telah diperbaharui, ruang kokpit kini nampak lebih lapang dan kemas.

Dari segi luaran, Tank 300 2025 masih lagi mengekalkan reka bentuk yang sama seperti model sedia ada, cuma ditambah dengan pilihan warna baharu desert yellow.

Di China, harga jualan Tank 300 2025 bermula dari 199,800 yuan (RM122,070), diikuti dengan versi diesel dari 234,800 yuan (RM143,454), sementara varian Hi4-T pula dari 249,800 yuan (RM152,618).

 

Tank 300 Hi4-T

 

Tank 300 Petrol & Diesel

GWM Malaysia rai penyerahan Tank 300 yang ke-500

GWM Malaysia mengumumkan ia telah menyerahkan Tank 300 yang ke-500 kepada pelanggannya.

Menurut syarikat itu, pencapaian ini membuktikan populariti Tank 300 yang semakin meningkat di negara ini, menjadikannya antara pilihan utama dalam kalangan peminat off-road.

“Kami amat berbangga melihat sambutan dan impak besar GWM Tank 300 di Malaysia sama seperti di China,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.

“Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan dan keterujaan rakyat Malaysia terhadap jenama kami. Respons ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan momentum dengan barisan model Tank yang akan datang,” tambah beliau.

Bagi meraikan pencapaian ini, GWM Malaysia menawarkan waranti seumur hidup untuk enjin dan transmisi kepada semua pemilik pertama Tank 300.

Syarikat itu turut menawarkan empat promosi eksklusif kepada pemilik baharu dan sedia ada Tank 300:

  • Pandu Uji dan Menang: Pandu uji Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilaiRM 888.
  • Beli dan Menang: Miliki Tank 300 dan berpeluang memenangi baucar percutian bernilai RM8,888.
  • Pakej Penyelenggaraan Percuma: Miliki Tank 300 dan nikmati pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
  • Menangi Kit Modifikasi Iron Cavalry GWM: Pelanggan yang membuat tempahan Tank 300 dari 1 Mac hingga 31 Mei 2025 akan berpeluang memenangi hadiah eksklusif kit modifikasi Iron Cavalry GWM. Untuk promosi ini, hanya satu pemenang bertuah akan dipilih.

 

Pemenang cabaran kecekapan bahan api GWM Haval H6 HEV catat 1,204 km dengan satu tangki!

Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah mengumumkan pemenang bagi kempen ‘GWM HAVAL H6 HEV Fuel Efficiency Challenge:Drive Further, Win Bigger’ yang berlangsung dari 20 Januari hingga 9 Februari 2025.

Dalam kempen ini, peserta menguji kemampuan kenderaan masing-masing untuk mencapai jarak pemanduan tertinggi dengan satu tangki penuh.

Gelaran juara telah dirangkul oleh Koh Hui Min dari Kelantan dengan catatan jarak tertinggi iaitu 1,204 km, sekali gus membuktikan kemampuan Haval H6 HEV dalam mencapai kecekapan bahan api maksimum untuk perjalanan jarak jauh.

Berikut adalah enam pemenang teratas dengan catatan jarak tertinggi:

  1. Koh Hui Min (1,204 km)
  2. Lee Keat Teng (1,127 km)
  3. Hasif Radzi (1,120 km)
  4. Teh Harn Jian (1,102 km)
  5. Tan Cheng Yang (1,101 km)
  6. Mohd Syarizal bin Mohd Noor (1,077 km)

“Pencapaian luar biasa ini membuktikan kemampuan SUV hibrid ini untuk mencapai kecekapan bahan api yang lebih efisien tanpa mengabaikan prestasi kenderaan,” kata Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.

Dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Haval H6 HEV menampilkan gabungan enjin 1.5-liter empat silinder turbo dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 243 PS dan 530 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.

GWM berkata Haval H6 HEV mempunyai tahap penggunaan bahan api 5.8 liter/100 km, bermakna ia boleh menempuh lebih daripada 1,000 km dengan satu tangki penuh.

Pusingan kedua cabaran ini kini sedang berlangsung dari 17 Februari hingga 9 Mac 2025. Enam pemenang teratas akan berpeluang untuk memenangi kad petrol bernilai RM1 untuk setiap 1 km jarak yang berjaya dicapai.

Pemilik yang berminat boleh mendaftar melalui pautan ini: https://forms.gle/TZM6QxHE9verxPVs5.

GWM pamer teknologi PHEV baharu, lancar inisiatif off-road di Changbaishan

Jika kita berbicara soal pemanduan off-road, sudah pasti terlintas dalam fikiran beberapa jenama serta model kenderaan yang lebih sesuai digunakan untuk tujuan itu.

Namun, anda harus tahu pengeluar automotif China kini tidak lagi ketinggalan jauh di belakang seperti suatu ketika dahulu.

Malah dengan kehadiran pelbagai teknologi baharu yang lebih moden dan lasak, mereka juga mampu berdiri sama baris dengan jenama-jenama terkemuka di luar sana.

Bertempat di kawasan pergunungan Changbai, wilayah Jilin pada 9-15 Januari yang lepas, GWM menganjurkan acara yang dinamakan sebagai Ice & Snow Festival.

Di sana, kami diberikan peluang untuk menguji sendiri keupayaan barisan kenderaan off-road Haval, Tank dan Poer meredah laluan ekstrem yang dipenuhi ais dan salji pada suhu mencecah negatif 30 darjah Celcius.

Biarpun hadir dengan spesifikasi standard kilang tanpa sebarang ubahsuai, kesemua kenderaan off-road tersebut membuktikan keupayaan sebenar dengan menghabiskan perjalanan meredah pelbagai bentuk muka bumi di sekitar Huamei Resort.

Antara sorotan utama acara Ice & Snow Festival itu ialah sistem plug-in hybrid (PHEV) baharu menerusi model Tank 500 Hi4-Z.

Berbanding sistem hibrid Hi4-T yang lebih ‘hardcore’, sistem Hi4-Z tidak lagi menampilkan aci pemacu yang menghubungkan enjin dengan gandar belakang.

Sebaliknya, roda belakang kini digerakkan oleh motor elektrik.

Disebabkan itu juga, GWM boleh memuatkan pek bateri yang lebih besar kapasitinya (59.05 kWh) untuk jarak gerak sifar emisi sejauh 200 km!

Dengan padanan enjin 2.0 liter turbo (248 hp/380 Nm) dan dua motor elektrik, sistem Hi4-Z ini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 852 hp dan daya kilas 1,195 Nm.

Ini membolehkan Tank 500 Hi4-Z memecut sepantas 4.6 saat dari 0-100 km/j sahaja.

Selain daripada itu, GWM juga melancarkan inisiatif GWM Off-Road Alliance.

Inisiatif terbaharu ini bertujuan untuk mengukuhkan komuniti off-road di peringkat global dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti latihan teknik pemanduan off-road, serta mengoptimasikan prestasi kenderaan untuk pelbagai jenis bentuk muka bumi.

GWM turut memperkenalkan sistem penggredan laluan off-road (skala 1 hingga 10) yang boleh memberikan satu kerangka kerja yang lebih jelas untuk menangani keadaan bentuk muka bumi yang berbeza.

Untuk pemandu di Malaysia, sistem gred ini boleh digunakan sebagai rujukan dan persiapan menghadapi pelbagai cabaran seperti kawasan berpasir di persisiran pantai, laluan ladang berlumpur serta jalan pergunungan yang curam.

Semua ini untuk memastikan komuniti off-road dapat menikmati perjalanan mencabar dengan lebih selamat dan dalam masa yang sama menikmati pengalaman yang menyeronokkan.

GWM Tank 500, Wey 80 buat kemunculan di KLIMS 2024

Acara Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 menyaksikan kemunculan dua model baharu daripada Great Wall Motor (GWM) iaitu Tank 500 dan Wey 80.

Menurut GWM Malaysia, SUV dan MPV mewah itu akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 2025 tetapi tarikh sebenarnya masih belum diberitahu.

Tank 500

Seperti Tank 300 yang memasuki pasaran tempatan pada Julai lalu, Tank 500 merupakan SUV off-road namun model ini bersaiz lebih besar dengan ukuran panjang 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm, dengan jarak roda 2,850 mm.

Di China, Tank 500 ditawarkan dengan beberapa jenis trenkuasa namun unit yang dipamerkan ini adalah varian hibrid yang menampilkan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 342 PS dan 648 Nm.

Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda menerusi sistem pacuan empat roda.

Antara kelengkapan yang tersedia termasuk 11 mod pemanduan, fungsi tank turn, Off-Road Cruise Control, panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 14.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem bantuan pemandu ADAS.

Harga tidak diumumkan namun jika diambil kira harga Tank 300 yang bermula dari RM250,000, model ini berkemungkinan besar dijual pada harga sekitar RM350,000.

Wey 80

Juga dikenali sebagai Gaoshan di China, Wey 80 merupakan MPV tujuh tempat duduk daripada sub-jenama mewah yang bernaung di bawah GWM iaitu Wey.

Model ini menampilkan trenkuasa hibrid plug-in Dedicated Hybrid Technology (DHT). Ia menggabungkan enjin turbo 1.5-liter dan sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 487 PS (358 kW) dan 762 Nm.

Selain itu, trenkuasa berkenaan juga didatangkan dengan bateri berkapasiti 37.96 kWj yang memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 150 km berdasarkan kitaran CLTC.

Dari segi saiz, Wey 80 mempunyai ukuran panjang 5,045 mm, lebar 1,960 mm dan tinggi 1,900 mm, manakala jarak rodanya adalah 3,085 mm. Ia mampu memuatkan sehingga tujuh penumpang dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3.

Antara ciri utamanya termasuk upholsteri kulit premium, kerusi sifar graviti, kerusi kapten pada barisan kedua, peti sejuk 12.5 liter, bumbung panoramik dan sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.

 

Haval H6 HEV, boleh ke tapau Corolla Cross Hybrid, CR-V e:HEV? – Pandu Uji

Di peringkat global, trend pemilikan kenderaan elektrik dilihat menjadi semakin perlahan.

Rata-rata pengeluar utama automotif dunia mula menarik brek tangan dan membuat pusingan U untuk kembali menghasilkan kenderaan bahan bakar fosil untuk para pelanggannya.

Apa yang pasti, teknologi zaman purba itu masih lagi belum menemukan titik penghujungnya, dan ia kini ditambah baik dengan bantuan sistem hibrid untuk jarak perjalanan yang lebih jauh berbanding kereta elektrik bateri (BEV) dan semestinya kereta ICE tulen.

Salah satu kereta hibrid buatan China yang sudah pun wujud di pasaran Malaysia ialah Haval H6 HEV.

Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lepas, Haval H6 HEV merupakan pendatang baharu SUV segmen C untuk melawan pesaing seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan juga Proton X70.

Selain daripada pakej saiz, Haval H6 HEV juga datang dengan pakej harga yang cukup menarik perhatian – RM139,800, meletakkannya lebih murah berbanding dengan Toyota Corolla Cross Hybrid.

Adakah dengan taktik harga murah itu mampu menarik golongan pembeli daripada mendapatkan Corolla Cross, atau CR-V yang lebih sofistikated?

Kami berjaya mendapatkan unit pandu uji Haval H6 HEV untuk tempoh beberapa hari dan ini merupakan hasil penilaian kami:

 

1. Rekaan luaran

Dalam banyak-banyak SUV segmen C yang ada, boleh dikatakan Haval H6 HEV ini mempunyai rekaan yang agak selamat.

Tiada sebarang garis-garis tajam yang agresif, reka bentuknya membulat, tapi tidaklah terlalu pau rupanya macam Proton X70.

Muka depan tampak garang dengan kehadiran lampu utama LED serta struktur jeriji lebar ‘Star Matrix’, cuma rim 19 inci itu dilihat agak kecil bila duduk di bawah gerbang roda SUV ini.

Untuk bahagian belakang pula, ia mendapat bar lampu LED melintang penuh, serta gugusan empat unit lampu brek yang bertenggek pada spoiler.

Senang cerita, rekaannya memang biasa-biasa saja. Tiada apa yang ‘wow’. Melainkan kewujudan lencana HEV yang menandakan ia bukanlah SUV yang malas bergerak macam anak gajah.

Faktor rupa yang agak selamat itu juga berjaya menyembunyikan fakta bahawa ia sebenarnya sebuah SUV yang agak besar!

Dengan ukuran 4,683 mm x 1,886 mm x 1,730 mm, Haval H6 jauh lebih lebar dan lebih tinggi berbanding Honda CR-V, dengan kelebihan jarak antara roda yang lebih panjang.

 

2. Rekaan dalaman

Mengikuti trend semasa, Haval H6 HEV membawakan susun atur ruang kabin yang lebih minimalis.

Kelengkapannya juga serba lengkap, ada skrin digital 10.25 inci di hadapan pemandu, skrin infohibur 12.3 inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (ciri penting untuk sebuah kereta moden!), kawalan iklim dua zon, slot pengecasan peranti tanpa wayar, bumbung kaca panorama, skrin paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Pada bahagian konsol tengah, terdapat beberapa butang fungsi penting, cuma sayang sekali ia tidak menyertakan fungsi yang jauh lebih penting – kawalan suhu dan kelajuan hembusan angin sejuk.

Semuanya anda perlu selongkar sendiri menerusi skrin tengah. Hmmm… Sudah pasti ia mendatangkan kesulitan terutama ketika memandu seorang diri.

Penulis juga tidak begitu gemar dengan kemasan tiga tona yang menampilkan warna rose gold itu, rasa agak mengganggu tumpuan pemanduan.

Beralih kepada skrin hadapan, apa yang kami hargai ialah kesudian pihak GWM untuk tidak membanjirkan skrin tersebut dengan segala macam logo dan simbol-simbol yang menyemakkan mata memandang.

Reka letak dan grafik amat tajam dan mudah untuk dibaca, cuma sayang sekali kurang pilihan penyesuaian paparan disertakan untuk penulis yang lebih menggemari paparan meter kelajuan stail analog.

 

3. Pakej kuasa yang mengujakan

Ini merupakan antara SUV hibrid yang paling berkuasa di dalam kelasnya.

Haval H6 HEV dibekalkan dengan sistem enjin hibrid berkuasa 243 PS dan 530 Nm, terdiri daripada nadi empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (150 PS/230 Nm), motor elektrik tunggal (177 PS/300 Nm), kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan dan sistem pacuan roda depan.

Dengan mod Sport yang tersedia, Haval H6 HEV mampu memecut sepantas 7.75 saat dari pegun sebelum mencapai kelajuan 100 km/j.

Sebagai perbandingan, Corolla Cross Hybrid didatangkan dengan enjin 1.8 liter kitaran Atkinson aspirasi semula jadi (NA) berkuasa 98 PS/142 Nm dan motor elektrik tunggal 72 PS/163 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS.

Manakala CR-V e:HEV pula mendapat nadi hibrid 2.0 liter NA yang digandingkan dengan dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 181 PS dan 335 Nm.

 

4. Pemanduan

Atas kertas memang nampak bertenaga, cuma hamburan kuasa yang diberikan oleh Haval H6 HEV tidaklah seagresif kereta sports atau kereta elektrik (EV) dengan tork yang menggila.

Saat pedal pendikit ditekan rapat ke lantai, anda boleh merasai pecutan yang responsif dan lancar tanpa menyebabkan leher anda kesakitan akibat daya G yang tinggi.

Kuasa ini sebenarnya sangat diperlukan ketika anda sedang memandu dengan ruang kabin yang sarat dengan penumpang dan barang, dan ketika itu perlu memotong lori treler lapan belas tayar di hadapan yang agak perlahan di jalan lama sebab terlebih muatan.

Satu perkara yang kami boleh puji SUV ini ialah tahap gegaran enjin yang langsung tidak dirasakan dari dalam ruang kabin.

Walaupun ada ketika SUV ini memerlukan kerahan tenaga ekstra, operasi enjin 1.5 liter turbo itu sangat cekap tanpa kehadiran bunyi bising dan gegaran yang disebutkan tadi.

Dengan dimensi yang agak besar, SUV ini masih lagi senang untuk dikawal, cuma roda stereng itu dirasakan terlalu besar – terasa macam pandu lori pun ada.

Aspek pengendalian juga memuaskan di mana ia lebih ditala untuk aspek keselesaan semua penumpang.

Sistem gantungan Haval H6 HEV bekerja dengan baik untuk menyerap segala kekasaran dan lubang yang muncul dari permukaan jalan raya, dan dalam masa yang sama tidak membuai dengan teruk di laluan yang berselekoh.

Sistem brek juga berfungsi dengan cemerlang untuk menghentikan pergerakan SUV yang berat ini daripada kelajuan tinggi, cuma pada kelajuan rendah anda memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan respons pedal supaya SUV ini tidak berhenti secara mengejut.

Menurut GWM, untuk satu tangki penuh Haval H6 HEV dikatakan mampu bergerak sejauh 1,000 km.

Angka tersebut sebenarnya telah pun dicapai oleh beberapa rakan media kami yang sudah menguji pandu SUV ini.

Berdasarkan pengalaman peribadi, penulis berjaya mencapai angka jarak pemanduan melebihi julat 700 km – angka impresif tersebut boleh dicapai walaupun penulis tidak memandu secara santai demi mendapatkan manfaat penjimatan bahan api.

Sudah pasti, ia amat berguna untuk pemanduan jarak jauh di mana anda tidak perlu untuk berhenti dengan lebih kerap untuk melakukan pengisian bahan api.

 

5. Keselesaan

Tatkala penulis amat berpuas hati dengan hamburan kuasa yang diberikan oleh SUV hibrid ini, ada perkara utama yang perlu diberikan tumpuan oleh GWM – keselesaan.

Untuk pemanduan jarak dekat, apa yang ditawarkan oleh Haval H6 HEV tidak akan mendatangkan masalah keselesaan yang ketara.

Namun bagi pihak berkeluarga yang kerap membuat pemanduan jarak jauh (balik kampung contohnya) mungkin sukar untuk mempertimbangkan SUV ini.

 

Apa yang penulis perasan ialah tempat duduk Haval H6 HEV tidak menawarkan sokongan bawah peha yang mencukupi.

Jadi, sepanjang masa kaki pemandu dan penumpang akan rasa tergantung dan ini akan membuatkan kita rasa lebih cepat penat.

Faktor dimensi yang besar membolehkan Haval H6 menyediakan ruang kaki dan kepala yang besar dan selesa, cuma ia tidak diseimbangkan dengan balutan upholsteri yang menyenangkan.

Terdapat fungsi ‘boss switch’ membolehkan pemandu melaraskan kedudukan kerusi penumpang hadapan sekiranya penumpang di sebelah terlena akibat kepenatan – ciri yang sangat diperlukan oleh suami mithali.

Dari segi praktikaliti pula, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan seperti beg bagasi dan plastik bungkusan dari pusat membeli belah terkemuka.

Jika anda mahukan ruang yang lebih besar, lipat sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan diberikan ruang kargo sebesar 1,485 liter.

Akhir sekali, kami dapati aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) Haval H6 HEV berada di tahap yang agak memuaskan.

Dengan penggunaan tayar yang lebih senyap, ia sedikit sebanyak membantu menjadikan ruang kabin Haval H6 yang lebih selesa, bunyi bising angin yang menderu juga turut ditapis dengan berkesan.

Cuma satu perkara yang penulis harus ingatkan, walaupun senyap, tayar standard yang digunakan pada Haval H6 HEV ini tidak sesuai untuk mereka yang menggemari corak pemanduan yang agresif.

Sedikit pelaburan besar amatlah diperlukan supaya anda boleh menikmati pemanduan berprestasi Haval H6 HEV yang lebih seimbang.

 

6. Hibrid, tapi boleh pandu macam EV!

Anda mungkin tertanya-tanya kenapa Haval H6 HEV hanya didatangkan dengan kotak gear 2 nisbah kelajuan sahaja.

Jawapannya mudah, Haval H6 HEV bergantung hampir sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak dan tidak memerlukan nisbah gear yang terlalu banyak.

Enjin 1.5 liter turbo itu hanya akan dihidupkan sekiranya pemandu memerlukan kuasa ekstra untuk pemanduan agresif.

Kapasiti pek bateri yang dibekalkan agak kecil, sekitar 1.7 kWh sahaja namun sudah cukup untuk membenarkan Haval H6 HEV ini berperangai macam sebuah EV tulen!

Jarak gerak yang ditawarkan tidaklah terlalu jauh sehingga berbelas-belas kilometer, namun penulis perasan Haval H6 HEV ini langsung tidak menggunakan kuasa enjin semasa memandu di tengah-tengah ibu kota pada julat kelajuan yang rendah.

Sehinggakan ada yang bertanya, “SUV ni elektrik ke?” disebabkan operasinya yang agak senyap.

 

7. Harga yang agak berbaloi

Pada ketika ini, harga jualan Haval H6 HEV untuk pasaran Malaysia bermula dari RM139,800, menjadikannya sedikit murah berbanding Toyota Corolla Cross Hybrid (RM142,000).

Sebuah lagi SUV segmen C popular, Honda CR-V e:HEV RS dijual pada harga RM195,900 di mana ia hadir dengan rupa paras yang lebih agresif, namun kurang berkuasa berbanding Haval H6 HEV.

Ini secara tidak langsung meletakkan Haval H6 HEV sebagai sebuah model pesaing yang cukup ampuh untuk menentang dua model buatan Jepun, dengan kelebihan dari segi harga, kuasa, dan praktikaliti yang ditawarkan.

 

Persoalannya, dengan kelebihan yang disebutkan di atas, adakah kehadiran Haval H6 HEV mampu menggoncangkan asas yang sudah dibina kukuh oleh dua pengeluar Jepun itu tadi?

Bagi penulis, jawapan sebenar kepada persoalan itu mungkin sukar untuk menggembirakan hati semua pihak.

Ini kerana setelah menilai antara ketiga-tiga SUV tersebut, penulis lebih menggemari aspek pemanduan yang ditawarkan oleh model buatan Jepun yang rasa lebih hidup dan terhubung dengan pemandu, keselesaan penumpang yang jauh lebih baik selain fungsi-fungsi penting yang lebih mudah untuk dioperasikan tanpa perlu bergantung harap sepenuhnya skrin tengah.

Penulis tidak menolak sepenuhnya kelebihan yang wujud pada Haval H6 HEV, namun faktor kepuasan pemanduan adalah lebih penting, jauh mengatasi apa yang cuba digula-gulakan oleh GWM pada model ini.

 

Spesifikasi Haval H6 HEV:

Enjin: Empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j

 

Haval H6 HEV 2024 rasmi, 243 PS/530 Nm, dari RM139,800

Great Wall Motors Malaysia (GWM) Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV hibrid Haval H6 HEV 2024.

Ia dikuasakan oleh unit rangkaian kuasa hibrid, terdiri daripada enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (150 PS/230 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (177 PS/300 Nm), menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan 530 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.


Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan, iaitu H6 HEV Ultra dengan kelengkapan seperti struktur jeriji ‘Star Matrix’, unit lampu LED matriks, serta rim aloi 19 inci kemasan hitam berkilat.

Sementara ruang kabin pula mendapat ciri seperti skrin infohibur 12.3 inci, kawalan iklim dua zon, corong pendingin hawa baris kedua, tempat duduk balutan kulit, pintu tailgate berkuasa, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, bumbung kaca panorama, skrin paparan head-up serta sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Ruang kargo adalah sebesar 560 liter dan mampu mencapai kapasiti sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Dari segi keselamatan, Haval H6 HEV datang dengan enam beg udara, sistem kamera keliling 360 darjah, brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang, bantuan penukaran lorong serta sistem bantuan parkir.

Harga jualan Haval H6 HEV 2024 bermula dari RM139,800, lengkap dengan jaminan penuh kenderaan selama tujuh tahun/200,000 km, jaminan enjin selama 10 tahun atau satu juta km had perbatuan, serta jaminan lapan tahun atau satu juta km had perbatuan untuk komponen HEV.

Selain daripada tawaran pakej servis percuma selama lima tahun dan rebat RM3,000 untuk tempahan selewat-lewatnya 20 Oktober 2024, pemilik kenderaan GWM sedia ada juga boleh menikmati rebat tambahan bernilai RM3,000.

Tiga perkara kami kurang suka pada Ora 07 Long Range – Pandu Uji

Sedan elektrik Ora 07, atau nama lainnya Ora Lightning Cat mungkin sekali satu pakej EV yang agak unik di dalam pasaran Malaysia pada ketika ini.

Ia membawakan pakej rupa paras yang diinspirasikan daripada model jutaan ringgit, dalam masa yang sama harga yang cukup mampu beli.

Ulasan pandu uji telah pun kami kongsikan sebelum ini, namun dalam artikel ini kami akan bercerita tiga perkara yang kurang digemari wujud pada model ini.

 

1. Perumah lampu belakang yang ‘terpaling merah’

Rekaan luaran Ora 07 ini memang feminin dan nampak ringkas, siap ada spoiler adaptif lagi.

Namun, perkara yang kurang digemari ialah struktur perumah lampu belakang berwarna merah secara keseluruhannya.

Ketika pemanduan waktu siang, pengguna jalan raya lain mungkin sukar untuk meneka sama ada penulis sudah pun memberikan isyarat membelok atau mungkin masuk simpang menggunakan niat.

 

2. Tiada pilihan tema meter analog

Penulis cukup suka dengan ‘gugusan’ meter stail Porsche 911 yang wujud pada ruang kabin Ora 07 ini.

Nampak klasik dan moden dalam masa yang sama.

Cuma kekurangannya, ia tidak menawarkan pilihan tema meter analog untuk disesuaikan dengan jiwa pemanduan maskulin Ora 07 ini.

Namun sejujurnya penulis akui paparan grafik meter ini jauh lebih kemas berbanding sedan buatan China lain yang wujud di pasaran.

 

3. Kemudahan yang mudah namun rumit untuk digunakan

Sebagai seorang yang tidak mahu tumpuan pemanduan terganggu di atas jalan, penulis amat menghargai kewujudan tombol larasan manual pada bahagian konsol tengah untuk sistem pendingin hawa.

Bermakna, amat mudah untuk melaraskan suhu serta kelajuan tiupan angin sejuk dalam ruang kabin.

Cuma, itu sahaja.

Fungsi lain seperti arah tiupan angin perlu dilaraskan menerusi menu yang tersorok dalam skrin infohibur, dan tiada sebarang tombol manual yang tersedia pada corong angin pun!

Laporan penuh pandu uji Ora 07 anda boleh baca pada pautan di bawah:

Ora 07 Long Range, penampilan feminin tapi pemanduan maskulin – Pandu Uji

Ora 07 Long Range, penampilan feminin tapi pemanduan maskulin – Pandu Uji

Kali pertama model ini menerjah dalam kotak ingatan ialah semasa menghadiri acara Auto Shanghai 2023 pada tahun lepas.

Ora 07, atau lebih dikenali dengan nama Ora Lightning Cat di pasaran luar sememangnya membawakan rekaan yang kontroversi, mengingatkan kita pada model sedan Porsche Panamera dan Porsche 911.

Untuk meletakkannya sama aras dengan model harga jutaan ringgit itu mungkin satu perkara yang tidak adil.

Ora 07 merupakan model kenderaan elektrik (EV) kedua yang dibawa masuk oleh pihak GWM Malaysia selepas hatchback comel Ora Good Cat, dengan penawaran harga bawah RM200 ribu (RM169,800).

Berbanding pesaing terdekat seperti BYD Seal dan Tesla Model 3, adakah Ora 07 ini sebuah EV yang biasa-biasa?

Berdasarkan pengalaman pandu uji yang dibuat tempoh hari, jawapan muktamad yang kami boleh bagi, “Tidak!”.

 

1. Reka bentuk feminin

BYD Seal dan Tesla Model 3 membawakan bentuk badan sedan yang lebih tradisional.

Ora 07 pula lebih mengingatkan kita pada bentuk badan Porsche Panamera, dengan garis bumbung yang lebih melandai ke belakang, diikuti dimensi badan yang agak panjang.

Bahagian belakang pula menampilkan spoiler adaptif berkuasa elektrik yang boleh dinaikkan atau diturunkan mengikut keperluan, lampu depan pula kalau dilihat daripada mana-mana sudut pun, macam 911.

Secara keseluruhan, ia bukanlah satu perkara yang negatif pun pada Ora 07 ini. Sesuai untuk mereka yang berjiwa feminin dan individu yang mahukan kelainan dalam segmen sedan elektrik.

Cuma, rekaan perumah lampu belakang yang serba merah itu mungkin akan membuatkan pengguna jalan raya keliru dan sukar untuk menentukan sama ada penulis bagi isyarat membelok atau isyarat kecemasan.

 

2. Dalaman inspirasi daripada Bugatti, Porsche

Tidak cukup dengan bahagian luar, susun atur ruang kabin juga banyak mengambil ilham daripada model ternama.

Konsol tengah yang tinggi itu dilihat mengambil inspirasi daripada Bugatti, sementara skrin kluster digital hadapan pemandu pula memang terang-terang membawakan elemen Porsche.

Setidak-tidaknya, susun atur yang ditunjukkan pada ruang ini jauh lebih baik dan senonoh berbanding kereta yang hanya sekadar menenggekkan skrin iPad pada papan pemuka semasa proses pembangunan dan terus menjualnya kepada umum.

Penulis cukup suka dengan rekaan skrin kluster digital Ora 07 ini, nampak lebih segar.

Cuma, kekurangannya, ia tidak didatangkan dengan pilihan tema yang bersesuaian dengan reka bentuk bulat itu. Malah, tiada opsyen untuk grafik meter analog tersedia pun!

 

3. Mudah dioperasikan, tapi masih menyusahkan

Satu perkara yang penulis hargai pada Ora 07 selain daripada sokongan Apple CarPlay/Android Auto ialah kewujudan tombol larasan manual pada bahagian tengah untuk sistem pendingin hawa.

Ia menawarkan larasan untuk kelajuan tiupan angin sejuk serta suhu kabin. Mudah untuk dioperasikan menggunakan ingatan otot tangan. Namun, itu sahaja manfaat yang diberikan.

Tiada tuil larasan tiupan angin fizikal disertakan pada corong pendingin hawa. Bermakna, jika anda rasa rimas dengan tiupan angin sejuk yang mencucuk hidung, anda perlu menyelongkar menu tambahan bagi sistem kawalan iklim dalam skrin infohibur.

Ya, Ora 07 menyertakan beberapa jenis mod tiupan angin dalam skrin tersebut untuk digunakan semasa musim panas, namun ia bukanlah satu ciri yang mampu menyenangkan pemanduan seharian.

Mujur juga Ora 07 dilengkapi dengan sistem audio 11 pembesar suara Infinity yang mengasyikkan, jadi bolehlah layan lagu kegemaran selepas puas menggodek tetapan kawalan iklim.

 

4. Kabin selesa, tapi…

Penggunaan bahan bersifat premium banyak menguasai ruang kabin Ora 07. Nampak mewah juga.

Tempat duduk sports yang disertakan standard dari kilang turut membantu dari segi aspek keselesaan, sama juga halnya dengan tempat duduk belakang yang agak empuk itu.

Selain jarak antara roda panjang, satu perkara yang membuatkan ruang tersebut nampak lebih luas ialah bumbung kaca panorama yang agak luas dan memanjang ke belakang.

Disebabkan itu, penumpang belakang dapat menikmati ruang kepala yang lebih luas. Cuma elakkan daripada membuat perjalanan jarak jauh untuk tempoh yang lama semasa matahari tegak di atas kepala.

Tiada suis tersedia untuk membuka struktur panel kaca tersebut, dan tiada penghadang cahaya disertakan pada bahagian tersebut untuk menapis sinaran mentari yang mampu membakar rambut anda.

 

5. Akses ruang kargo sedikit terhad

Sedan ini menyediakan ruang kargo sebesar 333 liter, cukup besar untuk kegunaan seharian.

Walaupun Ora 07 secara standard membawakan bentuk badan sedan fastback, ia tidak memberi makna bahagian belakang boleh dibuka dengan luas seperti mana-mana model aeroback yang lain.

Bukaan yang agak terhad mungkin menyukarkan anda untuk memuatkan barangan yang lebih besar.

Mujur juga tempat duduk baris kedua boleh dilipat, jadi anda boleh meletakkan barangan yang jauh lebih panjang pada bahagian belakang.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga beberapa ruang storan kecil tersedia dalam ruang kabin, menambahkan lagi aspek praktikaliti Ora 07.

 

6. Pemanduan maskulin

Secara standard, Ora 07 hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal berkuasa 201 hp dan 340 Nm yang memacu roda depan.

Kuasa yang mencukupi untuk menggerakkan sedan elektrik di laluan urban, tiada masalah kekurangan tenaga.

Pecutan agresif juga boleh dibuat dalam keadaan yang cukup lembut dan lancar, tanpa mengakibatkan efek sentakan kuasa yang biasa dialami pada mana-mana kereta elektrik lain.

Apa yang membuatkan penulis rasa teruja dengan sedan elektrik ini ialah pakej pengalaman pemanduan mengujakan yang sukar didapati pada mana-mana kereta elektrik lain.

Walaupun hadir dengan pelbagai ciri-ciri bersifat feminin, aspek pemanduan Ora 07 bersifat lebih jantan. Ibarat sebuah kereta dua alam.

Untuk seketika, penulis langsung terlupa Ora 07 merupakan sebuah sedan elektrik yang berat (2.5 tan) ketika menguji pengendalian kereta ini di laluan yang berliku-liku.

Respons stereng yang cukup bagus untuk memastikan kereta ini berada di landasan yang tepat, selain talaan casis dan sistem gantungan yang membuatkan pemanduan sedan elektrik ini dirasakan cukup seronok ketika meratah jalan-jalan lama di Negeri Sembilan.

Olengan badan juga dirasakan pada tahap minimum, membuatkan penulis lebih ghairah untuk terus menekan pedal pendikit setiap kali jalan lurus dihubungkan dengan selekoh.

Penggunaan tayar Hankook Ventus S1 Evo3 juga turut membantu sedan ini melekat dengan baik atas permukaan aspal.

Menjadikan pemanduan Ora 07 lebih ‘hidup’ ialah iringan simulasi bunyi enjin palsu yang boleh diaktifkan menerusi skrin infohibur.

Setidak-tidaknya, ia dapat mengubati kerinduan anda terhadap kereta enjin, dan penulis kira ciri ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan bunyi kapal angkasa yang wujud pada model EV yang lebih mahal harganya.

Terdapat beberapa mod pemanduan disertakan yang boleh diakses menerusi tombol manual tengah, termasuklah mod Well Being di mana ia akan menyahaktifkan fungsi brek regeneratif dan membolehkan kereta tersebut kekal meluncur pada saat kaki dialihkan daripada pedal pendikit.

Macam kereta ICE, tak begitu?

 

7. Masalah bimbang jarak dipadamkan

Kami menguji varian Long Range yang dipadankan dengan pek bateri 83.5 kWh.

Mengikut data NEDC, sedan ini boleh bergerak sejauh 640 km untuk sekali cas penuh, satu angka yang mungkin sukar tapi tidak mustahil untuk dicapai.

Berdasarkan penggunaan, kami berjaya merekodkan jarak pemanduan sejauh 470 km sebelum bateri mencatatkan baki 15 peratus SoC dengan anggaran jarak tersisa sekitar 102 km.

Pada pendapat kami, Ora 07 sesuai untuk dijadikan sebagai kereta belasahan harian, atau sekali sekala digunakan untuk merentas negeri melebihi dua marhalah.

Pengecasan DC sehingga 88 kW membolehkan bateri dicas 80 peratus dalam tempoh setengah jam sahaja, bermakna anda tidak perlu menunggu lama sekiranya terpaksa melakukan perjalanan jauh dalam Ora 07.

 

8. Keselamatan

Secara standard, Ora 07 hadir dengan ciri keselamatan termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi beberapa fungsi penting termasuklah kawalan jelajah adaptif, sistem pemantauan titik buta, brek kecemasan autonomi, sistem pengelakan pintar serta bantuan pengekalan lorong.

Ciri kawalan jelajah adaptif terbukti berkesan semasa berada di atas lebuh raya untuk mengekalkan jarak pemanduan yang selamat.

Cuma cara bantuan pengekalan lorong beroperasi mungkin dirasakan sedikit agresif terutama bagi mereka yang sudah yakin dengan pemanduan masing-masing.

 

Kesimpulan

Dengan harga bermula dari RM169,800, Ora 07 Long Range ini boleh jadi satu alternatif sedan elektrik yang dapat memenuhi cita rasa golongan pembeli yang mahukan kelainan, dan mahu lebih menonjol daripada kebiasaan.

Biarpun ia mempunyai beberapa kekurangan, namun segala permasalahan itu mungkin akan terpadam apabila anda berupaya menikmati pemanduan yang cukup mengujakan dalam sedan ini.

Tak percaya? Sehingga sekarang pun penulis masih tak percaya!

Spesifikasi:

Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda depan
Kuasa: 201 hp, 340 Nm
Pecutan: 0-100 km/j 7.9 saat
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: 83.5 kWh
Jarak gerak: 640 km (data NEDC)

GWM mahu anda uji sendiri kehebatan Tank 300 di M4TREC hujung minggu ini

Great Wall Motor (GWM) Malaysia akan menganjurkan acara pandu uji off-road untuk orang awam pada 20 dan 21 Julai 2024, bertempat di M4TREC, 4WD Training & Experience Centre di Semenyih, Selangor.

Acara ini bakal memberi peluang kepada orang awam untuk merasakan sendiri kebolehan dan kemampuan Tank 300 melalui cabaran dan halangan yang direka khas di M4TREC.

Selain itu, peserta juga akan menerima latihan daripada tenaga pengajar profesional mengenai kaedah dan teknik untuk mengatasi pelbagai cabaran yang lasak semasa pemanduan.

Sesi pandu uji ini mempunyai pelbagai halangan mencabar untuk ditakluki dengan Tank 300 300 seperti Log Bridge, Axle Twister, Ridge Crossing, Log Track, Hill Descent, Hill Climb dan sebagainya.

Mike Cui An Qi, Pengarah Urusan GWM Malaysia berkata pihaknya ingin orang ramai merasakan sendiri prestasi dan keupayaan sebenar GWM Tank 300 dalam pelbagai situasi dan keadaan jalan

“Untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar, kami telah menyediakan tenaga pengajar berpengalaman untuk membimbing para peserta, menghadapi setiap cabaran off-road ini dengan penuh yakin,” kata Mike.

“Ini akan membolehkan mereka untuk mencuba dan menggunakan kesemua ciri-ciri pintar off-road bagi menakluki segala jenis permukaan,” tambah beliau.

Tank 300 dilancarkan secara rasmi pada 12 Julai dengan harga jualan bermula dari RM250,000. Diimport sepenuhnya dari China, ia dikuasakan oleh enjin petrol turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 220 PS dan 380 Nm.

Untuk menempah slot sesi pandu uji off-road di M4TREC, mereka yang berminat boleh RSVP di pautan ini. Tawaran hadiah eksklusif daripada GWM turut menanti peserta.

GMW Tank 300 bakal buat kemunculan di Malaysia Autoshow 2024 minggu depan

Great Wall Motor Malaysia mengumumkan bahawa GWM bakal membawakan SUV baharu mereka, Tank 300 ke Malaysia Autoshow 2024 minggu depan. GWM Tank 300 ini telah dipertonton beberapa bulan lepas, tetapi di acara motor show itu ia akan buat kemunculan umum kali pertama.

GWM Tank 300 pada awalnya dikatakan bakal dilancar pada suku ketiga tahun ini, tetapi perkembangan terbaharu menyatakan ia akan diawalkan, pada suku kedua. Jadi, tidak lama lagi.

Untuk pasaran Malaysia, Tank 300 dijangka ditawarkan dalam varian bukan hibrid, dengan enjin 2.0-liter turbo petrol 4-silinder yang menjana 217hp dan 380Nm tork.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda separuh masa dengan fungsi 2H, 4H, dan 4L. Sistem ini juga lengkap dengan pengunci pembeda (differential) depan dan belakang.

Menariknya, GWM Tank 300 ini mempunyai fungsi ‘tank turn’. Bila diaktifkan, ia akan mengunci tayar belakang belah dalam untuk membolehkan SUV ini membelok rapat di kawasan sempit. Pergerakan ini adalah mirip jentera berantai seperti kereta kebal dan jengkaut (excavator).

Seperti dapat dilihat, SUV ini membawakan rupa 4×4 klasik dengan rekaan berkotak dan cladding sisi tebal. Muka depannya mendapat lampu LED bulat manakala lampu kabus pula diintegrasikan dalam bampar.

Di belakang pula, terdapat tayar ganti di luar pintu but yang dibuka ke tepi, betul-betul seperti Jeep klasik. Tank 300 dilengkapi dengan rim 18-inci dan tayar Michelin Primacy SUV.

Bahagian dalam, anda akan perasan yang kelengkapannya agak premium, mungkin diinspirasikan dari Mercedes G-Class. Dengan papan pemuka menegak, corong udara turbin, pemegang di depan penumpang, dan sepasang skrin bersaiz 12.3-inci setiap satu.

Konsol tengah Tank 300 menempatkan tombol gear berbentuk sedikit bersegi dengan butang-butang kawalan sistem pacuan, brek parkir elektronik, dan sistem bantuan pemandu.

Ciri lain termasuklah pendingin hawa automatik, tempat duduk berkuasa, balutan kulit, sistem audio Harman Infinity, bumbung suria berkuasa, pad pengecasan tanpa-wayar, dan paddle-shifters.

GWM Tank 300 juga didatangkan dengan sistem keselamatan aktif seperti Adaptive Cruise Control dan Autonomous Emergency Braking.

Selain itu, Great Wall Motor Malaysia juga akan menampilkan satu lagi SUV yang bakal tiba ke pasaran ini, iaitu Haval H6 HEV. Anda boleh lihat model-model ini di Hall A, MAEPS, Serdang semasa acara Malaysia Autoshow 2024 bermula 22 hingga 26 Mei ini.

GWM Tank 300 – Rupa rugged, fungsi ‘tank turn’, lancar Q3 2024

SEMASA pratonton Ora 07 bulan lepas, GWM Malaysia juga membuat kejutan dengan mendedahkan Tank 300 yang dijadualkan dilancar sekitar suku ketiga tahun ini.

GWM Tank 300 ialah sebuah SUV dengan rupa rugged, kabin dalam premium, tetapi dengan kebolehan unik ‘tank turn’.

Belum pasti varian apa yang akan dilancarkan untuk Malaysia nanti, tapi unit pratonton ini kami dipercayai dikuasakan enjin 2.0-liter turbo petrol 4-silinder dengan output 217hp dan 380Nm tork.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda separuh masa dengan fungsi 2H, 4H, dan 4L. Sistem ini juga lengkap dengan pengunci pembeda (differential) depan dan belakang.

Menariknya, GWM Tank 300 ini mempunyai fungsi ‘tank turn’. Bila diaktifkan, ia akan mengunci tayar belakang belah dalam untuk membolehkan SUV ini membelok rapat di kawasan sempit. Pergerakan ini adalah mirip jentera berantai seperti kereta kebal dan jengkaut (excavator).

Seperti dapat dilihat, SUV ini membawakan rupa 4×4 klasik dengan rekaan berkotak dan cladding sisi tebal. Muka depannya mendapat lampu LED bulat manakala lampu kabus pula diintegrasikan dalam bampar.

Di belakang pula, terdapat tayar ganti di luar pintu but yang dibuka ke tepi, betul-betul seperti Jeep klasik. Tank 300 dilengkapi dengan rim 18-inci dan tayar Michelin Primacy SUV.

Bahagian dalam, anda akan perasan yang kelengkapannya agak premium, mungkin diinspirasikan dari Mercedes G-Class. Dengan papan pemuka menegak, corong udara turbin, pemegang di depan penumpang, dan sepasang skrin bersaiz 12.3-inci setiap satu.

Konsol tengah Tank 300 menempatkan tombol gear berbentuk sedikit bersegi dengan butang-butang kawalan sistem pacuan, brek parkir elektronik, dan sistem bantuan pemandu.

Ciri lain termasuklah pendingin hawa automatik, tempat duduk berkuasa, balutan kulit, sistem audio Harman Infinity, bumbung suria berkuasa, pad pengecasan tanpa-wayar, dan paddle-shifters.

GWM Tank 300 juga didatangkan dengan sistem keselamatan aktif seperti Adaptive Cruise Control dan Autonomous Emergency Braking.

Apa pendapat anda mengenai SUV rugged dengan kemampuan unik ini? Berapa harga anggarannya bila dilancarkan nanti?

GWM Ora 07 rasmi dilancar di Malaysia – 640km jarak pemanduan, dua varian, dari RM170k

SELEPAS sesi pratonton bulan lepas dan membuka tempahannya, Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) hari ini melancarkan Ora 07 secara rasmi untuk pasaran negara ini.

Sedan coupe elektrik (EV) empat-pintu ini ditawarkan dalam dua varian untuk Malaysia – Long Range Ultra dan Performance.

Harga adalah seperti berikut:
Ora 07 Long Range Ultra – RM169,800
Ora 07 Performance – RM189,800

Sedan EV ini juga didatangkan dengan jaminan 6-tahun/150,000km, jaminan bateri 8-tahun/180,000km, penukaran bateri percuma jika SOC menurun bawah 70 peratus, dan jaminan badan 12-tahun.

Kedua-dua model dilengkapi dengan pek bateri 83.499kWh. Long Range Ultra didatangkan dengan motor elektrik tunggal di depan berkuasa 204PS/340Nm, dan jarak pemanduan sehingga 640km.

Sementara itu Ora 07 Performance pula dibekalkan dengan dua motor elektrik, memberikan output keseluruhan sebanyak 408PS dan 680Nm tork. Jarak pemanduan sedikit rendah, pada 550km. Tetapi pecutan 0-100km/j boleh dilakukan dalam 4.3 saat dengan varian ini.

GWM Ora 07 mempunyai kapasiti pengecasan 11kW untuk AC manakala pengecasan pantas DC adalah pada 88kW. Dengan pengecasan DC, bateri Ora 07 ini mengambil masa 32 minit untuk dicas dari 30 mencapai 80 peratus.

Baik selain angka-angka, apa yang ada pada rupa penampilan GWM Ora 07 ini? Kelengkapan standard termasuklah lampu LED pintar, tingkap tanpa-bingkai, bumbung kaca panoramik, dan spoiler belakang adaptif. Ora 07 juga mempunyai pekali seretan yang rendah, iaitu 0.22 Cd sahaja.

Kabinnya direka dengan konsol tengah berbentuk-T, tempat duduk depan dengan fungsi urutan, dan dua skrin besar untuk instrumen dan infotainmen, masing-masing bersaiz 10.25-inci dan 12.3-inci.

Ora 07 Long Range Ultra hadir standard dengan kabin berwarna hitam, tetapi anda boleh naik taraf kepada warna coklat mewah dengan harga RM2,500. Varian Performance pula datang dengan satu pilihan warna kabin sahaja iaitu hitam.

Varian Long Range Ultra mempunyai lima mod pemanduan –  Normal, Sport, Well-being, Individual, dan Eco), tetapi Ora 07 Performance mendapat satu lagi mod pemanduan tambahan iaitu Sport+.

Ciri keselamatan yang boleh didapati pada Ora 07 antaranya adalah Lane Departure System, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection, dan ciri seperti kamera 360-darjah, Intelligent Evasion, Traffic Sign Recognition, Cruise Speed Limit, dan banyak lagi.

GWM Ora 07 hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Crystal Purple, Amethyst Gray, dan Jade White. Apa pendapat anda mengenai sedan-coupe EV terbaharu dalam pasaran Malaysia ini? Boleh lawan Tesla Model 3 dan BYD Seal?

GWM Ora Good Cat kini bermula pada RM113,800 – RM26k lebih murah!

GWM Malaysia baru-baru ini mendedahkan harga baharu bagi Ora Good Cat. Kenderaan elektrik (EV) kompak itu kini berharga bermula RM113,800 sahaja.

Harga itu adalah bagi Ora Good Cat 400 Pro, manakala varian Good Car 500 Ultra berharga RM143,800. Kedua-dua harga ini adalah RM26,000 lebih rendah berbanding harga semasa pelancarannya pada penghujung 2022.

Ora Good Cat kini ditawarkan dengan tujuh pilihan warna, disertakan dengan jaminan 5tahun/150,000km untuk kenderaan dan jaminan 8-tahun/180,000km untuk bateri, motor elektrik, dan unit kawalannya.

Bagi anda yang telah memiliki Ora Good Cat, jangan risau, kerana GWM Malaysia menawarkan jaminan tambahan 2-tahun buat kenderaan anda, dengan sehingga 150,000km. Selain itu, anda akan mendapat tambahan 5-tahun/75,000km penyelenggaraan percuma, termasuk alat ganti dan upah.

Mike Cui An Qi, Pengarah Urusan GWM Malaysia berkata, “Dengan harga baharu ini, kami yakin GWM Ora Good Cat akan menjadi EV dengan nilai terbaik, terutamanya dalam lingkungan RM120,000.”

“Dengan harga menarik ini, ia menawarkan pembeli yang mencari EV mampu milik dan elegan dengan teknologi terkini serta prestasi menakjubkan,” tambahnya.

Selain itu, serentak dengan musim perayaan ini, GWM Malaysia menawarkan Home Wall Box Charger dan 3-Pin Portable Charger percuma dengan setiap pembelian Ora Good Cat baharu. Promosi ini berakhir pada 30 April 2024.

GWM Ora 07 dipertonton di Malaysia – Sehingga 408PS, 680Nm, 640km jarak pemanduan

SELEPAS membuka tempahannya beberapa hari lepas, Great Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) hari ini mempertontonkan Ora 07 untuk para pengamal media.

Sedan coupe elektrik (EV) empat-pintu ini ditawarkan dalam dua varian untuk Malaysia – Long Range dan Performance.

Kedua-dua model dilengkapi dengan pek bateri 83.499kWh. Long Range didatangkan dengan motor elektrik tunggal di depan berkuasa 204PS/340Nm, dan jarak pemanduan sehingga 640km.

Sementara itu Ora 07 Performance pula dibekalkan dengan dua motor elektrik, memberikan output keseluruhan sebanyak 408PS dan 680Nm tork. Jarak pemanduan sedikit rendah, pada 550km. Tetapi pecutan 0-100km/j boleh dilakukan dalam 4.3 saat dengan varian ini.

GWM Ora 07 mempunyai kapasiti pengecasan 11kW untuk AC manakala pengecasan pantas DC adalah pada 88kW.

GWM Malaysia tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai tempoh pengecasan, tetapi wakilnya memberitahu kami bahawa pengecasan 10 hingga 80 peratus boleh dilakukan dalam tempoh kurang sejam.

Baik selain angka-angka, apa yang ada pada rupa penampilan GWM Ora 07 ini? Kelengkapan standard termasuklah lampu LED pintar, tingkap tanpa-bingkai, bumbung kaca panoramik, dan spoiler belakang adaptif.

Kabinnya direka dengan konsol tengah berbentuk-T, tempat duduk depan dengan fungsi urutan, dan dua skrin besar untuk instrumen dan infotainmen, masing-masing bersaiz 10.25-inci dan 12.3-inci.

Ciri keselamatan yang boleh didapati pada Ora 07 antaranya adalah Lane Departure System, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection, dan ciri seperti kamera 360-darjah, Intelligent Evasion, Traffic Sign Recognition, Cruise Speed Limit, dan banyak lagi.

GWM Ora 07 hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Crystal Purple, Amethyst Gray, dan Jade White. Mereka yang menempah awal bakal mendapat jaminan 5-tahun.

Apa pendapat anda mengenai sedan-coupe EV terbaharu dalam pasaran Malaysia ini? Boleh lawan Tesla Model 3 dan BYD Seal?

GWM Ora 07 sah lancar di Malaysia suku pertama 2024

BEBERAPA hari yang lalu, Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah memuat naik gambar teaser Ora 07 yang seakan memberi tanda ketibaan model itu tidak lama lagi.

Kini, syarikat itu secara rasminya telah mengesahkan bahawa Ora 07 akan dilancarkan ke pasaran tempatan pada suku pertama tahun ini.

Bukan itu sahaja, spesifikasi awal untuk sedan elektrik dengan gayaan fastback itu turut didedahkan. Ia akan ditawarkan dalam dua konfigurasi iaitu motor elektrik tunggal dengan jarak pandu 640 km dan motor elektrik berkembar dengan 550 km.

Jika diperhatikan, jarak pandu bagi kedua-dua konfigurasi itu sama dengan apa yang ditawarkan oleh Ora 07 pasaran Thailand.

Di sana, varian Long Range menampilkan motor elektrik tunggal pada gandar hadapan dengan 204 PS/340 Nm yang membolehkannya memecut sehingga 170 km/j. Bateri berkapasiti 83.5 kWj pula memberikan jarak pandu sejauh 640 km.

Varian kedua iaitu Performance pula dilengkapi dengan sepasang motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 408 PS/680 Nm. Ia mempunyai bateri yang sama namun jarak pandunya lebih pendek iaitu 550 km.

Selain itu, Ora 07 untuk pasaran Malaysia juga didatangkan dengan spoiler elektrik adaptif dan reka bentuk pintu tanpa bingkai.

GWM Ora 07 bakal masuk pasaran Malaysia

NAMPAKNYA persaingan antara Tesla Model 3 dan BYD Seal (yang akan dilancarkan tidak lama lagi) bakal menjadi lebih sengit dengan kehadiran pesaing ketiga iaitu Great Wall Motor Ora 07.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Great Wall Motor Malaysia telah memuat naik satu gambar teaser yang menunjukkan model itu dari sudut belakang, sekali gus menandakan ketibaannya dalam masa terdekat.

Ora 07 merupakan sebuah sedan empat pintu dengan rekaan fastback yang dibina menggunakan platform LEMON yang dibangunkan oleh GWM. Bergantung kepada pasaran, ia juga dikenali sebagai Lightning Cat atau Grand Cat.

Di Thailand, di mana ia telah dilancarkan secara rasmi pada Disember lalu, Ora 07 boleh didapati dalam dua varian iaitu Long Range (1,299,000 baht atau RM172,729) dan Performance (1,499,000 baht atau RM198,804).

Varian Long Range menampilkan motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang menghasilkan 204 PS dan 340 Nm. Ia boleh memecut sehingga 170 km/j dan bateri berkapasiti 83.5 kWj memberikannya jarak pandu sejauh 640 km.

Sementara itu, varian Performance pula mempunyai 408 PS dan 680 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.3 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 180 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri yang sama namun mempunyai jarak pandu yang lebih pendek iaitu 550 km.

GWM buka pusat 4S pertama di USJ, model Cannon dan Haval H6 bakal dilancar tahun ini

GREAT Wall Motor Malaysia merasmikan pusat 4S pertamanya di USJ. Menariknya, pusat pengedar seluas tiga ekar itu juga merupakan Pusat Pengalaman Komprehensif.

Kemudahan baharu ini menandakan bahawa Great Wall Motor kini satu langkah maju ke hadapan dalam mengembangkan rangkaian pengedar di Malaysia, dengan kerjasama Superhub Auto.

Mike Cui, Pengarah Urusan GWM Malaysia telah merasmikan majlis perasmian besar-besaran Superhub 4S baharu yang merangkumi jualan, servis, alat ganti serta kemudahan badan dan cat.

Dengan tawaran ini, Great Wall Motor berhasrat untuk menyediakan pengalaman yang lancar dan disesuaikan untuk pelanggan mereka yang dihargai.

Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan rangkaian berterusan mereka, Great Wall Motor sedang aktif memilih pengedar yang berkualiti tinggi untuk mengukuhkan liputan rangkaian.

Dengan mengembangkan rangkaian pengedar mereka, Great Wall Motor berhasrat untuk menyediakan akses secara meluas kepada pelbagai produk GWM dan servis selepas jualan yang tiada tandingan.

Pada majlis perasmian itu juga, peminat dan pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat HAVAL H6 dan GWM CANNON.

Great Wall Motor mengesahkan keyakinan dan komitmen jenamanya terhadap pelanggan Malaysia melalui pendekatan proaktif mereka dalam pembangunan produk dan rangkaian pengembangan.

“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan pusat 4S kami dengan Pusat Pengalaman Komprehensif di USJ sebagai bukti komitmen kami dalam memberikan kecemerlangan dan kepuasan kepada para pelanggan,” kata Mike.

“Dengan rangkaian kami yang berkembang dan aspirasi untuk melancarkan HAVAL H6 dan GWM CANNON tahun ini, kami sangat teruja untuk menawarkan peluang yang lebih banyak untuk produk berkualiti di Malaysia.”

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web GWM Malaysia, www.gwm.com.my atau pelanggan boleh melawat bilik pameran 4S baharu di USJ, Malaysia.