Hennessey Venom F5-M merupakan kereta manual paling berkuasa di dunia, cecah 1,817 hp!

Ucapkan selamat datang kepada roadster bertransmisi manual yang paling berkuasa di dunia, Hennessey Venom F5-M.

Dibina berdasarkan model Venom F5 Roadster, Venom F5-M menggunakan nadi bentangan V8 6.6 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 1,817 hp dan daya kilas 1,618 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan, berbanding kotak gear AMT tujuh kelajuan pada model asal.

Menurut Hennessey, Venom F5-M ini memerlukan “tumpuan pemandu yang maksimum” dan dalam masa yang sama menjanjikan “pengalaman pemanduan yang lebih ekstrem dan mendalam”.

Bagi membezakan model ini dengan mana-mana model F5 Roadster standard, Hennessey telah memadankan sirip aerodinamikyang agak panjang (1,400 mm) yang menghiasi ruangan dek belakang.


Untuk ruang kabin, F5-M Roadster ini didatangkan dengan kotak pedal baharu, tuil penukaran gear aluminium/gentian karbon dengan shift gate yang diperbuat daripada aluminium bilet.

Turut dibawakan sama ialah roda stereng stail yoke yang menampilkan pelbagai jenis butang fungsi untuk kegunaan pemandu.

Hanya 12 unit sahaja Hennessey Venom F5-M yang akan diproduksikan, dan dengan harga sekitar $2.65 juta (RM11.51 juta) untuk satu unit.

Tidak menghairankan apabila kesemua unit sudah pun habis terjual sebelum ia sempat didedahkan kepada umum, menunjukkan betapa bernilainya jentera ini di mata peminatnya.

Hennessey Venom F5 hilang kawalan semasa ujian 400km/j, pemandu selamat

SEORANG pemandu ujian Hennessey terselamat dari kemalangan pada kelajuan 400km/j membabitkan hypercar Venom F5 di Kennedy Space Center, Florida baru-baru ini.

Menurut siaran oleh Hennessey di Instagram mereka, pasukan ujian pada ketika itu sedang menguji tetapan aerodinamik untuk F5 yang berkuasa 1,817hp.

Ia hilang downforce pada kelajuan 250 batu sejam (402km/j) menyebabkan pemandunya hilang kawalan. Apa yang menakjubkan ialah pemandunya terselamat dari kemalangan itu tanpa sebarang kecederaan.

Punca insiden itu tidak dikenal pasti. Hennessey berkata pasukan mereka sedang menganalisis data untuk mencari punca kejadian itu.

“Saya sangat bersyukur kepada pasukan jurutera dan juruteknik kami yang telah merekabentuk dan membina kenderaan yang sangat kukuh,” kata Hennessey dalam satu kenyataan.

“Kami juga berterima kasih kepada pasukan tindak balas pertama dan staf di KSC untuk respon pantas mereka dalam memastikan keselamatan semua pihak.”

Hennessey mendakwa Venom F5 sebagai kenderaan terpantas di dunia, mampu mencapai kelajuan 311 batu sejam (500km/j). Walaubagaimanapun tiada cubaan untuk mencapai kelajuan itu pernah dibuat (setakat ini).

Tiada perincian mengenai keadaan kenderaan atau situasi kemalangan. Diharapkan kerosakannya tidak begitu teruk. Apa pun, kami teruja melihat Hennessey mencapai kelajuan 500km/j suatu hari nanti.