Selain daripada EV kotak iCAUR 03, jenama itu turut memperlihatkan sebuah lagi SUV elektrik yang membawakan penggayaan retro, iaitu V23.
iCAUR V23 merupakan model pertama yang dibangunkan oleh Chery dan Zhimi Technology.
Unit yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025 ini merupakan versi pemanduan sebelah kiri (LHD).
iCAUR V23 merupakan SUV saiz kompak berukuran sepanjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,730 mm.
Rekaan luaran V23 banyak diinspirasikan daripada SUV off-road terkenal seperti Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz G-Class dan juga Land Rover Defender.
Di pasaran China, V23 boleh didapati dalam versi pacuan roda belakang 136 PS/180 Nm, atau versi pacuan semua roda (AWD) dengan kuasa 208 hp dan 292 Nm.
Terdapat pilihan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 59.93 kWh dengan jarak gerak 401 km, atau nickel manganese cobalt (NMC) 81.76 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 550 km.
V23 turut menyokong pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas 30-80 peratus dalam masa 30 minit serta fungsi V2L (Vehicle-to-load) sehingga 3.3 kW.
Buat masa ini, pihak iCAUR Malaysia belum mengumumkan harga jualan rasmi serta tarikh pelancaran bagi model V23 ini.