MODENAS melancarkan jentera sport touring berkuasa tinggi Kawasaki Ninja H2 SX SE di Malaysia Autoshow 2025.
Dengan enjin empat silinder sebaris 998 cc, ia mampu menjana kuasa 210 PS @ 11,000 rpm (dengan RAM Air) dan daya kilas maksimum 137 Nm @ 8,500 rpm.
Bacaan penggunaan bahan api adalah sekitar 5.4 liter untuk setiap 100 km.
Ninja H2 SX SE menggunakan kerangka trellis yang disokong oleh sistem suspensi elektronik semi-aktif (KECS) yang terdiri daripada fork hadapan terbalik saiz 43 mm boleh laras, diikuti penyerap hentak tunggal BFRC di belakang.
Aspek tunggangan dibantu dengan pelbagai ciri elektronik seperti unit pengukuran inersia enam paksi (IMU), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), Kawasaki Cornering Management Fuction (KCFM), serta Kawasaki Traction Control (KTRC).
Sistem brek terdiri daripada rotor hadapan berkembar 320 mm dengan angkup Brembo Stylema empat omboh, diikuti rotor tunggal 250 mm dengan angkup dua omboh di belakang.
Tangki bahan api boleh memuatkan sehingga 19 liter minyak, sementara tinggi pelana pula adalah sekitar 835 mm.
Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki H2 SX SE dijual pada harga RM129,400.
Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) baru sahaja melancarkan motosikal retro Kawasaki Z650RS untuk pasaran Malaysia, bersempena dengan pembukaan pusat pameran Kawasaki Puncak Alam siang tadi.
Kawasaki Z650RS dikuasakan oleh enjin parallel-twin 649 cc yang sama didapai pada model Ninja 650 dan Z650, menghasilkan kuasa 67 hp dan daya kilas 65.7 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam kelajuan, dibantu dengan klac assist & slipper.
Z650RS menggunakan kerangka jenis trellis keluli berkekuatan tinggi, diikuti dengan suspensi fork hadapan 41 mm dan suspensi belakang jenis horizontal back-link, dengan masing-masing membenarkan jarak pergerakan roda 100 mm dan 125 mm.
Sistem brek terdiri daripada cakera berkembar saiz 300 mm di depan berserta angkup dua omboh, dan rotor tunggal 220 mm dengan angkup omboh tunggal di belakang.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api 12 liter, tinggi pelana 820 mm, lampu depan belakang jenis LED, tolok meter analog berserta skrin digital LCD, tidak ketinggalan ciri keselamatan ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (KTRC).
Kawasaki Z650RS dijual pada harga bermula RM37,200 dan boleh didapati di semua pusat pameran Kawasaki All-Star di seluruh negara.
Pusat 4S Kawasaki Puncak Alam merupakan fasiliti ketujuh di Malaysia dan kedua di Selangor yang dikendalikan oleh Puncak Alam Motoworld Sdn Bhd.
Untuk tahun 2025, MODENAS merancang untuk mendirikan 13 pusat 4S Kawasaki di seluruh Malaysia.
Setelah empat bulan tempahan dibuka, hari ini syarikat Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyerahkan model supersport kelas pertengahan Kawasaki Ninja ZX-6R serba baharu kepada 100 orang pemilik pertama.
Bertempat di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, acara serahan tersebut turut dihadiri oleh para pengedar Kawasaki, peminat setia serta wakil-wakil media.
MODENAS pada asalnya menyasarkan hanya 50 unit sahaja, namun jumlah tersebut digandakan kepada 100 unit disebabkan permintaan yang sangat menggalakkan.
Ia juga sekaligus menghabiskan jualan bagi dua kumpulan pertama dalam tempoh masa yang singkat.
Dari segi spesifikasi, Ninja ZX-6R dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 636 cc menghasilkan 122 hp dan daya kilas 69 Nm, dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan berserta klac assist & slipper.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan Showa SFF-BP 41 mm, diikuti dengan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.
Sistem brek pula bergantung kepada angkup empat omboh dan rotor berkembar 310 mm di depan, serta angkup omboh tunggal dan rotor 220 mm di bahagian belakang.
Ciri bantuan elektronik termasuklah kawalan cengkaman (KTRC), penukaran gear pantas (quickshifter), tiga mod tunggangan (Road, Rain, Sport), dan skrin paparan TFT 4.3 inci yang boleh dihubungkan dengan peranti pintar.
Dipasang di kilang MODENAS Gurun, Kedah, Kawasaki Ninja ZX-6R dijual pada harga bermula dari RM59,900 sahaja.
Kawasaki baru-baru ini menggemparkan dunia alam maya dengan memuat naik satu video acah di laman media sosial mereka.
Video berdurasi bawah 10 saat itu dilihat mengumpulkan beberapa komen pengikut media sosial Kawasaki yang menyeru pengeluar itu menghidupkan semula era kegemilangan enjin dua lejang.
Hantaran tersebut kemudian diakhiri dengan tiga perkataan “We Heard You“, memberikan petunjuk Kawasaki mendengar dan mahu merealisasikan permintaan daripada para peminatnya.
Tidak banyak informasi yang didedahkan buat masa ini.
Namun, merujuk kepada laman web Visordown, Kawasaki sebelum ini telah mendaftarkan dokumen paten yang diterbitkan pada Julai 2024 yang mendedahkan pengeluar itu sedang membangunkan enjin dua lejang serba baharu.
Selain mengembalikan semula teknologi yang telah lama ‘pupus’ itu, enjin dua lejang baharu Kawasaki akan dilengkapi dengan beberapa teknologi seperti sistem pancitan bahan api, unit pengecas turbo dan injap kemasukan yang dioperasikan oleh aci sesondol.
Dengan adanya penambahbaikan yang disebutkan itu tadi, ia secara jelas boleh meningkatkan tahap kecekapan enjin dan dalam masa yang sama mengekalkan kelebihan yang ada pada enjin dua lejang berbanding enjin empat lejang.
Buat masa ini, pihak Kawasaki belum menentukan sama ada enjin dua lejang baharu ini akan ditawarkan pada motosikal jalanan ataupun dikhaskan untuk kegunaan lain.
Yang pasti, perkembangan terbaharu ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan insan yang sebelum ini pernah berpengalaman memiliki motosikal 2T, seperti Yamaha 125Z, Yamaha RX-Z, Modenas Dinamik, serta Kawasaki Ninja 150RR (sekadar menyebut beberapa model terkenal).
Serentak dengan pelancaran motosikal cruiser Eliminator 500, MODENAS turut sama membuka pra-tempahan bagi model super sports Kawasaki ZX-6R 2025.
Dengan harga jualan bermula RM59,900, jentera tersebut sudah boleh ditempah di semua bilik pameran Kawasaki All-Star pada 1 Disember sehingga 31 Januari 2025 dengan wang pendahuluan sebanyak RM500.
50 pemilik pertama yang berjaya menempah akan dijemput untuk acara serahan eksklusif di Sepang pada Februari 2025.
Spesifikasi Kawasaki ZX-6R adalah seperti berikut:
Enjin: empat silinder sebaris DOHC, 636 cc, Euro 5
Kuasa: 122 hp @ 13,000 rpm
Daya kilas: 69 Nm @ 10,800 rpm
Transmisi: 6-kelajuan, klac assist & slipper
Suspensi hadapan: fork 41 mm Showa SFF-BP
Suspensi belakang: penyerap hentak tunggal, larasan pra-beban
Brek hadapan: Rotor 310 mm berkembar, angkup 4-omboh
Brek belakang: Rotor 220 mm tunggal, angkup omboh tunggal
Skrin: TFT 4.3 inci
Mod tunggangan: Sport, Road, Rain
Rangkaian kedai runcit terkemuka di Jepun, FamilyMart mengumumkan sokongan kepada usaha Kawasaki Motor Japan untuk mencapai sasaran neutral karbon.
Kempen kolaborasi antara kedua-dua belah pihak itu menawarkan hadiah utama berupa sebuah Kawasaki Ninja ZX-4RR dengan liveri menyamai warna FamilyMart.
Untuk makluman, Kawasaki Ninja ZX-4RR dengan liveri ‘FamilyMart’ ini sebenarnya merupakan edisi ulang tahun Ninja yang ke-40 dilancarkan pada penghujung tahun lepas di mana skema warna biru/lime green/putih itu telah pun digunakan pada siri super sports ZXR sejak tahun 1989 lagi.
Para peminat Kawasaki dan FamilyMart boleh memuat turun aplikasi FamiPay dan mengisi borang yang telah disediakan di mana seorang individu yang bertuah akan membawa pulang sebuah Ninja ZX-4RR 40th Anniversary Edition.
Selain itu, pelanggan Kawasaki yang membuat pembelian motosikal 401 cc dan ke atas di kedai Kawasaki Plaza akan menerima poin FamilyMart bernilai sehingga 3,000 yen (RM87.61).
Terdapat juga kempen di mana anda boleh memenangi poin bernilai sehingga 100,000 yen (RM2,920) jika anda menyertai July Daily Challenge Game yang terdapat dalam aplikasi tersebut.
Kedua-dua syarikat itu juga akan turut bekerjasama bersempena dengan penganjuran perlumbaan endurans Suzuka 8 Hours yang ke-45 pada 19 Julai nanti, di mana motosikal Ninja e-1 EV dan Ninja 7 Hybrid berlogokan FamilyMart akan dipamerkan di ruang reruai syarikat tersebut.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) baru-baru ini telah memperkenalkan warna dan grafik baharu untuk dua jentera naked Kawasaki iaitu Z900 ABS dan Z900 SE.
Untuk tahun 2024, Z900 ABS memperkenalkan kombinasi warna baharu Candy Persimmon Red/Ebony, manakala Z900 SE pula boleh didapati dalam warna Metallic Spark Black/Metallic Matte Graphenesteel Gray.
Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan. Z900 ABS dan Z900 SE akan terus dikuasakan oleh enjin sejukan cecair 948 cc, empat silinder sebaris yang menghasilkan 125 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm pada 7,700 rpm.
Dari segi kelengkapan, kedua-dua model ini menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Road, Sport dan Rain, pilihan mod kuasa, tiga tetapan kawalan cengkaman KTRC (Kawasaki Traction Control) dan klac jenis Assist & Slipper.
Untuk tahap tunggangan yang lebih tinggi, Z900 SE menampilkan kelengkapan tambahan berupa fork terbalik berwarna emas di hadapan dan penyerap hentak Öhlins S46 dengan pelaras pra-muatan di belakang.
Harga jualan bermula dari RM44,900 untuk Z900 ABS dan RM55,900 untuk Z900 SE. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti selama dua tahun tanpa had perbatuan.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 4S flagship ketiganya iaitu Kawasaki Kuching yang terletak di Kuching, Sarawak.
Terletak di bawah pengurusan Ghee Hua Co Sdn Bhd, Kawasaki Kuching merupakan pusat pameran bertaraf All-Star yang pertama di Malaysia Timur dan ketiga di Malaysia.
Majlis pelancaran dirasmikan oleh Law Kin Hin, Pengarah Kawasaki Kuching dan Ghee Hua Group, bersama Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas. Ia turut disaksikan oleh YB Dato Sri Abd Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak.
Ghee Hua diasaskan pada 1968 sebagai syarikat menjual basikal sebelum ia berkembang kepada penjualan motosikal pada 1970. Syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan Modenas sebagai pengedar sah motosikal jenama itu pada Ogos 2000.
Dengan pembukaan Kawasaki Kuching, EMOS menjangkakan dapat memeriahkan pasaran motosikal dan skuter Kawasaki dan Modenas di Sabah dan Sarawak.
Syarikat itu mensasarkan untuk membuka 10 lagi pusat 4S Kawasaki pada tahun ini dan melantik lima pengedar bertaraf All-Star dalam tahun yang sama.
Menurut EMOS, semua pusat 4S Kawasaki All Star mematuhi piawaian reka bentuk dan pembinaan Kawasaki Plaza di Jepun yang mengutamakan paparan produk dan visual.
Edaran Modenas Sdn Bhd mengumumkan warna dan grafik baharu untuk barisan model di Malaysia, iaitu Z250 ABS, Z650, Versys 1000 SE, Ninja 1000 SE, KX250, KX250X.
Z250 ABS
Z250 mendapat warna Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony Frame Golden Blazed Green, dijual pada harga RM20,600.
Z650 ABS
Bagi Z650 ABS, ia ditawarkan dengan kombinasi warna Candy Persimmon Red/Noble Frame Metallic Red/Wheel Metallic Persimmon Red. Harga adalah RM35,900.
Versys 1000 SE
Versys 1000 SE pula kini hadir dengan warna Phantom Silver/Metallic Diablo Black, berharga RM81,900.
ZX1000 SE
Seterusnya merupakan Ninja ZX1000 SE, yang kini mendapat warna Emerald Blazed Green/Metallic Diablo Black/Metallic Graphite Grey. Superbike ini ditawarkan pada harga RM71,400.
KX250 dan KX250X
Akhir sekali adalah duo KX250 dan KX250X, dimana masing-masing hadir dengan warna Lime Green. KX250 berharga RM35,000 manakala KX250X RM35,500.
Kesemua model dengan warna baharu ini adalah bagi tahun 2024, dan setiap satu mengekalkan kelengkapan serta prestasi yang ditawarkan model semasa. Dengan pengenalan warna-warna baharu ini juga, warna lama akan ditamatkan penawarannya.
INI dia satu motosikal yang dinanti-nanti ramai peminat sportbike, Kawasaki Ninja ZX-25R telah secara rasmi dilancar di Malaysia.
Dibawakan secara rasmi oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), ZX-25R ditawarkan pada harga RM33,900 dan hadir dengan dua warna – Metallic Matte Graphensteel Gray dan Lime Green.
Untuk pasaran tempatan, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam dua versi iaitu SE dan RR. Sebagai model varian lebih sporty, RR dilengkapi dengan forkjenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshockShowa BFRC pada bahagian belakang.
Untuk enjin, kedua-dua versi dikuasakan oleh enjin 249.8cc 4-silinder sebaris yang menghasilkan 47hp pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm pada 14,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dengan Quickshifter dan Assist & Slipper Clutch.
Dari segi dimensi, sportbike ini mempunyai panjang 1,980mm, lebar 750mm, dan tinggi 1,100mm serta jarak roda 1,380mm. Ia mempunyai tinggi tempat duduk 785mm, berat 184kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.
Selain itu, Ninja ZX25-R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, serta brek cakera berukuran 310mm dengan angkup monoblocempat piston di hadapan dan cakera 210mm dengan angkup piston tunggal di belakang.
Dibawakan oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), sportbike itu ditawarkan pada harga bermula RM33,900 untuk ZX-25R SE.
Motosikal ini menampilkan nadi empat-silinder 249.8cc dengan output 51hp pada 15,500rpm dan 22.9Nm tork pada 14,000rpm, menjadikannya model paling berkuasa dalam segmennya.
Kuasa dihantar ke roda belakang melalui kotak gear 6-kelajuan dengan quickshifter dan klac slipper & assist sebagai standard.
Selain itu, Ninja ZX-25R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Mode, serta brek cakera berukuran 310 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.
Untuk pasaran Malaysia, Ninja ZX-25R SE ditawarkan dengan dua warna iaitu Lime Green/Ebony dan Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony.
Belum ada harga untuk ZX-25RR iaitu varian lebih sporty. Ia dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.
PENGEDAR rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Kawasaki Ninja ZX-25R telah pun dibuka.
Harga jualan masih belum diumumkan namun menurut laporan media tempatan, model sportbike ini akan dilancarkan secara rasmi pada September tahun ini.
Untuk pasaran tempatan, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam dua versi iaitu SE dan RR. Sebagai model varian lebih sporty, RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.
Untuk enjin, kedua-dua versi dikuasakan oleh enjin 249.8 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm pada 14,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan teknologi quickshifter dan klac slipper & assist.
Selain itu, Ninja ZX25-R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, serta brek cakera berukuran 310 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), pengedar rasmi Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), mengumumkan pelaksanaan program jaminan dua-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model Kawasaki dan Modenas.
Perkara itu berkuatkuasa bermula 1 Julai 2023, untuk semua model dari 250cc hingga 1,000cc. Jaminan ini merupakan penambahan dari sebelum ini yang mengehadkan perbatuan sebanyak 20,000km untuk tempoh dua tahun.
Program jaminan ini akan datang sebagai piawaian standard kilang yang terdiri daripada:
Kawasaki menjamin setiap produk baharu bebas daripada kecacatan pembuatan untuk tempoh 24 bulan dari tarikh asal jualan oleh pengedar Kawasaki yang sah.
Terma dan syarat yang sama dikenakan kepada pemilik baharu tetapi ambil perhatian bahawa jaminan tamat dalam semua kes selepas tempoh tertentu dari tarikh jualan kepada pembeli asal.
Produk Kawasaki berprestasi terbaik dengan penyelenggaraan dan servis biasa, dan setiap model mempunyai jadual penyelenggaraan yang direka untuk memastikan ia beroperasi pada tahap prestasi optimumnya. Kami mengesyorkan kenderaan diservis oleh pengedar Kawasaki yang sah mengikut jadual servis yang diperincikan dalam manual pemilik anda.
Sebagai tambahan, perkhidmatan bantuan 24/7 juga akan disertakan dalam program jaminan baharu ini. Jaminan ini mempunyai terma dan syarat semasa yang sama seperti jaminan pengilang standard dan hendaklah kekal bersama motosikal apabila dijual atau dipindahkan kepada pemilik baru
Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata: “Dengan menghapuskan sekatan jarak daripada jaminan sedia ada, pengguna kami akan dapat menikmati pengalaman tunggangan dengan bebas dan tenang.
“Program ini juga sebagai tanda keyakinan daripada Modenas kepada semua penggunanya di luar sana terhadap kualiti setiap produknya.
“Selain itu, kepada semua pemilik, sila pastikan untuk mengikuti jadual servis di pusat servis atau pengedar Kawasaki/Modenas yang sah anda dengan teliti untuk mengelakkan jaminan terbatal kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi KAWASAKI Malaysia di: http://www.kawasaki.com.my/home.
SEGMEN motosikal supersport mungkin tidak serancak segmen-segmen lain namun ia tidaklah ‘mati’ sepenuhnya. Kawasaki, salah satu pengeluar yang masih bersaing dalam pasaran ini, baru-baru ini telah mengemaskini Ninja ZX-6R bagi model tahun 2024.
Dari segi penampilan, ZX-6R mendapat ‘wajah’ baharu menerusi cowling depan dan lampu LED yang direka semula, serta cermin penghadang angin yang lebih rendah. Tidak seperti sebelum ini, bahagian di sekeliling RAM Air Intake dicat sepenuhnya.
Jentera ini masih lagi dikuasakan oleh enjin DOHC 636 cc empat silinder sebaris cuma cam profile-nya telah dikemas kini untuk mendapatkan prestasi rpm julat rendah yang lebih baik dan membantu mematuhi piawaian emisi yang lebih ketat.
Selain itu, Kawasaki turut menala semula penyuntik untuk pengabusan (atomisation) bahan api yang lebih tepat dan mereka bentuk semula corong kemasukan kotak udara untuk meningkatkan pecutan pada rpm julat pertengahan.
Satu lagi penambahbaikan yang telah dilakukan adalah pada sistem ekzos. Menurut syarikat itu, paip header kini mempunyai susun atur baharu untuk mencapai emisi yang lebih bersih serta meningkatkan respon dari sensor O2.
Sistem suspensi terdiri daripada Showa Separate Function Fork—Big Piston (SFF-BP) pada bahagian depan dan penyerap hentak Showa dengan fungsi pelarasan sepenuhnya pada bahagian belakang.
Untuk kuasa membrek, ZX-6R menggunakan cakera berkembar 310 mm dengan angkup monobloc empat piston pada bahagian depan. Bahagian belakang pula dilengkapi dengan cakera 220 mm dan angkup tunggal. Tayar yang digunakan adalah jenis Pirelli Diablo Rosso IV.
Sistem elektronik juga telah dipertingkatkan menerusi penambahan Kawasaki Intelligent Anti-Lock Brake System (KIBS) dan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain. Ciri-ciri seperti Kawasaki TRaction Control (KTRC), Power Mode Selection dan Quickshifter masih tersedia seperti sebelum ini.
Sistem-sistem ini boleh diakses menerusi paparan TFT berwarna 4.3 inci baharu yang turut memuatkan speedometer digital, tachomoter jenis bar, posisi gear, lampu penukaran gear, tolok bahan api, meter perjalanan, kadar penggunaan bahan api dan pelbagai lagi.
Bukan itu sahaja, penunggang kini boleh menyambungkan telefon pintar mereka menerusi Bluetooth dan menggunakan aplikasi Rideology untuk mengakses fungsi-fungsi seperti info kenderaan, log tunggangan dan panggilan.
Di Amerika Syarikat, harga jualan Ninja ZX-6R bermula dari USD11,299 (RM52,173) hingga USD12,299 (RM56,790).
Pengedar rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) secara rasminya melancarkan model Kawasaki Z900 dan Z900 SE ke pasaran tempatan.
Apa yang menarik, Z900 kini dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah, menjadikannya model Kawasaki berkapasiti tinggi yang pertama dipasang oleh jenama itu.
Z900 boleh didapati dalam dua warna iaitu Metallic Matte Graphenesteel Grey dan Metallic Black Spark, dengan harga jualan bermula dari RM43,900.
Manakala Z900 SE yang merupakan model edisi khas pula ditawarkan dalam warna Candy Lime Green pada harga RM55,900.
Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin penyejukan cecair DOHC empat silinder sebaris bersesaran 948 cc yang mematuhi piawaian emisi Euro 5.
Enjin itu mampu menjana 123.6 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm pada 7,700 rpm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.
Ciri-ciri baharu lain yang dibawakan oleh Z900 dan Z900 SE termasuk kerangka yang diperkuat pada bahagian lengan ayun dan pivot, reka bentuk Sugomi baharu, lengan ayun lebih kompak, pelindung pivot dan tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2.
Dari segi elektronik pula, model-model ini menampilkan Kawasaki Traction Control (KTRC) dengan tiga tetapan, Power Mode Selection dengan mod tunggangan Sport, Rain, Road dan Rider, serta paparan TFT berwarna berukuran 4.3 inci dengan Bluetooth.
Sebagai model edisi khas, Z900 SE mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti fork Showa 41 mm boleh laras, penyerap hentak tunggal Öhlins S46, serta angkup Brembo M4.32 dengan silinder induk Nissin.
Z900 dan Z900 SE boleh didapati di semua pengedar sah Kawasaki bermula minggu kedua bulan ini.
Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan bahawa ia akan mula mengedarkan kotak ulang tahun Z edisi terhad (Z-Box) bersempena sambutan 50 tahun kejayaan siri Kawasaki Z.
Menurut EMOS, Z-Box terhad kepada hanya 300 pemilik Modenas Z250 baharu. Setiap kotak mengandungi sebuah buku bertajuk Z Chronicles, sehelai baju-T Z dan sehelai sarung kepala Kawasaki.
Z-Chronicles: Kisah Bermula dari Akhir
Pada tahun 1972, Kawasaki mengejutkan dunia motosikal dengan memperkenalkan Kawasaki 900 Super 4 yang turut digelar sebagai Z1. Didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris pertama dalam kelasnya, berserta kapasiti 903 cc dan DOHC, ia merangkumi teknologi termaju dan dianggap sebagai motosikal terbaik dari Kawasaki.
Sebagai huruf terakhir dalam abjad, Z mewakili huruf muktamad. Model Z telah berkembang menjadi salah satu jenama motosikal utama Kawasaki. Walaupun bentuk dan gaya tunggangan telah berkembang selama bertahun-tahun, ia terus mengukuhkan diri sebagai ikon prestasi.
Dengan Z1 dan prestasinya yang mengejutkan dunia, Kawasaki mengembangkan siri Z untuk memenuhi pelbagai keperluan. Z400 adalah model yang sporty dengan ciri-ciri kuasa tunggangan yang diidamkan.
Kawasaki Z1
Untuk model KZ900LTD, penunggang boleh menikmati motosikal berprestasi tinggi serta keselesaan yang mantap, manakala Z500 / Z400FX ialah motosikal super sport kelas pertengahan.
Tidak lama kemudian, terdapat model untuk hampir setiap citarasa, gaya tunggangan, serta memberikan prestasi mengujakan yang membuatkan Z begitu terkenal. Dari 1972 hingga Ogos 2021, sebanyak 2,571,000 unit model Z telah dikeluarkan di seluruh dunia.
Untuk pertanyaan atau maklumat lanjut, layari lawan sesawang rasmi Modenas dan Kawasaki di https://modenas.my/v2/ dan http://www.kawasaki.com.my/home; atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.
KAWASAKI secara rasminya telah memperkenalkan penawaran terbarunya dalam segmen super sport iaitu Ninja ZX-4R. Selain varian standard, barisan jentera berprestasi tinggi saiz pertengahan ini terdiri daripada varian SE dan RR.
Tidak seperti Ninja 400 yang dikuasakan oleh enjin silinder berkembar, Ninja ZX-4R mempunyai enjin empat silinder sebaris serba baharu yang mampu menjana kuasa maksimum 77 PS atau 80 PS jika sistem ambilan udara (ram air intake) diberi tekanan.
Enjin DOHC bersesaran 399 cc itu dikatakan mampu menawarkan daya kilas yang kuat pada julat rpm rendah dan pertengahan, selain kuasa yang tinggi pada rpm tinggi (redline 15,000 rpm), menjadikannya sesuai untuk tunggangan harian dan juga untuk beraksi di litar.
Untuk casis, ZX-4R menampilkan kerangka trellis dan lengan ayun melengkung untuk mencapai nisbah berat depan-belakang yang ideal dan kestabilan. Ia dilengkapi dengan fork Showa SFF-BP dan suspensi jenis back-link, berserta ciri pelarasan pramuatan pada SE dan RR.
Bukan itu sahaja, versi RR turut mendapat penyerap hentak belakang Showa BFRC-lite yang turut digunakan oleh Ninja ZX-10R.
Ukuran dimensinya adalah 1,990 mm panjang, 765 mm lebar dan 1,110 mm tinggi, dengan tapak roda 1,380 mm. Ketinggian tempat duduk adalah 800 mm, manakala kapasiti tangki minyak adalah 15 liter. Ia mempunyai berat sekitar 188 kg hingga 189 kg.
Kuasa membrek pada bahagian hadapan dibekalkan oleh cakera separa-terapung berkembar berukuran 290 mm dan angkup monobloc, manakala untuk bahagian belakang pula, motosikal ini menggunakan cakera tunggal 220 mm.
Untuk sistem elektronik pula, ZX-4R didatangkan dengan Kawasaki Traction Control (KTRC) dan empat mod tunggangan iaitu Sport, Road, Rain dan Rider. Turut terdapat pada SE dan RR adalah Kawasaki Quick Shifter (KQS) yang membolehkan penunggang menaikkan atau menurunkan gear tanpa klac.
Ciri-ciri lain yang disertakan pada ZX-4R termasuklah lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, dan panel meter LCD berukuran 4.3 inci. Panel ini mempunyai mod litar yang memaparkan masa lap, posisi gear dan meter RPM dari 10,000 rpm.
Harga serta tarikh pelancaran masih belum diumumkan, namun model ini dijangka memasuki pasaran Eropah pada musim luruh tahun ini.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat MODENAS menerima penarafan lima bintang daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi model Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.
Penarafan itu diberikan selepas kedua-dua motosikal itu menjalani ujian di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).
Selain Anti-lock Braking System (ABS), kedua-dua model tersebut berkongsi teknologi keselamatan tambahan seperti klac ‘assist and slipper’, penunjuk tunggangan ekonomi serta Argo Fit bagi pengurusan casis ringan yang lebih efektif.
Dengan itu, MyMAP secara rasmi memberi penarafan lima bintang kepada kedua-dua model ini sejurus proses penilaian dan audit yang telah dilalui MODENAS pada Oktober 2022 lalu.
Program MyMAP merupakan sebuah usaha terus kerajaan untuk menaik taraf tahap keselamatan motosikal di Malaysia dengan mengintegerasi teknologi dan fungsi keselamatan baharu pada motosikal berkapasiti rendah.
Dan dalam masa yang sama, untuk mendidik pengguna untuk mempraktikan tunggangan selamat sebagai pencegahan kemalangan.
Program MyMAP ini dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) yang turut mempunyai sistem penilaian yang sama seperti NCAP.
Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami di MODENAS amat berbangga dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan pada kedua-dua model Modenas Ninja 250 dan Modenas Z250 versi ABS.
“Kedua-dua model ini merupakan motosikal pertama yang menerima penarafan 5 bintang MyMAP bagi segmen Naked Bike dan Sports Bike bersasaran 250cc.
“Dengan itu, kami amat berharap para pembeli akan lebih cakna dalam membuat keputusan ketika membeli motosikal dana lebih mementingkan teknologi keselamatan yang ditawarkan pada setiap motosikal mereka.”
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat kepada MODENAS hari ini membawakan Ninja 250, tetapi dengan Ohlins Edition.
Seperti pada namanya, Ninja 250 ini hadir dilengkapi dengan suspensi Ohlins, menjadikannya satu-satunya model dalam segmen 250cc di negara ini dengan ciri tersebut.
Suspensi Ohlins ini walaubagaimanapun hanya di belakang, dan menurut MODENAS, mampu memberikan kestabilan lebih baik.
“Motosikal akan lebih stabil terutamanya ketika memasuki selekoh. Walaupun penunggang memulas pendikit minyak atau brek mengejut semasa selekoh di kawasan yang tidak rata, motosikal itu tetap stabil,” kata Roslan Roskan Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.
Suspensi Ohlins KA 744, STX 36 Supersport pada Ninja ini merupakan unit boleh-laras dan menerima jaminan penuh dari kilang selama dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).
Ianya unit tiub tunggal berdiameter 36mm dan dengan gas berketekanan tinggi. Ia menampilkan ciri pelarasan untuk rebound dan compression, dengan panjang keseluruhan 320mm.
Tiada perubahan lain pada sportbike ini, ia berasaskan model Ninja 250 ABS yang dikuasakan oleh enjin 249cc dua-silinder sebaris dengan output 37hp pada 12,500rpm dan 23Nm tork pada 10,000rpm.
Ia boleh didapati dengan satu warna khas iaitu Metallic Carbon Gray, dan dijual pada harga RM20,500. Model ini juga terhad kepada 180 unit sahaja.
Berikutan berakhirnya tempoh peralihan enam bulan daripada bekas pengedar produk Kawasaki, sehingga kini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah menambah wakil pusat servisnya di bahagian Sabah, wilayah Tengah dan Utara negara. Ini menjadikan bilangan wakil pusat servis Kawasaki kepada 20.
EMOS melalui wakil pusat servis, akan terus mengedar dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan, alat ganti dan aksesori untuk motosikal Kawasaki di Malaysia sehingga diberitahu kelak.
Oleh itu, semua alat ganti dan pertanyaan perkhidmatan berkaitan teknikal termasuk perkara berkaitan panggil balik (recall) boleh dirujuk semula di wakil pusat servis Kawasaki yang sah seperti yang disenaraikan dalam jadual di bawah.
Sementara itu, EMOS akan memperkenalkan model terbaharu daripada barisan Kawasaki dan pelancaran bilik pameran eksklusif secara berperingkat.
Senarai wakil pusat servis Kawasaki yang sah:
Bagi memenuhi keperluan pelanggan Kawasaki di seluruh negara, senarai pengedar yang sah akan sentiasa dikemas kini di laman web rasmi, https://www.kawasaki.com.my/home/.
Untuk pertanyaan, pemilik motosikal Kawasaki boleh hubungi 1-800-880-008 atau WhatsApp di +6019-570 8135.