Lancia umum kemunculan semula dalam sukan rali, dedah jentera Ypsilon Rally 4 HF

Suatu ketika dahulu, nama Lancia gah di persada rali selain daripada jenama yang terkemuka seperti Audi, Ford, Peugeot dan Renault.

Lancia juga pernah berada di ambang kepupusan sejak generasi ketiga Ypsilon dilancarkan, di mana ia kekal menjadi satu-satunya model yang masih dijual di pasaran tunggal, Itali yang juga merupakan negara asal jenama itu.

Kini, di bawah naungan Stellantis, Lancia dilapor mahu mengembalikan semula era kegemilangan mereka dengan menyertai acara perlumbaan rali aras mula Rally 4.

 

 

Masalahnya, Lancia (pada ketika ini) tidak mempunyai model berenjin pembakaran dalaman, memandangkan jenama itu baru sahaja melancarkan generasi keempat Ypsilon yang merupakan sebuah hatchback berkuasa elektrik (EV) sepenuh masa.

Jadi, Lancia membuat keputusan untuk memperkenalkan Lancia Ypsilon Rally 4 HF, secara asasnya sebuah Ypsilon generasi keempat yang dipadankan dengan enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter turbo berkuasa 212 hp.

Kuasa itu disalurkan kepada roda hadapan menerusi kotak gear mekanikal lima nisbah kelajuan, dibantu dengan komponen pembeza gelincir terhad (LSD) mekanikal.

 

 

Rupa luaran Ypsilon Rally 4 HF ini  juga sememangnya mengingatkan kita kepada liveri ikonik yang pernah menghiasi mana-mana jentera Lancia suatu ketika dahulu.

Apa yang pasti, jentera ini dibangunkan untuk memenuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan untuk kategori Rally4 FIA.

 

 

Namun untuk golongan kebanyakan, mereka boleh mendapatkan Lancia Ypsilon HF, sebuah EV berkuasa 240 hp dan mampu memecut sepantas 5.8 saat dari 0-100 km/j.

Selain talaan motor elektrik yang lebih berkuasa, Ypsilon HF juga menampilkan tetapan suspensi yang lebih rendah, jarak trek yang lebih lebar, dan penampilan agresif yang diinspirasikan daripada jentera rali ikonik jenama itu.

 

 

Pengenalan model Ypsilon HF ini turut menandakan kemunculan semula logo varian prestasi tinggi HF (High Fidelity) yang sebelum ini digunakan pada model seperti Delta HF dan Stratos HF.

Logo HF pada asalnya diperkenalkan pada acara Geneva Motor Show 1960, di mana pada ketika itu ia digunakan untuk sebuah kelab eksklusif bagi pelanggan jenama yang paling setia dan dikhususkan untuk mereka yang memiliki sekurang-kurangnya enam buah kereta baharu Lancia.

Ikon gajah merah telah dipilih sebagai satu azimat bertuah yang melambangkan prestasi dan keseronokan pemanduan.

 

Lancia Ypsilon Rally 4 HF


Lancia Ypsilon HF EV

Lancia Ypsilon 2024 – Kereta pertama selepas 13 tahun!

SIAPA sangka hal ini akan berlaku, tetapi inilah dia Lancia serba baharu. Masalahnya, jenama Itali ini tidak menghasilkan kereta sejak 13 tahun lepas.

Stellantis nekad untuk mengekalkan kesemua 14 jenama di bawahnya, iaitu kerjasama FCA-PSA. Ini juga bermakna Lancia mendapat peluang untuk membaiki semula imejnya.

Ypsilon 2024 baharu ini menjadi kereta elektrik (EV) pertama Lancia, walaupun model versi hibrid dan petrol bakal menyusul.

Ia dibina pada pelantar CMP/eCMP yang dikongsi dengan Peugeot 208/e-208, cuma penggayaan luarnya berbeza.

Lancia berkata rekaan lampu depan dan belakangnya diambil dari kereta rali ikonik mereka. Lampu belakang bulat mengingatkan kita kepada Stratos. Terdapat juga motif “Y’ di lampu depan dan belakang. Sementara itu, bahagian gerbang roda, cermin sisi, dan tiang belakang diberikan kemasan hitam.

Bahagian kabin banyak berbeza dari kembar Peugeot, tetapi memandangkan kita dalam 2024, masih terdapat dua skrin di papan pemuka. Masih ada juga beberapa butang fizikal untuk kawalan pendingin hawa.

Lancia telah berikan pad pengecasan tanpa-wayar, tiga soket USB-C, dan sambungan Apple Carplay serta Android Auto. Ciri tambahan termasuklah lampu ambien dan penapis kabin.

Lancia Ypsilon dipacu oleh satu motor elektrik di depan dengan output 154hp dan 260Nm tork. Kuasa dibekalkan oleh pek bateri 51kWh, memberikan jarak pemanduan 403km.

Untuk pengecasan, baterinya boleh mencapai 80 peratus dari 20 peratus dalam masa 24 minit sahaja, menggunakan pengecas DC.

Apa pendapat anda mengenai Lancia Ypsilon ini? Ada peminat yang rindukan jenama Lancia?