Maserati Grecale 2024 kini dibuka tempahan untuk pasaran Malaysia, dari RM635k

MASERATI Grecale versi terkini 2024 kini dibuka tempahannya untuk pasaran Malaysia. Anda yang berminat boleh memilih antara dua varian, iaitu GT dari RM634,889 atau Trofeo dari RM1,100,000.

Grecale GT

Grecale GT masih dibekalkan dengan enjin 2.0-liter turbo 4-silinder petrol dengan sistem mild hybrid BSG. Pakej ini memberikan output keseluruhan 300hp pada 5,750rpm dan 450Nm dari 2,000 hingga 4,000rpm.

Output ini disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem AWD bersama pilihan limited-slip differential (LSD) belakang.

Prestasi pecutan ialah 5.6 saat untuk 0 ke 100km/j, manakala 0-200 boleh dicapai dalam masa 23.7 saat. Kelajuan maksima pula ialah 240km/j.

Grecale GT juga dilengkapi dengan suspensi double-wishbone di depan dan multilink di belakang. Terdapat pilihan penyerap hentak aktif dan adaptif serta suspensi udara.

Brek adalah 350mm di depan dan 330mm di belakang, dengan rim 20-inci

Grecale Trofeo

Sementara itu, Grecale Trofeo adalah varian lebih berkuasa, dengan nadi V6 3.0-liter twin-turbo, menjana 530hp pada 6,500rpm dan 620Nm dari 3,000 hingga 5,500rpm.

Transmisi adalah sama, iaitu sistem pacuan semua-roda dan kotak gear automatik 8-kelajuan. Tetapi Grecale Trofeo mendapat LSD belakang elektronik secara standard.

Output yang lebih tinggi membolehkan Grecale Trofeo memecut ke 100km/j dalam hanya 3.8 saat, dan 200km/j dalam 13.8 saat. Kelajuan maksima juga lebih tinggi, pada 285km/j. Suspensi udara didatangkan standard untuk Trofeo.

Brek bagi Grecale Trofeo adalah berukuran 360mm di depan dan 350mm di belakang, dengan rim 21-inci.

Kelengkapan standard lain pada Maserati Grecale 2024 termasuklah Vehicle Dynamic Control Module (VDCM) dengan empat mod; Comfort, GT, Sport, dan Off-Road.

Grecale 2024 juga dilengkapi dengan paparan 12.3-inci untuk instrumen di depan pemandu dan satu lagi skrin 12.3-inci infotainmen. Skrin ketiga adalah bersaiz 8.8-inci untuk kawalan tambahan.

Sistem audio masih Sonus Fiber seperti sebelum ini, dengan 21 pembesar suara, selain kemasan kulit Saffionao pada papan pemuka dan panel pintu.

Kesemua Maserati Grecale di Malaysia juga hadir dengan jaminan tiga-tahun tanpa had perbatuan, dan boleh ditambah menjadi 10-tahun.

Maserati GranCabrio Folgore, EV droptop 818 hp, jarak gerak 447 km

Maserati baharu sahaja melancarkan sebuah model berkuasa elektrik sepenuh masa, GranCabrio Folgore sebagai alternatif dan pelengkap kepada penawaran GranTurismo Folgore sedia ada.

Secara asasnya, model GranCabrio Folgore merupakan sebuah droptop dengan bumbung yang boleh dilipat.

Namun secara keseluruhannya, model ini banyak berkongsi komponen yang sama dengan model GranTurismo Folgore, termasuklah unit rangkaian kuasa elektrik.

 

Tiga motor elektrik, 818 hp!

 

Ia menampilkan tetapan tiga motor elektrik jenis radial-flux, terdiri daripada dua unit pada gandar belakang dan satu unit untuk gandar depan, di mana setiap satu berkeupayaan menghasilkan kuasa puncak 300 kW (402 hp).

Disebabkan had teknologi bateri, Maserati mendakwa model cabriolet ini mampu menghasilkan kuasa puncak setinggi 818 hp/1,350 Nm dalam mod MaxBoost, atau sehingga 751 hp dalam mod pemanduan standard.

 

Prestasi pecutan bawah tiga saat

 

GranCabrio ini mampu memecut sepantas 2.8 saat dari 0-100 km/j, sebelum ia mencapai kelajuan tertinggi 290 km/j.

 

Jarak gerak 447 km

 

GranCabrio Folgore dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion berbentuk T yang diposisikan pada bahagian lantai, dengan kapasiti 92.5 kWh (had 83 kWh).

Untuk pengecasan penuh, model ini mampu bergerak antara 419 km hingga 447 km, dibantu dengan sistem brek regeneratif yang mampu menjana kuasa sehingga 400 kW.

Pengecasan pantas DC 270 kW membolehkan anda menambah jarak 100 km dalam masa lima minit, atau pengisian 20 hingga 80 peratus dalam masa 18 minit.

 

Empat mod pemanduan

 

Secara standard, GranCabrio Folgore menawarkan sehingga empat mod pemanduan, iaitu mod lalai GT, mod Sport, mod pemanduan ekstrem Corsa dan mod kecekapan tinggi Max Range.

 

Buka bumbung dalam masa 14 saat

 

Untuk mereka yang mahu menikmati angin sepoi-sepoi bahasa, bumbung GranCabrio Folgore ini boleh dilipat dalam masa 14 saat pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah kereta mewah, pemilik boleh menetapkan sehingga lima warna menarik iaitu Nero, Blue Marine, Titan Grey, Greige dan Granata.

 

Kabin canggih

 

Ruang kabin GranCabrio Folgore ini membawakan ciri seperti skrin kluster digital 12.2 inci, skrin infohibur sebesar 12.3 inci dan skrin ketiga untuk kawalan HVAC sebesar 8.8 inci.

Selain itu, terdapat roda stereng dengan fungsi pemanas, paddle shifter aluminium yang diberus, serta ciri standard lain termasuklah pemanas leher, sistem audio Sonus Faber, dan jam digital yang boleh diubah paparannya menjadi kompas, meter daya G dan jam randik.

Pembeli juga boleh memilih untuk memadankan kemasan bahan mampan seperti Econyl yang diperbuat daripada karpet dan jaring ikan yang dikitar semula.

 

 

 

Maserati GranTurismo tiba di Malaysia – Modena dan Trofeo, 3.0 V6 Nettuno turbo, sehingga 550hp, dari RM759k

NAZA Italia hari ini mendedahkan produk legenda dalam nama Maserati, iaitu GranTurismo serba baharu. Jentera grand tourer sports ini ditawarkan dalam dua varian – GranTurismo Trofeo dan GranTurismo Modena.

Maserati GranTurismo dibina dengan bahan komposit aluminium, magnesium, dan besi prestasi tinggi. Ia mengekalkan penampilan klasik dengan bonet depan panjang dan kabin tengah yang diapit oleh empat fender tayar. Bumbung diturunkan dengan dinamik dan menempatkan logo Trident.

Maserati GranTurismo baharu ini dipacu oleh enjin 3.0-liter V6 Nettuno twin-turbo, digandingkan dengan kotak gear automatik 7-kelajuan. Tetapi output dan prestasi berbeza bagi kedua-dua versi.

GranTurismo Modena menghasilkan 490hp pada 6,500rpm dan 600Nm pada 3,000rpm, dengan pecutan 0-100 dalam 3.9 saat dan kelajuan maksima 302km/j.

Sementara itu, GranTurismo Trofeo adalah lebih berprestasi. Enjinnya ditala untuk menghasilkan 550hp pada 6,500rpm dan 650Nm pada 3,000rpm. Ini cukup untuk memberikannya pecutan ke 100km/j dalam masa 3.5 saat sahaja, dengan kelajuan maksima 320km/j.

Suspensi bagi kereta ini adalah double-wishbone di depan dan multi-link di belakang. Brek pula adalah Brembo 6-pot sementara belakang mendapat Brembo 4-pot.

Sudah tentu bunyi menjadi identiti dan ciri utama bagi Maserati. Jadi, model ini ditala khas oleh para jurutera di Maserati Innovation Lab.

Di bahagian kabin, GranTurismo 2024 dilengkapi dengan sistem Maserati Intelligent Assistant (MIA), jam digital, head-up display, dan sistem audio premium Sonus faber.

Berminat? Maserati GranTurismo ditawarkan dengan harga bermula RM758,800 untuk Modena dan RM878,800 untuk Trofeo.

 

Maserati MC20 Cielo kini di Malaysia – RM1.2 juta sebelum duti, cukai

NAZA Itali telah mengumumkan ketibaan Maserati MC20 Cielo di pasaran Malaysia. ‘Cielo’ bermaksud ‘langit’ dalam bahasa Itali dan model ini secara asasnya adalah versi convertible kepada MC20 coupe yang dilancarkan di sini pada Jun lalu.

MC20 Cielo menampilkan bumbung jenis hardtop dengan panel kaca elektrokromik yang boleh ditukar dari telus kepada legap menerusi teknologi Advanced Polymer-Dispersed Liquid Crystal (PDLC).

Bukan itu sahaja, bumbung tersebut juga boleh dibuka dan ditutup dalam masa 12 saat, semasa kereta bergerak pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Menurut Maserati, penggunaan bumbung kaca itu tidak menjejaskan ketegaran kilasan dan nisbah kuasa-berat jentera ini, dengan beratnya cuma bertambah sebanyak 65 kg berbanding versi coupe.

Dari segi kuasa, MC20 Cielo tampil dengan enjin Nettuno yang sama seperti yang terdapat pada versi coupe. Dilengkapi dengan pelbagai teknologi daripada F1, enjin tersebut menghasilkan 630 PS pada 7,500 rpm dan 730 Nm dari 3,000 rpm.

Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.0 saat dan 0-200 km/h dalam 9.2 saat. Ia juga dikatakan boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 320 km/j.

Seperti versi coupe, MC20 Cielo mempunyai pintu butterfly yang dibuka ke atas. Versi pelancaran ini menampilkan warna metalik tiga lapisan yang dikenali sebagai Acquamarina, yang ditawarkan sebagai opsyen menerusi program kustomisasi Maserati Fuoriserie.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan pelbagai sistem keselamatan aktif seperti Autonomous Emergency Braking, Traffic Sign Information dan kamera 360 darjah, di samping ciri-ciri sedia ada seperti sensor parkir, kamera undur dan Blind Spot Monitor.

Turut disertakan adalah sistem multimedia Maserati Intelligent Assistant (MIA) dan Maserati Connect. Untuk pengalaman pemanduan yang lebih menghiburkan, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem audio Sonus Faber dengan 12 pembesar suara.

Harga jualan MC20 Cielo bermula dari RM1,228,000 tidak termasuk duti dan cukai, opsyen dan insurans. Harga berkenaan termasuk waranti standard selama tiga tahun tanpa had perbatuan, dan program penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun/60,000 km.

Maserati MCXtrema jentera litar ekstrem, 62 unit sahaja, harga 7 angka, habis terjual

Satu lagi jentera yang didedahkan dari Monterey Car Week 2023, kali ini Maserati MCXtrema. Ianya supercar untuk kegunaan litar sahaja, diasaskan dari MC20.

Tetapi MCXtrema mendapat pakej aerodinamik agresif yang menjadikannya nampak lebih ganas, berkepak, lebih ekstrem seperti namanya, dan enjin 3.0 V6 Nettuno yang ditala untuk menghasilkan 730hp.

Hanya 62 unit MCXtrema akan dihasilkan, hanya untuk kegunaan litar, dan tidak boleh dipandu di jalanan. Tetapi untuk pengumpul dan pelumba, MCXtrema akan menjadi model susulan sesuai selepas MC12 Corsa yang pernah dihasilkan awal 2000-an.

Dalam mengubah MC20 dari supercar kepada jentera litar agresif, ia dipasang dengan pakej aerodinamik merangkumi splitter depan gentian karbon yang rendah dan panjang.

Terdapat air curtain untuk mengalirkan udara ke sekeliling dan bawah kereta, manakala ruang udara berbentuk trident pada clamshell menambahkan downforce.

Di bahagian belakang, terdapat flying buttress di sekitar tiang-B menghala ke spoiler dan radiator enjin. Corong udara di bumbung pula bersambung dengan sirip jerung besar, direka untuk meningkatkan kestabilan kereta dan menyalurkan udara ke belakang.

Maserati berkata bahagian bawah MCXtrema hampir rata sepenuhnya untuk aerodinamik. Di kokpit, segala yang tidak diperlukan telah dibuang untuk mengurangkan berat dan membantu pemandu fokus kepada tugas di tangan.

Tiada papan pemuka, hanya struktur crossbeam untuk meletakkan command centre. Sterengnya mendapat paparan 5.0-inci, butang, dan tombol bulat, dibina dari karbon dan aluminium. Ini bukan sahaja untuk astetik, tetapi juga sesuai untuk ergonomik pemanduan litar.

Setiap unit akan dibina khas untuk setiap pelanggan, maka segala posisi stereng, kotak pedal, butang kawalan, serta tali pinggang 6-point dikonfigurasikan khas.

Pemandu boleh mendapat maklumat seperti kalibrasi traction control, catatan masa, pengehad kelajuan pit, dan sistem komunikasi melalui stereng dan command centre.

Nadi kepada jentera ekstrem ini ialah enjin 3.0-liter V6 yang menghasilkan 730hp pada 7,500rpm, dengan 730Nm tork. Enjin dipadankan dengan kotak gear sequential 6-kelajuan, menghantar kuasa ke roda belakang melalui LSD (limted-slip differential).

Suspensi adalah double-wishbone di kesemua empat roda, dengan geometri khas untuk MCXtrema. Ia juga dilengkapi penyerap hentak, spring, dan bar anti-oleng boleh-laras untuk membolehkan kereta ini mudah ditala untuk litar dan permukaan spesifik. Brek pula adalah dari gentian karbon.

Harga tidak didedahkan, tetapi Maserati berkata kesemua 62 unit telah terjual, dengan harga melebihi tujuh angka. Pengeluaran akan bermula pada pertengahan 2024, dan penghantaran menyusul selepas itu.

Maserati Grecale GT pesaing Porsche Macan kini dengan sistem hibrid, dari RM598k

MASERATI Grecale GT Hybrid hari ini tiba secara rasmi di Malaysia, dibawa masuk oleh Naza Italia. Ianya merupakan varian hibrid untuk SUV premium kompak itu yang mula dilancarkan di peringkat global tahun lepas.

Untuk pengetahuan, nama Grecale mengambil inspirasi dari nama angin kuat Timur Laut di Mediterranean, dan model ini berada di bawah Levante. Grecale juga disasarkan kepada SUV premium seperti Porsche Macan.

Satu aspek utama sebuah Maserati ialah enjinnya, Grecale mempunyai tiga pilihan enjin seluruh dunia. Untuk pasaran Malaysia, Grecale GT dikuasakan oleh unit 2.0-liter 4-silinder turbo petrol yang mampu menghasilkan 296hp dan 450Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan sistem hibrid 48volt dengan Belt Starter Generator (BSG), eBooster dan juga pengubah DC/DC. BSG berfungsi sebagai alternator bagi mengecaj bateri yang akan membekalkan kuasa kepada eBooster, membantu enjin sebelum turbo spool.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan, membolehkan Grecale GT Hybrid memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 5.6 saat, serta mencapai kelajuan maksima 240km/j.

SUV ini dibekalkan dengan empat mod pemanduan – Comfort, GT, Sport dan Off-Road. Terdapat juga Vehicle Dynamic Control Mode (VDCM) yang merupakan evolusi dari Chassis Domain Control Module (CDCM) dari supercar MC20.

Dari segi rupa, Grecale GT Hybrid mendapat penggayaan dari MC20 dengan hidung dan gril agresif, dengan kemasan krom untuk GT, manakala kemasa hitam utnuk Modena dan Trofeo. Ciri utama lain adalah bumbung yang menurun perlahan, pembuka pintu tersorok, dan tiga corong di fender serta logo Trident di tiang-C.

Di dalam pula, Maserati Grecale GT dilengkapi jam digital dengan fungsi Kompas, meter G-force, paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainmen tengah 12.3-inci, dan satu lagi skrin di bawah bersaiz 8.8-inci.

Kelengkapan lain adalah sambungan Android Auto dan Apple Carplay, sistem telematik Maserati Connect, dan pilihan sistem audio dengan 14 atau 21 pembesar suara.

Maserati Grecale GT Hybrid berharga dari RM598,000 termasuk duti dan cukai, dengan jaminan tiga -tahun tanpa had perbatuan. Ia boleh didapati dalam warna Bronzo Opaco, Blu Intenso, Bianco Astro, dan Bianco.

Maserati Levante GT Hybrid kini di Malaysia, dengan 330hp dan supercharger elektrik eBooster

MASERATI Levante kini hadir dengan varian baharu, iaitu GT Hybrid, dilancarkan oleh Naza Italia. Varian ini menjadi tambahan selepas Ghibli Hybrid yang diperkenalkan sebelum ini.

Seperti pada namanya, ciri utama sudah tentulah enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dengan mild hybrid 48V. Menurut Maserati, enjin 2.0 4-silinder ini memberikan kelancaran enjin 6-silinder dengan rev rendah seperti diesel.

Enjin ini juga 20kg lebih ringan dari 6-silinder, sementara bateri diletakkan di belakang untuk agihan berat lebih baik, menjanjikan pemanduan menyeronokkan.

Dari segi angka, Lavente GT Hybrid mempunyai output 330hp dan 450Nm tork, membolehkannya memecut ke 100km/j dalam 6.0 saat, dengan kelajuan maksima 245km/j.

Sistem mild hybrid 48V pula menggunakan Belt Starter Generator (BSG) dan supercharger elektrik eBooster untuk menghantar kuasa sebelum turbonya ‘masuk’. Kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear 8-kelajuan, sistem AWD Q4 dan LSD belakang.

Ciri utama pada Maserati Levante GT Hybrid termasuklah lampu LED matriks, rim aloi 20-inci, suspensi udara boleh-laras, dan sistem keselamatan ADAS.

SUV sport mewah ini juga mendapat logo Trident terkini, yang terdapat pada gril dan tiang-C. Tulisan Maserati di pintu but juga baharu, selain lencana GT di ruang kemasukan udara sisi.

Maserati Levante GT Hybrid 2023 ditawarkan pada harga bermula RM738,000 termasuk cukai dan eksais, sebelum pilihan kustom dan insurans. Harga termasuk jaminan standard tiga tahun tanpa had perbatuan.

Maserati MC20 lebih berbisa dengan kit DMC

PERKARA terakhir yang diperlukan oleh Maserati MC20 adalah modifikasi namun ini tidak menghalang syarikat talaan dari Jerman iaitu DMC daripada membangunkan kit naik taraf untuk supercar Itali itu.

Kit berkenaan merangkumi kit badan yang lebih menonjol serta naik taraf trenkuasa yang menyaksikan enjin Nettuno itu menghasilkan kuasa dan tork yang lebih tinggi.

Bermula dengan aspek visual, kit DMC ini menyertakan splitter depan, lubang udara ala GT3 pada fender depan, gril radiator yang diperbuat daripada gentian karbon, skirt sisi dan diffuser belakang. Turut disertakan adalah spoiler tetap dan lubang inlet dan outlet pada penutup kompartmen enjin.

Sebagai pelengkap, MC20 yang ditampilkan ini turut diberikan set rim aluminium tempaan berukuran 20 inci di depan dan 21 inci di belakang. Ia didatangkan dalam warna hitam, sepadan dengan komponen-komponen tambahan tersebut.

Dalam versi standard, enjin 3.0-liter twin-turbo V6 yang dibangunkan oleh Maserati itu menjana 630 PS dan 730 Nm. Terima kasih kepada ECU, penapis udara dan sistem ekzos baharu, enjin tersebut kini menghamburkan 714 PS dan 875 Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 84 PS dan 145 Nm.

Masa pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksimum tidak dinyatakan, namun dengan peningkatan kuasa yang signifikan ini, ia sudah pasti lebih laju berbanding versi standard.

Selain itu, DMC turut menyediakan naik taraf sistem suspensi sport yang mengurangkan ketinggian MC20 sebanyak 30 mm.

Maserati MC20 dilancar di Malaysia – 630hp, LSD, dari RM1.078 juta

Maserati MC20 telah mendarat di Malaysia, kira-kira hampir dua tahun selepas pelancaran globalnya. MC20 ditawarkan pada harga bermula RM1,078,000 dengan jaminan tiga tahun tanpa had perbatuan.

Nadi kepada supercar serba baharu ini ialah enjin V6 Nettuno yang dibangunkan oleh Maserati sendiri, berupaya menjana 630hp dan 730Nm tork.

Enjin dengan teknologi F1 ini dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan LSD (limited-slip differential) mekanikal. LSD jenis elektronik juga ditawarkan secara standard.

Ini memberikan prestasi pecutan 0 ke 100km/j dalam 2.9 saat, dan 200km/j dicapai dalam 8.8 saat. Kelajuan maksima pula ialah melebih 325km/j.

Maserati MC20 dilengkapi brek Brembo 6-piston 380mm di depan, dan cakera 350mm 4-piston di belakang. Untuk lebih prestasi brek, brek karbon-seramik 390mm depan dan 360mm belakang ditawarkan untuk naik taraf.

Rim pula adalah 20-inci, dibaluti dengan tayar 245/35 di depan dan 305/30 di belakang. Suspensi menggunakan double-wishbone di kesemua penjuru.

Kabin MC20 menggunakan rekaan minimalis sama seperti model-model terkini yang lain, dengan dua paparan 10-inci; satu untuk instrumen di depan pemandu, dan satu lagi di tengah untuk infotainmen.

Terdapat juga tombol berpusing untuk pemilihan mod pemanduan GT, Wet, Sport, Corsa, dan ESC Off serta kawalan-kawalan lain.

Maserati MC20 hadir dengan enam pilihan warna – Bianco Audace (putih), Giallo Genio (kuning), Rosso Vincente (merah), Blu Infinito (biru), Nero Enigma (hitam) dan Grigio Mistero (kelabu).

Maserati Grecale mendarat di Malaysia – SUV prestasi dengan 530hp, 0-100 dalam 3.8 saat

MASERATI Grecale dilancarkan secara rasmi hari ini oleh pengedar rasminya di Malaysia, Naza Italia. Grecale merupakan SUV serba baharu pengeluar Itali itu. Ia juga bukan pengganti Levante, sebaliknya duduk di segmen baharu iaitu SUV premium kecil.

Levante bersaing dengan Audi Q7, BMW X5 atau Porsche Cayenne, tetapi Maserati Grecale merupakan pesaing kepada model-model seperti BMW X3 dan Porsche Macan.

Seperti model-model Maserati yang lain (Ghibli dan Levante), nama Grecale juga diambil sempena satu angin di Timur Laut Maditerranean. Grecale juga dibangunkan di Modena dan dipasang di kilang Cassino, Itali.

SUV prestasi ini hadir dalam tiga ‘perisa’ iaitu GT, Modena, dan Trofeo. GT dan Modena kedua-duanya merupakan versi dengan enjin 2.0-liter turbo 4-silinder berserta sistem hibrid, masing-masing menjana 300hp dan 330hp, manakal tork adalah sama iaitu 450Nm.

Tetapi unit yang anda lihat berwarna kuning ini ialah Grecale Trofeo yang paling berkuasa, dipacu oleh enjin 3.0-liter V6 turbo yang mampu menghamburkan 530hp dan 620Nm tork. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem AWD dengan limited-slip differential.

Untuk pengetahuan, unit V6 pada Grecale Trofeo ini juga merupakan enjin Nettuno baharu yang juga dikongsi dengan Maserati MC20.

Dari segi prestasi, Maserati Grecale Trofeo mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksima 285km/j.

Menurut Maserati juga, Grecale menawarkan beberapa ciri terbaik dalam kelasnya, iaitu dari segi keluasan, keselesaan, pengendalian, pecutan, dan juga kualiti sistem audio.

Kabin Grecale ini dilihat cukup moden dengan penggunaan suis-suis digital serta tombol fizikal yang minima. Terdapat skrin besar 12.3-inci di konsol tengah untuk infotainmen, serta skrin 8.8-inci untuk instrumen di depan pemandu.

SUV ini juga hadir standard dengan system Maserati Intelligent Assistant (MIA) dan Maserati Connect. Audio pula disokong oleh system bunyi Sonus Faber 3D dengan pilihan 14 atau 21 pembesar suara.

Sebagai sebuah SUV prestasi juga, Grecale didatangkan dengan Maserati Vehicle Dynamic Control (VDCM) serta pilihan mod pemanduan Comfort, GT, Sport, Corsa (Trofeo sahaja) dan Off-Road.

Harga untuk Maserati Grecale belum diumumkan, tetapi sebagai perbandingan, Levante yang lebih besar ditawarkan pada harga sekitar RM808,000. Kami jangkakan Grecale akan ditawarkan pada harga antara RM550,000 hingga RM600,000.

Maserati Grecale Trofeo

Maserati Grecale Modena

Maserati Grecale GT