Mitsuoka M55 Zero Edition, jualan bermula 2025, 100 unit, harga dari RM234k

“Dodge Challenger” jadian yang anda sedang lihat dalam artikel ini akan mula dijual di pasaran Jepun bermula tahun 2025.

Hanya 100 unit sahaja yang akan diproduksikan, dan setiap satu dijual pada harga 8,085,000 yen (RM234 ribu).

Tapi, model apa ini sebenarnya?

Untuk makluman, ini ialah sebuah Mitsuoka M55 Zero Edition, versi produksi sebenar untuk model konsep M55 yang diperlihatkan pada tahun 2023 sebagai meraikan ulang tahun Mitsuoka yang ke-55.

Ia menggunakan asas sebuah Honda Civic FL1, dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 182 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 240 Nm @ 1,700-4,500 rpm yang dipadankan dengan kotak gear manual enam nisbah kelajuan.


Buktinya anda boleh lihat sendiri pada struktur tingkap sisi di bahagian kiri dan kanan, manakala rekaan keseluruhan termasuklah muka depan dan belakang merupakan ciptaan Mitsuoka yang mengingatkan kita pada kereta muscle Dodge Challenger.

M55 Zero Edition didatangkan standard dengan tingkap air terjun, set roda aluminium, serta upholsteri kulit tulen lengkap dengan sulaman logo “Zero Edition”.

Jika anda perasan, susun atur papan pemuka M55 ini mengekalkan rekaan asal yang dipinjamkan daripada Honda Civic, cuma logo H pada stereng telah diubah kepada logo Mitsuoka.

Selain daripada model M55 yang agak aneh ini, Mitsuoka sebelum ini pernah tampil dengan beberapa model unik, seperti Viewt yang menggunakan asas Yaris, serta Himiko menggunakan asas Miata.

Mitsuoka Ryugi ini sebenarnya sebuah Toyota Corolla yang sedang menyamar

Sedan dan wagon dengan rupa paras seakan model Britain klasik ini sebenarnya merupakan sebuah model buatan Jepun.

Tak percaya?

Inilah dia Mitsuoka Ryugi 2024, di mana ia sebenarnya menggunakan asas daripada sedan dan wagon Toyota Corolla, namun bukanlah datang daripada model platform TNGA yang terkini.

 

 

Sebaliknya, Mitsuoka menggunakan model generasi lama Corolla E160 di mana model tersebut (sedan Corolla Axio dan wagon Corolla Fielder) sebenarnya masih lagi dijual secara rasmi oleh Toyota di Jepun, namun dihadkan penjualannya sebagai kenderaan armada sahaja.

Ia membawakan rekaan muka depan yang agak klasik dengan struktur jeriji besar, mengingatkan kita kepada model-model seperti Rover P5 atau Jaguar Mark II.

Keempat-empat sudut tayar pula menampilkan rekaan rim yang langsung tidak kena dengan tema klasik yang cuba dibawakan.

Sementara bahagian belakang pula menampilkan unit lampu menegak, diikuti dengan kemasan bampar berwarna krom.

 

 

Di Jepun, Mitsuoka Ryugi dibekalkan dengan enjin 1.5 liter NA atau tetapan hibrid, yang dipadankan dengan sistem pacuan roda depan atau pacuan semua roda (AWD), serta pilihan transmisi manual lima kelajuan atau CVT.

Tidak banyak perubahan dibawakan pada ruang kabin, di mana ia masih lagi sama dengan rekaan papan pemuka standard pada Toyota Corolla terdahulu.

Apa yang berubah hanyalah kehadiran logo Mitsuoka pada roda stereng serta pada tempat duduk.

Ciri keselamatan turut dipertingkatkan, di mana kesemua varian (kecuali model manual) dilengkapi dengan sokongan brek parkir, sementara model manual pula didatangkan standard dengan fungsi auto kelam dan paparan undur pada cermin pandang belakang.

Harga jualan Mitsuoka Ryugi bermula dari 3,074,500 yen hingga 4,134,900 yen. (RM96,507-RM129,792).

 

Mitsuoka Viewt 2023 adalah jelmaan klasik Toyota Yaris

RASANYA sudah lama kita tak dengar tentang Mitsuoka, bukan? Pengeluar yang berpangkalan di Toyama, Jepun itu sememangnya terkenal dengan rekaan klasik yang sebenarnya diasaskan dari model-model zaman kini.

Salah satu model yang ditawarkan oleh Mitsuoka adalah Viewt, sebuah kereta kompak dengan penampilan yang tidak ubah seperti Jaguar Mark 2.

Sejak 1993, Viewt sentiasa dibangunkan berasaskan Nissan March atau Micra namun untuk 2023, model itu akan mula menggunakan kerangka Toyota Yaris versi Eropah.

Dikenali sebagai Viewt Story, model generasi keempat ini dilihat tidak begitu berbeza penampilannya dengan versi-versi terdahulu. Bahagian hadapannya masih menampilkan dua pasang lampu berbentuk bulat, gril dengan palang menegak serta pelindung bampar yang disalut krom.

Dari bahagian sisi, bentuk badan Yaris boleh dilihat dengan jelas namun bagi mengekalkan imej klasiknya, Mitsuoka menggunakan rim kompang berserta hubcap krom.

Untuk bahagian belakang, perubahan paling ketara adalah sepasang lampu berbentuk bulat dalam saiz yang lebih besar berbanding sebelum ini.

Berbeza dengan bahagian luaran, perubahan pada ruang dalaman terhad kepada upholsteri dan trim yang lebih mewah, serta logo Mitsuoka pada stereng.

Untuk pasaran Jepun, Viewt ditawarkan pada harga bermula dari 3,080,000 yen (RM101,503), jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan harga Yaris iaitu 1,470,000 juta yen (RM48,445).

Untuk varian flagship dengan enjin hibrid dan pacuan semua roda, harganya bermula dari 4,202,000 juta (RM138,480).