Proton e.MAS 7 – spesifikasi didedahkan, harga anggaran RM120k

Pro-Net akhirnya mendedahkan perincian dan spesifikasi bagi kenderaan elektrik nasional pertama iaitu Proton e.MAS 7.

Kita sudah tahu bahawa e.MAS 7 dibangunkan menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) dan mempunyai ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm, dan jarak roda 2,750 mm.

Hasil ujian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan yang e.MAS 7 mampu meredah air dengan kedalaman sehingga 400 mm, lebih tinggi berbanding Geely Galaxy E5.

Kini, Pro-Net telah mengesahkan terdapat dua varian e.MAS 7 yang akan ditawarkan iaitu Prime dan Premium. Kedua-duanya didatangkan dengan motor elektrik yang sama namun dengan kapasiti bateri dan kelengkapan yang sedikit berbeza.

e.MAS 7 dipacu oleh motor elektrik “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, e.MAS 7 dilengkapi dengan bateri Aegis short blade yang dikatakan mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi, lebih selamat dan tahan lebih lama.

Varian Prime dilengkapi dengan versi 49.52 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 345 km, manakala Premium mendapat pek 60.22 kWj dengan jarak mencecah 410 km. Kedua-dua angka ini adalah mengikut piawaian WLTP.

Untuk pengecasan, e.MAS 7 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30% hingga 80%.

Terdapat juga pengecasan AC 11 kW yang boleh mengecas bateri dari 30% hingga 80% dalam 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

Senarai kelengkapan bagi kedua-dua varian boleh dikatakan hampir sama. e.MAS 7 didatangkan standard dengan lampu LED dengan ciri Follow-me Home dan Active High Beam Control, rel bumbung, tingkap kuasa dengan ciri anti-trap, sensor hujan, cermin sisi elektrik dengan pelarasan elektrik dan pemanas.

Saiz roda berbeza, di mana varian Prime didatangkan dengan rim 18 inci dengan tayar Giti bersaiz 225/55, manakala Premium dilengkapi dengan rim 19 inci dan tayar Goodyear 235/50. Selain itu, bumbung panoramik, tailgate kuasa dan Active Grille Shutter hanya terdapat pada varian Premium.

Di dalam, kluster instruman LCD 10.2 inci, stereng multifungsi, upholsteri leatherette, pelarasan kuasa enam hala untuk kerusi pemandu didatangkan standard pada kedua-dua varian.

Varian Premium mendapat beberapa ciri tambahan berbentuk cermin pandang belakang auto dimming, fungsi memori untuk kerusi pemandu, pelarasan kuasa empat hala untuk kerusi penumpang depan, fungsi ventilasi untuk kerusi depan dan pencahayaan ambien 256 warna.

Fungsi-fungsi kemudahan yang disertakan termasuk Intelligent Keyless Entry and Start, Walk Away Auto Lock, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan penapis N95 dan Vehicle-to-Load (V2L).

Untuk sistem infohibur, e.MAS 7 didatangkan standard dengan sistem Flyme Auto bersama skrin sentuh 15.4 inci dengan resolusi 2.5K, namun hanya Premium yang mendapat head-up display (HUD) dan sistem audio Wanos dengan 16 pembesar suara.

Dari segi keselamatan pula, ADAS adalah ciri standard pada e.MAS 7. Ia merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Intelligent Cruise Control (ICC)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Automatic Emergency Braking (AEB)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Dynamic Brake Support (DBS)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Lane Departure Prevention (LDP)
  • Emergency Lane Keeping Assist (ELKA)
  • Rear Collision Warning (RCB)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Rear Cross Traffic Braking (RCTB)
  • Lane Change Assist (LCA)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Door Open Warning (DOW)
  • Traffic Sign Identification (TSI)

Turut disertakan pada kedua-dua varian adalah kamera 360 darjah dan radar belakang. Radar depan hanya terdapat pada varian Premium.

Proton e.MAS 7 bakal dilancarkan ke pasaran pada suku keempat tahun ini. Ia kini dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran RM120,000. Pelanggan terawal yang membuat tempahan akan menikmati potongan harga sebanyak RM500 dan pakej hadiah bernilai RM1,000.

Proton e.MAS kini mempunyai 36 wakil pengedar di seluruh Malaysia

Pro-Net baru-baru ini mengumumkan pelantikan sebanyak 36 buah pengedar Proton e.MAS iaitu melebihi dua kali ganda berbanding 17 pengedar yang diumumkan pada Jun lalu.

Menurut syarikat itu, pelantikan ini menekankan komitmennya dalam meningkatkan pasaran EV di Malaysia serta memperluaskan keupayaan perkhidmatan pelanggannya.

Peningkatan jumlah pengedar Proton e.MAS ini disertai dengan lawatan ke Institut Penyelidikan Geely (GRI) di Hangzhou, China, yang disertai lebih daripada 40 eksekutif dan pengurus pengedar dari Malaysia.

Lawatan selama tiga hari ini bertujuan untuk memberikan peluang untuk merasai teknologi canggih Geely dalam mendapatkan input mengenai cara pengendalian operasi jualan dan servis model EV premium dari rangkaian pengedar di bawah syarikat Geely.

“Sejak pelancaran jenama Proton e.MAS pada bulan Jun yang lalu, kecepatan pembangunan menjelang pelancaran model pertama kami harus diberi pujian. Penambahan 19 buah pengedar baru ke dalam ekosistem kami menunjukkan semangat juang yang tinggi terhadap ketibaan EV nasional pertama Proton,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

Lawatan ke GRI di Teluk Hangzhou membolehkan pengedar Pro-Net mendalami dengan lebih lanjut mengenai teknologi canggih dan inovasi di dalam model Proton e.MAS 7.

Selain sesi perkongsian teknologi, para pengedar juga berpeluang untuk merasai sendiri teknologi tersebut dengan pandu uji Geely E5 di litar percubaan.

Selain itu, mereka turut singgah di Pusat Pengesahan Kenderaan Tenaga Baharu untuk melihat bagaimana Geely menjalankan ujian pra-pengeluaran, penilaian dan pengesahan bagi pembuatan dan teknologi kenderaan EV.

Lawatan ke pelbagai pengedar premium di bawah rangkaian luas Geely juga diatur sebagai sebahagian daripada usaha dalam meningkatkan tanda aras piawaian yang telah ditetapkan kepada pengedar dan prosedur-prosedur mengenai perkhidmatan pelanggan, strategi jualan dan latihan kepada kakitangan.

“Kesempatan kami untuk melawat GRI sangat membuka mata. Merasai pengalaman teknologi canggih yang sedang dibina, diuji, dan disahkan mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap teknologi dan inovasi global yang dibangunkan bersama Geely dan Proton yang akan digunakan di dalam kenderaan elektrik pertama Malaysia,” kata Abdul Hakim Bin Basri, Pengurus Pengedar Proton e.MAS Kota Bharu – JM Otomobil (EV).

Dengan revolusi EV yang semakin pesat membangun, misi Pro-Net bukan sahaja mempeluas penerimaan EV tetapi juga menyediakan laluan kerjaya bagi mereka yang berminat untuk membangunkan dan memelihara ekosistem EV tempatan dengan matlamat mobiliti lestari.

Mereka yang berminat untuk menyertai rangkaian pengedar Proton e.MAS yang semakin berkembang boleh menghubungi Proton melalui emel Zhaole@proton.com/affendyk@proton.com.

Jelajah Proton e.MAS 7 bermula 5 Oktober, bakal kunjungi semua negeri termasuk Sabah & Sarawak

Proton meraikan pencapaian penting dengan pelancaran rasmi Jelajah Proton e.MAS 7 di Centre of Excellence (COE).

Acara bersejarah ini menyaksikan penyerahan baton daripada Jelajah Dunia Geely E5 kepada Proton e.MAS 7 yang akan memulakan babak baharu yang penuh dengan inovasi dan eksplorasi di seluruh Malaysia.

Jelajah Proton e.MAS 7 ini bertujuan untuk berinteraksi dengan rakyat Malaysia serta memberikan mereka peluang pandang pertama untuk mengalami sendiri kenderaan ini.

Ia akan menempuh lebih daripada 2,000 km merentasi pelbagai jenis laluan dan landskap, dari jalan pantai sehingga ke kawasan pergunungan sambil mempamerkan prestasinya.

Jelajah Proton e.MAS 7 akan bermula pada 5 Oktober 2024, mengembara ke setiap negeri di dalam Malaysia. Bermula dengan Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor pada peringkat pertama, kemudian bergerak ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan, diikuti oleh Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.

Jelajah ini akan diteruskan melalui KL dan Selangor sebelum menuju ke Malaysia Timur, bermula di Sabah dan berakhir di Sarawak.

Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET berkata matlamat pihaknya adalah untuk memberikan rakyat Malaysia pengalaman yang menarik tentang bagaimana kenderaan ini mengharungi keadaan jalan dan iklim unik di negara kita.

“Jelajah ini bukan sahaja akan meraikan komuniti kita yang berwarna-warni ini tetapi juga memupuk hubungan yang erat dengan para pelanggan kami,” kata Zhang Qiang.

Sebelum jelajah ini bermula, orang ramai berpeluang untuk melihat Proton e.MAS 7 dan pasukan PRO-NET beraksi di Putrajaya pada 25 September dan Shah Alam pada 26 September.

Perjalanan 3,700 km ke selatan Geely E5 menghadapi keadaan mencabar akibat Taufan Yagi. Sebagai model kembar Proton e.MAS 7, Geely E5 berjaya mengharungi air banjir dan pelbagai keadaan jalan tanpa sebarang insiden, menguatkan lagi kebolehpercayaan teknologinya.

“EV baharu ini berjaya mengharungi cuaca buruk dan keadaan jalan yang mencabar, termasuk air banjir. Ketahanan, kebolehpercayaan, dan kualiti Galaxy E5 mempamerkan keunggulan kejuruteraannya di sebalik Proton e.MAS 7 di mana menunjukkan bagaimana ia akan menjadi pengubah permainan untuk pasaran kita,” tambah Zhang Qiang.

Proton e.MAS 7 jalani ujian intensif, pastikan EV lasak dan sesuai dengan pasaran tempatan

Pro-Net mendedahkan bahawa kenderaan elektrik nasional pertama iaitu e.MAS 7 kini sedang menjalani ujian jalan raya tempatan.

Menurut Pro-Net, fasa ujian intensif itu melibatkan enam unit e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi setiap pelusuk di Semenanjung Malaysia.

Ia merangkumi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS), dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT), serta penambahbaikan yang berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU), dan Penyedia Sistem Telematik (TSP).

Setakat ini, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT yang dapat membaca faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia.

Sistem navigasi dalam kereta telah diperinci dengan teliti untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat dan mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, memfokuskan laluan luar bandar, kawasan pergunungan, serta stesen kereta api untuk menguji sambungan rangkaian internet.

Sistem elektrik ini disasarkan untuk melengkapkan ujian jalan sejauh 10,000 km semasa Ujian ERT dijalankan untuk memastikan integrasi kesemua fungsi elektronik berjalan dengan lebih lancar.

Sistem ADAS telah diuji dengan teliti dalam pelbagai situasi seperti tempat letak kereta di pusat membeli-belah, di simpang jalan dan di jalan bertingkat.

Jurutera Proton juga telah menyesuaikan komponen perisian utama, memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris Malaysia dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya sekadar bergantung pada terjemahan umum.

Usaha kolaborasi antara Proton dan Geely ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia.

Ujian ketahanan kenderaan, termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat, memastikan daya ketahanan kenderaan mengikuti spesifikasi tempatan.

Jurutera Pro-Net telah melaksanakan 49 proses tambahan ciri unik daripada Geely untuk memastikan e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi di peringkat tempatan dan global.

Ujian ini merangkumi segala aspek dari prestasi beban kenderaan sehingga ke kawalan kestabilan elektronik dan kebolehan meredah air yang telah dipertingkatkan — di mana hasil ujian e.MAS 7 melepasi Geely Galaxy E5 dengan kedalaman paras air 400 mm.

Ujian ini dijalankan pada bulan Julai dengan kedalaman air yang telah ditetapkan termasuk dengan ujian bonggol jalan untuk menggambarkan keadaan sebenar jalan raya di Malaysia. Satu isu ditemui dan diperbaiki selepas ujian tersebut dijalankan.

Seterusnya, e.MAS 7 akan menjalani akreditasi ASEAN NCAP. Ia juga akan menjalankan QRT untuk mencapai 100,000 km dalam ujian pecutan, prestasi brek dan penggunaan kuasa. Di samping itu, ujian perisian juga menjadi fokus utama jurutera Proton.

Proton e.MAS 7 bukan model rebadge Geely Galaxy E5

PROTON mengumumkan bahawa EV pertama Malaysia akan dikenali secara rasmi sebagai Proton e.MAS 7. Jenama kenderaan elektrik itu diumumkan pada Jun lalu dan akan dikendalikan oleh Pro-Net.

e.MAS 7 dibangunkan menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) dan mempunyai ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm, dan jarak roda 2,750 mm.

Platform GMA menyokong senibina Cell-to-Body (CTB) bagi memperkuatkan kekuatan struktur bateri, menambah keluasan ruang dalaman, meningkatkan kestabilan dalam kawalan selekoh dengan kelajuan tinggi, serta keseluruhan pengendaliannya.

Menurut syarikat itu lagi, e.MAS 7 akan menampilkan sistem pemacu elektrik terkini 12-dalam-1 yang canggih namun maklumat seperti bilangan motor dan output masih belum didedahkan.

Ia akan mendapat bekalan tenaganya dari pek bateri Aegis short blade yang dikatakan mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi, lebih selamat dan tahan lebih lama.

Ruang dalaman masih belum didedahkan namun menurut Proton, e-MAS 7 menggunakan sistem audio Flyme Auto yang diintegrasikan dengan sistem IHU tempatan.

Ia mempunyai Penyedia Sistem Telematik yang dapat menyokong pelbagai fungsi canggih, membawakan teknologi pintar terus kepada pengguna.

Menurut Proton, e.MAS 7 dibangunkan dengan kerjasama Geely dan bukan sekadar model rebadge Geely Galaxy E5 seperti yang disangka ramai.

Seramai lebih 100 jurutera Proton terlibat dalam projek ini. Setakat ini, pembangunan e.MAS 7 telah melibatkan lebih 700,000 waktu kerja dan 10 juta km ujian untuk mengesahkan ketahanan dan kebolehpercayaannya.

Sejak pengumuman jenama e.MAS dan pengenalan 18 buah pengedar pada bulan Jun yang lalu, Pro-Net kini telah mengembangkan rangkaiannya kepada 29 buah pengedar di seluruh Malaysia.

Anak syarikat Proton itu menyasarkan untuk mempunyai 25 bilik pameran Proton e.MAS yang akan beroperasi sebelum pelancaran sulung e.MAS 7.