Sebuah lagi motosikal kelas 650 cc dilancarkan oleh Royal Enfield Malaysia di Malaysia Autoshow 2025, iaitu Classic 650.
Sama seperti model Bear 650, Classic 650 ini dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris 650 cc menghasilkan kuasa 46 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas 52.3 Nm @ 5,650 rpm.
Namun tidak seperti Bear 650, Classic 650 membawakan penggayaan tradisi Classic dengan menampilkan perumah lampu jenis nacelle/casquette, pilihan pelana tunggal atau boleh dipasangkan tempat duduk pembonceng, rim lidi bersaiz 19 inci/18 inci, serta tangki rekaan klasik berkapasiti 14.8 liter.
Model Classic 650 ini juga turut dilengkapi dengan paparan meter analog berbentuk bulat, skrin LCD kecil serta skrin TFT Tripper berbentuk bulat.
Memastikan jentera ini ditunggang dengan baik ialah sistem suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang, dibantu dengan sistem brek rotor tunggal 320 mm di depan dan rotor tunggal 300 mm di belakang.
Secara standard, Classic 650 hadir dengan sistem ABS dua saluran.
Harga jualan bermula dari RM34,500 untuk pilihan warna Bruntingthorpe Blue dan Vallam Red, sementara warna Black Chrome pula berharga RM35,500.