HONG Leong Industries Berhad hari ini memperkenalkan Tekhne, suatu produk terbaharu yang menawarkan barisan komponen OEM (original equipment manufacturer) dan REM (replacment equipment manufacturer) untuk kenderaan dua dan empat roda.
Menurut satu siaran media yang dikeluarkan hari ini, barisan produk Tekhne direka khas untuk pelbagai keperluan pengguna.
Pasaran bagi alatan OEM dan REM di Malaysia sedang menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan dan dijangka mampu berkembang lebih jauh.
Ini didorong oleh faktor-faktor seperti peningkatan jualan kenderaan, permintaan ke atas servis pasaran aftermarket, serta peningkatan bilangan perusahaan dalam pasaran produk automotif.
Buat masa ini, kebanyakan produk dan komponen memfokus kepada kenderaan dua roda, tetapi Tekhne berkata mereka akan beransur-ansur meluaskan penawaran untuk kenderaan empat roda.
Tekhne juga berminat menceburi industri kenderaan elektrik (EV), malah mereka dijangka mendirikan pusat kajian dan pembangunan (R&D) mereka sendiri.
Sementara itu, Pengurus Besar TÉKHNĒ, En. Chong Chee Kong mengulas, “Di Tekhne, komitmen kami adalah untuk membekalkan produk-produk premium yang dirumus untuk memenuhi keperluan para pelanggan kita di Malaysia.
“Menerusi kerjasama dengan rakan-rakan yang penting, di peringkat tempatan dan juga antarabangsa, kami memastikan produk Tekhne memenuhi standard kecemerlangan dan kepuasan pelanggan yang tertinggi,” tambahnya.