PMX dapat hadiah SUV elektrik Togg T10X

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam (11 Februari) menerima hadiah berupa sebuah SUV elektrik daripada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Hadiah berupa sebuah Togg T10X itu diterima sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara bersempena lawatan rasmi Presiden Turkiye itu ke Malaysia baru-baru ini.

Togg T10X merupakan sebuah SUV segmen C berkuasa elektri yang diproduksikan oleh syarikat pengeluar automotif Turkiye, Togg.

Terdapat dua konfigurasi trenkuasa ditawarkan, iaitu versi pacuan roda belakang (RWD) berkuasa 218 hp/350 Nm, atau versi pacuan semua roda (AWD) berkuasa 436 hp/700 Nm.

Pek bateri lithium-ion berkapasiti 52.4 kWh pula membenarkan jarak sejauh 314 km, sementara versi 88.5 kWh pula menawarkan jarak sehingga 523 km untuk sekali cas penuh.

TOGG T10F – sedan elektrik pertama jenama automotif dari Turki

Mungkin tidak ramai yang tahu, di sebalik kebanjiran jenama-jenama kereta elektrik (EV) dari China, dunia juga kini menerima kehadiran jenama EV baharu dari Turki, iaitu Togg.

Togg, atau nama penuhnya Türkiye’nin Otomobili Girişim Grubu (Kumpulan Perusahaan Automobil Turki) baru-baru ini memperlihatkan sedan elektrik T10F bertempat di CES 2024, di mana ia bakal dipasarkan di Eropah pada tahun hadapan.

Ia merupakan sebuah sedan fastback di dalam segmen C, di mana Togg menyifatkan model ini sebagai sebuah peranti pintar yang terhubung, bukan sekadar sebuah kereta.

Berdasarkan rujukan ringkas di laman web rasmi, Togg T10F ini boleh dilengkapi dengan tetapan motor elektrik tunggal atau dua motor elektrik.

Versi pacuan roda belakang (RWD) berupaya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat, terima kasih kepada motor elektrik berkuasa 218 PS dan daya kilas 350 Nm.

Versi pacuan semua roda (AWD) pula lebih pantas, 0-100 km/j dalam 4.6 saat, dengan dua motor elektrik yang lebih bertenaga (435 PS/700 Nm).

Untuk pengecasan penuh, pek bateri yang tidak didedahkan kapasitinya itu mampu membenarkan jarak gerak 530 km (AWD), atau sehingga 600 km (versi RWD).

T10F menyokong pengecasan pantas DC sehingga 180 kW, dengan pengecasan 20 hingga 80 peratus boleh diselesaikan dalam tempoh 28 minit.

Togg turut mendedahkan susun atur ruang kabin sedan elektrik ini, di mana ia membawakan skrin kluster 12.3 inci, skrin infotainmen 29 inci, skrin ketiga untuk kawalan HVAC sebesar 8 inci.

Antara ciri lain termasuklah ruang kargo sebesar 500 liter, pemanas roda stereng serta pengecas peranti pintar tanpa wayar.