TOYOTA buat julung kali mendedahkan imej model RAV4 2022 yang tampak lebih mempersona dan mengiurkan.
Menerusi visual dipaparkan terdapat beberapa perubahan ketara bagi model terbaharu ini.
Antara perubahan yang boleh disaksikan termasuk lampu diod pemancar cahaya (LED) yang kelihatan lebih ‘garang’ sekaligus sesuai untuk golongan lebih muda.
Selain itu, paling menarik perhatian adalah penggunaan bampar depan dengan gril hexagonal yang lebih besar.
Kemasan pada fender juga nampaknya lebih lebar selain turut didatangkan dengan dua tona warna eksklusif di bahagian badan dan bumbung.
Foto ihsan Toyota
Berikut merupakan antara ciri lain terdapat pada RAV4 2022:
Rim aloi 10-jejari perak atau hitam
Kerusi penumpang dengan larasan kuasa
Suis tingkap dengan pencahayaan
Slot USB Type C
Model Adventure
Foto ihsan Toyota
Berdasarkan maklumat diberikan Toyota, pasaran Eropah juga menerima model Adventure yang lebih menarik sama seperti ditawarkan di Amerika Utara, Jepun dan Australia.
RAV4 yang ditawarkan di Eropah didatangkan hanya dalam varian hybrid.
Ia menggabungkan enjin 2.5 liter kitaran Atkinson empat-silinder dengan motor elektrik yang menjana kuasa 218 PS.
Ini termasuk 225 PS dengan tambahan motor belakang dan pacuan semua roda.
Varian Plug-In Hybrid pula mempunya angka janaan 306 PS dan memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 75 kilometer melalui bateri lithium-ion 18.1 kWh.
Pasaran Eropah dijangka menerima kemasukan RAV4 baharu ini pada suku pertama tahun depan.
TOYOTA Motor Corporation mengumumkan untuk menghentikan serta-merta penggunaan pod pengangkutan panduan-kendiri e-Palette yang beroperasi di Sukan Paralimpik Tokyo. Keputusan itu dibuat susulan satu kemalangan di Paralympic Village apabila sebuah Toyota e-Palette melanggar seorang atlet cacat penglihatan hingga cedera.
Menurut Toyota, kenderaan pemanduan-kendiri itu berhenti di sebuah simpang tiga dan hendak membuat satu belokan dengan kawalan manual menggunakan joystick. Kenderaan itu kemudiannya melanggar seorang atlet semasa ia sedang bergerak pada kelajuan 1 atau 2km/j.
Ketua Eksekutif Toyota, Akio Toyoda memohon maaf untuk insiden itu dan menyebut tentang kesukaran yang dihadapi Toyota semasa Sukan Paralimpik di Tokyo. Mereka sentiasa cuba berhati-hati dengan pejalan kaki kurang upaya.
“Sebuah kenderaan lebih kuat dari manusia, jadi sudah tentu saya bimbang akan keadaan mereka. Ini menunjukkan kenderaan autonomi belum realisitk untuk jalan raya biasa,” katanya.
Toyoda berkata beliau ingin berjumpa dengan atlet yang tercedera namun tidak dapat berbuat demikian. Dia berkata pegawai Paralimpik memberitahunya bawaha atlet itu kekal sedar selepas insiden dan dibawa ke pusat perubatan untuk rawatan. Atlet itu dapat berjalan semula ke tempat penginapan.
Toyota bekerjasama dengan polis untuk menyiasat punca kemalangan. Pengeluar itu juga berkongsi pelan untuk menjalankan siasatan mereka bersama dengan Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik di Tokyo agar insiden itu tidak berulang.
HAMPIR dua tahun berada dalam pasaran Malaysia, Toyota GR Supra kini menerima penambahbaikan terbaharu iaitu Apple CarPlay. Ini pasti menjadikan perjalanan anda pemilik Supra lebih bermakna dengan sambungan mudah ke peranti.
Sambungan Apple CarPlay ini walaubagaimanapun adalah jenis wayar, dan bukan wireless. Ciri ini akan melengkapi fungsi infotainmen sedia ada iaitu skrin sesentuh 8.8-inci dengan kawalan touch pad, sistem navigasi, USB dan Bluetooth.
GR Supra juga dilengkapi dengan sistem JBL HiFi Surround Sound dengan 12-pembesar suara untuk pengalaman audio terbaik.
Ya, walaupun Toyota GR Supra merupakan kereta sports dengan bunyi merdu dari enjin enam-silinder, ia tetap selesa dipandu untuk jarak jauh. Jadi, tak salah rasanya ada sistem infotainmen yang mantap, bukan?
Penambahan ciri terbaharu ini merupakan kemaskini kedua yang dilakukan terhadap GR Supra selepas naik taraf prestasi yang diperkenalkan pada Julai 2020.
Naik taraf prestasi itu melibatkan enjin enam-silinder turbo enam-silinder sebarisnya yang kini menjana 388hp antara 5,800 hingga 6,500 rpm, iaitu 14 peratus lebih dari sebelumnya.
Tork maksimum kekal pada 500Nm, tetapi ia berada dalam julat yang lebih luas antara 1,800 dan 5,000 rpm berbanding 1,600 hingga 4,500 rpm sebelumnya. Transmisi kekal automatik 8-kelajuan.
Jurutera Toyota turut meningkatkan janaan kuasa tersebut dengan cara menala semula dan menambah manifold ekzos dua cabang dengan enam port (berbanding hanya dua port), yang memperbaiki pengurusan haba enjin.
Rekaan baru untuk piston pula telah mengurangkan nisbah mampatan enjin dari 11:1 kepada 10.2:1.
Semua penambah baikan itu membolehkan GR Supra memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 4.1 saat, menjadikannya 0.2 saat lebih pantas berbanding sebelumnya.
Casis GR Supra juga ditala dengan tambahan Performance Rod untuk meningkatkan ketahanannya dan memberikan kestabilan lebih baik ketika di selekoh.
GR Supra ditawarkan dalam tujuh warna; White Metallic, Silver Metallic, Ice Grey Metallic, Black Metallic, Prominence Red, Lightning Yellow dan Matte Storme Grey Metallic.
Ia dijual pada harga bermula RM589,987 (dengan 50% pengecualian SST hingga 31 Disember 2021 dan tidak termasuk insurans).
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari toyota.com.my atau hubungi talian bebastol Toyota di 1-800-8-TOYOTA (869682).
TOYOTA sejak mula telah menjangkakan Corolla akan menjadi sebuah model global. Tidak hanya akan dieksport dari Jepun, malah ia akan turut dipasang di banyak negara, terutama di negara-negara membangun seperti Malaysia.
Dalam proses pemasangan tempatan (CKD) itu, teknologi berharga dipindahkan, dan membantu merancakkan lagi pertumbuhan industri di negara yang terlibat.
Toyota Corolla generasi pertama. Gambar oleh: Toyota
Ketika generasi pertamanya diperkenalkan, Jepun baru memulakan budaya permotorannya. Sama seperti di Malaysia, corak sosial yang sama turut berlangsung.
Melalui industri automotif, industri hiliran lain juga turut tumbuh dan berkembang, menciptakan lebih banyak peluang pekerjaan baru.
Maka, pada tahun 1965, ketika kerajaan mempelawa pengeluar kenderaan untuk memasang produk mereka di Malaysia, Toyota menjadi antara yang terawal untuk menyahut seruan itu dengan model Corolla.
Bagi pemasangan tempatan Corolla, Toyota berbincang dengan Champion Motors yang telah membina sebuah kilang pemasangan di Shah Alam, Selangor.
Dimiliki oleh Inchcape Group ketika itu, kilang Champion Motor – yang kemudian ditukar namanya kepada Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) – turut juga memasang beberapa kenderaan jenama lain sebagai kontraktor.
Dengan sambutan positif terhadap Corolla ketika diperkenalkan pada 1968, model berkenaan mula menjadi model utama yang dikeluarkan dari ASSB.
Model Toyota lain ditambah dari tahun ke tahun, meningkatkan lagi populariti Toyota dalam kalangan warga Malaysia dan berjaya meletakkannya sebagai jenama No. 1 menjelang 1970-an, dengan Corolla menjadi yang paling laris di negara ini.
Sehingga kini, kira-kira 300,000 unit Corolla telah dijual dalam pasaran Malaysia, menjadi sebahagian daripada 50 juta unit yang telah dijual di seluruh dunia.
Hampir semua generasi Corolla telah dipasang di Malaysia, sementara sejak 2008 pula, model berkenaan diimport sebagai CBU dari Thailand.
Ia juga terbukti tahan lasak dan boleh diharap serta jimat — faktor-faktor yang membantu menjadikan Toyota sebuah nama yang tak asing lagi di Malaysia kini.
Walaupun awalnya ia sebuah model permulaan (entry level), ia dijangka untuk memberikan kualiti, teknologi, dan nilai lebih baik untuk wang.
Ini menyaksikan pengenalan generasi kesembilan dengan konsep ‘New Century Value’ dengan ‘Altis’ ditambah pada namanya untuk menandakan peningkatan kualiti, kemewahan dan bahkan saiznya.
Model serba baru ini melonjakkan lagi populariti Corolla di Malaysia memandangkan ia telah menetapkan standard baru dalam kelasnya. Jualan tahunan bagi generasi seterusnya juga meningkat lebih banyak.
Dekad antara 2010 dan 2020, Corolla menyumbang sebanyak 6 peratus daripada jualan keseluruhan kenderaan Toyota di negara ini.
“Setiap generasi Corolla, sejak yang pertama, telah menjadi penyumbang kepada peralihan jenama ini. Corolla sentiasa selari dengan perubahan dalam masyarakat dan standard ekonomi di Malaysia,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindaran K.
63 peratus pelanggan menukar-beli model lama mereka (atau menaik taraf) kepada model generasi baharu sebaik dilancarkan.
Jika mereka tidak menjualnya semula, kereta itu akan kekal dalam keluarga untuk satu tempoh yang lama, diperturunkan kepada anak-anak yang akan mewarisi sebuah kereta yang boleh diharap untuk digunakan dalam jangka panjang.
Dalam perkembangan yang lebih baru kini, selain TNGA (Toyota New Global Architecture), Corolla hadir dengan ciri keselamatan lebih canggih serta teknologi keterhubungan yang lebih baik.
Malah, khidmat lepas jualan Toyota menjadi antara yang terbaik di Malaysia sejak 1980an, ketika syarikat ini menjadi yang pertama menubuhkan bahagian khusus untuk menguruskan layanan dan perhubungan pelanggan.
Memenuhi perubahan trend dan citarasa
Dalam tempoh 55 tahun Corolla berada dalam pasaran, populariti berterusannya telah membuktikan bahawa asas falsafah di belakang model ini ada kebenarannya.
Bagaimanapun, rekaan asalnya telah berevolusi dari satu generasi ke generasi yang lain untuk memenuhi perubahan citarasa dan gaya hidup pelanggan Malaysia.
Contoh terdekat adalah pengenalan Corolla Cross tahun lalu, sebagai maklum balas kepada peningkatan populariti SUV. Ini kali pertama bentuk badan kenderaan seumpama itu ditawarkan bagi sebuah model terlaris sepanjang zaman di peringkat dunia.
TOYOTA Astra Motor (TAM) di Indonesia nampaknya semakin rancak menambah rangkaian GR Sport mereka, antaranya Ayga. Terbaharu, TAM memeperkenalkan Yaris dengan ‘perisa’ GR-Sport.
Tapi jangan disamakan Yaris ini dengan GR Yaris ya! Ini Yaris biasa iaitu kembar kepada Vios, cuma diberikan gaya badan sporti.
Terdapat empat varian Yaris GR-Sport, dan julat harga dari 268.8 juta Rupiah (RM79k) untuk 1.5 S MT hingga 284 juta Rupiah (RM83k) untuk 1.5 S CVT. Anda nampak apa yang kami nampak? Ya, Yaris GR-Sport ditawarkan dengan kotak gear manual!
Semua Yaris GR-Sport dipacu oleh enjin 1.5-liter Dual VVT-i, berkuasa 10PS pada 6,000rpm dan 140Nm tork pada 4,200rpm. Kotak gear manual menawarkan 5-kelajuan, manakala automatik CVT dengan 7-kelajuan maya.
Dari segi rupa, Yaris GR-Sport tampil sporti dengan kit badan yang merangkumi lip depan dan belakang, diffuser, spoiler bumbung, dan skirt tepi. Rim 16-inci dibekalkan standard, dan tujuh warna ditawarkan iaitu Citrus Mica, Orange, Red Mica, Grey, Silver, Super White, dan Attitude Black Mica.
Di bahagian dalam pula, Yaris ini dilengkapi roda stereng balutan kulit, tempat duduk fabrik, perehat tangan tengah, dan panel pintu dengan kemasan kontra. Unit infotainment ialah sama dengan yaris biasa, iaitu paparan sesentuh 7-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri keselamatan terdiri dari VSC, Hill-Start Assist, ABS dengan EBD dan Brake Assist, ISOFIX, dan tujuh beg udara. Yaris GR-Sport juga mendapat ciri keselamatan maju seperti Pre-Collision System, Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Alert, 3D Panoramic View Monitor, Blind Spot Monitor, Rear Cross-Traffic Alert, Digital Video Recorder dan Vehicle Telematics System (VTS).
USAHA Toyota mengangkat penjenamaan Gazoo Racing atau GR di Indonesia diteruskan dengan kemunculan varian baharu iaitu Avanza Veloz GR Limited.
Dipasarkan Toyota Astra Motor (TAM), Avanza Veloz GR Limited didatangkan dengan beberapa komponen baharu bagi menyerlahkan rupa paras sporty.
Ini termasuk penggunaan bampar hadapan terkini yang turut dipadankan dengan gril dan logo GR.
Sementara itu, model ini juga didatangkan dengan rim tayar 15-inci berwarna hitam.
Bagaimanapun, tidak terdapat banyak perbezaan di bahagian ruang dalaman berbanding varian Veloz biasa.
Bahagian bampar depan yang lebih sporty. – Foto ihsan TAM
Enjin Avanza Veloz GR Limited
Kapasiti enjin model ini masih dikekalkan iaitu 1.3 liter naturally-aspirated empat silinder dengan kuasa 96.5 PS pada 6,000 rpm dan tork 120 Nm pada 4,200 rpm.
Bagi kapasiti enjin 1.5 liter pula ia mempunyai 104 PS pada 6,000 rpm dan tork 136 Nm pada 4,200 rpm.
Kedua-dua enjin ini dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.
Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada Avanza Veloz GR Limited:-
Penghidup enjin tanpa kunci
Pendingin hawa manual dengan panel digital
Tempat duduk upholstery fabrik
Papan pemuka hitam dengan kemasan perak
Skrin sesentuh terdapat pada model Toyota Avanza Veloz GR Limited. – Foto ihsan TAM
Harga Avanza Veloz GR Limited
Setakat ini, harga Avanza Veloz GR Limited bermula dari 221.4 juta rupiah atau RM65,109 bagi GR Limited dalam model asas 1.3 MT.
Varian 1.3 AT pula berharga 232.2 juta rupiah atau RM68,285.
Harga bagi 1.5 MT ditawarkan pada harga 232.8 juta rupiah (RM68,461), sementara versi 1.5 AT berharga 243.8 juta rupiah atau RM71,696.
Memetik laporan media, TAM memaklumkan hanya menawarkan 3,700 unit sahaja bagi model ini.
Pembeli boleh memilih empat pilihan warna iaitu Super White, Black Metallic, Silver Metallic, Dark Red Mica Metallic.
Terdapat beberapa pilihan warna menarik untuk para pelanggan setia Toyota. – Foto ihsan TAM
PASARAN automotif negara jiran, Indonesia menyaksikan kemunculan Toyota Agya versi GR Sport yang lebih ‘mantul’!
Bagaimanapun, varian kali ini tidak banyak beza jika dibandingkan dengan Agya TRD Sportivo yang dilancarkan tahun lalu di Indonesia.
Bahagian depan Agya GR Sport lebih sporty. – Foto ihsan Toyota
Antara perubahan dilakukan kepada Agya GR Sport termasuk logo serta jalur serlahan kiri dan kanan gril bampar.
Justeru, secara luaran memang tidak terdapat perbezaan ketara dengan model Agya TRD Sportivo.
Ruang belakang yang mampu memuatkan beberapa bagasi, sesuai untuk pasangan atau keluarga kecil. – Foto ihsan Toyota
Setakat ini pengguna ditawarkan beberapa warna iaitu iaitu jingga metalik, kuning, perak metalik, merah, dan kelabu metalik.
Selain itu, Agya GR Sport juga didatangkan dengan rim aloi 14-inci serta brek cakera berliang di hadapan dan brek dram di belakang.
Bagaimanapun, Toyota hanya menghasilkan satu pilihan enjin 1.2 liter empat silinder berkuasa 88 PS dan tork maksima 108 Nm.
Rupa bentuk meter Agya GR Sport. – Foto ihsan Toyota
Penduduk di Indonesia berminat mendapatkan Toyota Agya GR Sport boleh berbuat demikian dengan tawaran jualan bermula pada 154.4 juta rupiah atau RM45,000 (transmisi manual).
Varian transmisi automatik empat-kelajuan pula dijual pada harga 170.4 juta rupiah atau RM50,000 sahaja.
MODEL Toyota Yaris generasi keempat telah memasuki pasaran Eropah sejak lebih setahun lalu.
Beberapa transformasi dilakukan Toyota terhadap Yaris iaitu dengan kewujudan model tiga pintu berprestasi tinggi (GR Yaris) dan crossover (Yaris Cross).
Terbaharu, Toyota sekali lagi membuat kejutan dengan manambah satu lagi model Yaris iaitu ECOVan.
Kelebihan Yaris ECOVan
Model ECOVan ini agak unik jika dibandingkan dengan varian Yaris yang lain.
Ia dibangunkan sebagai sebuah kenderaan komersial ringan dengan menawarkan ruang kargo lebih besar.
Yaris ECOVan merupakan sebahagian daripada barisan kenderaan komersial Toyota Professional.
Buat masa ini, ia hanya dijual di Sepanyol namun, ada kemungkinan turut bakal menembusi pasaran Eropah lain.
Terdapat dua varian ditawarkan Toyota iaitu Business Plus yang berharga 23,373 euro (RM117,240) dan Active Tech pada harga 24,498 euro (RM122,880).
Yaris ECOVan tampil lebih unik. – Foto ihsan Toyota
Sekilas pandang, bahagian luaran Yaris ECOVan tampak sama seperti versi standard lain.
Jadi, apakah sebenarnya penambahbaikan telah disuntik pada model ini?
Semuanya boleh didapati di bahagian tempat duduk penumpang yang mana Toyota mengeluarkan kerusi dan memasang lantai rata dan pelapik getah bertekstur.
Hasilnya, ruang kargo menjadi lebih luas sehingga 720 liter berbanding 286 liter sebelum ini.
Selain itu, turut dipasang adalah penghadang berjaring di belakang tempat duduk serta cangkuk pengikat bagi memastikan muatan besar dan berat boleh dibawa dengan selamat.
Yaris ECOVan dipacu oleh trenkuasa hibrid yang terdiri daripada enjin petrol 1.5-liter tiga silinder dan sebuah motor elektrik pada gandar hadapan.
Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 116 PS dan 120 Nm. Sementara itu, ia disalurkan ke roda hadapan oleh kotak gear jenis e-CVT.
Varian Business Plus didatangkan standard dengan lampu LED, rim 15 inci, skrin sentuh tujuh inci dan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Toyota Safety Sense.
Varian Active Tech juga mempunyai senarai kelengkapan yang sama.
Namun, ia didatangkan dengan penambahan lampu belakang LED, stereng balutan kulit, skrin sistem info hibur lapan inci dengan kamera pandang belakang serta Smart Entry dan Keyless Go.
Yaris ECOVan sesuai untuk mengangkut barangan. – Foto ihsan Toyota
PASARAN automotif Jepun menyaksikan kemunculan pertama Toyota Land Cruiser 300 baharu selepas diperkenalkan, Jun lalu.
Didatangkan dengan varian GR Sport, model ini dilengkapi aksesori menarik daripada Modellista.
Saiz yang begitu besar membuatkan model ini kelihatan begitu ‘gah’. – Foto ihsan Toyota
Antara kelebihan Toyota Land Cruiser 300 baharu termasuk tambahan spoiler hadapan, ruang bukaan udara serta kemasan krom dan hiasan jalur hitam pada fender.
Selain itu, Toyota Land Cruiser 300 baharu juga mempunyai skirting tambahan pada bampar belakang yang mempunyai kemasan seakan diffuser.
Para pelanggan juga diberi pilihan untuk melakukan penambahan aksesori lain seperti spoiler, plet krom dan paling utama, rim 21 inci!
Bahagian belakang Land Cruiser 300 yang sangat menawan. – Foto ihsan Toyota
Berikut antara beberapa aksesori lain yang terdapat pada Toyota Land Cruiser 300:-
Lampu kaki penumpang
Panel besi tepi pintu,
Pelekat cermin cahaya infra-red
Lampu but
Bagaimanapun, Toyota Land Cruiser 300 versi global tidak mempunyai spoiler, hiasan fender dan lampu tambahan bahagian dalam.
Bahagian rekaan rim juga agak berlainan bagi unit pasaran global yang mana ia juga didatangkan dengan dua warna sama ada hitam atau perak.
Ruang bagasi Land Cruiser 300. – Foto ihsan Toyota
TOYOTA Land Cruiser kekal popular di beberapa pasaran dan generasi terbaharu LC300 telah pun memperoleh 22,000 unit pra-tempahan di Jepun. Tetapi, Toyota Jepun melarang pemiliknya di sana menjual semula Land Cruiser ini dalam tempoh setahun pertama.
Menurut majalah Jepun, Creative311, pembeli harus menandatangani satu surat perjanjian menunjukkan mereka bersetuju untuk tidak menjual semula Land Cruiser mereka itu.
Dikatakan pemilik tidak dibenarkan menjual semula Land Cruiser mereka dalam tempoh 12 bulan selepas dibeli, dan jika didapati melanggar perjanjian, mereka tidak akan dibenarkan membeli Toyota lagi. Serius betul, mengapa?
Ada beberapa sebab. Paling utama ialah Toyota mahu mengelakkan dari pemilik menjual semula ke pasaran lain yang popular dengan harga lebih tinggi. Toyota mahu SUV ini dibeli oleh mereka yang mahu betul-betul menggunakannya, jadi seorang pembeli hanya boleh beli satu unit Land Cruiser.
Toyota juga berkata, “Terdapat risiko ia mungkin melanggar undang-undang tukaran asing, dan bergantung kepada destinasi eksport, ia boleh menyebabkan masalah yang mengancam keselamatan global.”
Maksud tersiratnya ialah Toyota risau Land Cruiser ini akan digunakan oleh kumpulan pengganas, seperti terbukti pada versi lama yang mana SUV ini dan Hilux menjadi pilihan.
Maka sebab itu, pembeli di Jepun harus mengesahkan pembelian itu bukan bertujuan untuk eksport atau tujuan jualan semula.
DENGAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sejak 1 Jun 2021, banyak operasi sektor perniagaan telah ditutup. Tidak terkecuali juga sektor automotif, mengakibatkan jualan kenderaan baru seluruh industri merudum bagi Jun.
Mengulas situasi berkenaan, Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Ravindran K. berkata, penutupan berterusan semua bilik pameran Toyota dan Lexus di seluruh negara bermakna tiada perniagaan yang boleh dilakukan.
Dalam masa sama, pengeluaran kenderaan termasuk usaha rantaian bekalan serta logistik juga perlu dihentikan sementara, lantas memberi cabaran tersendiri buat UMW.
Beliau menambah, “Kami berharap agar larangan pergerakan dapat dilonggarkan untuk membolehkan kami beroperasi dalam kapasiti terhad dan selamat.
“Kami selalu mematuhi semua SOP yang ditetapkan, seperti yang telah ditunjukkan tahun lalu.”
Dengan bilik pameran kekal ditutup, pelanggan masih boleh mendapatkan perincian berkaitan model-model Toyota dan Lexus melalui laman web masing-masing toyota.com.my dan lexus.com.my.
“Kami galakkan pelanggan untuk membuat tempahan secara dalam talian kerana itu membolehkan kami merancang pengeluaran di dua kilang pemasangan untuk mengurangkan tempoh menunggu sebaik sahaja larangan pergerakan ini ditamatkan,” tambah Ravindran.
Sokongan lepas jualan terpilih masih tersedia
Beberapa pusat servis UMW Toyota Motor terpilih terus beroperasi mengikut peraturan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, bertujuan untuk memastikan pemilik kenderaan boleh mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.
Bantuan 24/7 juga tersedia dan boleh didapati dengan menghubungi masing-masing di:
1-800-888-247 (Toyota)
1800-225- 3987 (Lexus)
Festival Toyota Gazoo Racing
Tahun ini meyaksikan penganjuran acara Festival Toyota Gazoo Racing (TGR Festival) memasuki tahun keempat berturut-turut.
Acara berkenaan semakin popular dan skala penganjurannya semakin berkembang setiap tahun, dengan tarikan utamanya ialah perlumbaan Vios Challenge yang merupakan satu-satunya perlumbaan one-make race di Malaysia.
“Ketika kami menganjurkan pusingan pertama yang mengujakan pada 2 Mac lalu di Litar Sepang, kami tidak sabar untuk membawakan pula pusingan kedua serta pengenalan Gazoo Racing Vios Sprint Cup dan Gazoo Racing Enduro Cup,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, yang juga merupakan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia.
“Mari kita sama-sama memainkan peranan masing-masing dan berdoa agar angka kes Covid-19 menurun segera, untuk membolehkan kerajaan memberi kelonggaran bagi penganjuran acara umum secepatnya,” tambahnya lagi.