Voge DS900X masuk pasaran Malaysia, harga RM49,998

MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan motosikal adventure Voge DS900X untuk pasaran tempatan, membawakan tanda harga RM49,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Dari segi spesifikasi, Voge DS900X dikuasakan oleh enjin dua silinder 895 cc menghasilkan kuasa 93.9 hp @ 8,520 rpm dan daya kilas 95 Nm @ 6,000 rpm.

Terdapat empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport dan Enduro, serta fungsi penukaran gear pantas (quickshifter) yang didatangkan secara standard.

Sistem gantungan terdiri daripada fork teleskopik terbalik di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak tunggal dan lengan ayun aluminium yang unik.

Aspek pemberhentian pula diserahkan kepada brek Brembo dengan rotor berkembar saiz 305 mm di depan, rotor tunggal 265 mm di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api 17 liter, tinggi pelana 835 mm, unit pencahayaan LED termasuklah lampu limpah, penghadang angin boleh laras serta sistem kekunci pintar.

Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT berwarna saiz tujuh inci.

Untuk kemudahan dan keselesaan semasa tunggangan, jentera ini hadir dengan slot pengecasan USB-A dan USB-C, soket 12V, penghadang angin boleh laras, pemanas bar hendal, pemanas pelanaa, kotak storan atas sebesar 45 liter serta dua kotak pannier sisi berkapasiti 35 liter setiap satu.

Keselamatan penunggang juga turut diberikan keutamaan dengan pemasangan crash bar, pelindung bar hendal, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kawalan jelajah automatik serta kamera perakam tunggangan (depan).

Voge Malaysia menawarkan jaminan perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun untuk setiap pembelian DS900X.

Voge CU525 masuk pasaran Malaysia – RM29,888

Selepas melancarkan Voge FR150 ke pasaran tempatan pada Mei tahun lalu, MForce Bike Holdings kini memperkenalkan satu lagi motosikal jenama Voge iaitu CU525.

Dijual pada harga bermula dari RM29,888, motosikal jenis cruiser itu menampilkan gabungan enjin 494 cc dua silinder dan transmisi enam kelajuan yang menghasilkan 53.1 hp pada 8,500 rpm dan 50.5 Nm pada 7,000 rpm.

CU525 mempunyai ukuran panjang 2,225 mm, lebar 845 mm dan jarak roda 1,480 mm. Tangki bahan apinya berkapasiti 15 liter, tinggi pelananya 710 mm manakala beratnya mencecah 178 kg tidak termasuk bendalir.

Ia didatangkan dengan rim berukuran 16 inci yang dibalut tayar bersaiz 130/90 di depan dan 150/80 di belakang.

Untuk sistem suspensi, CU525 menggunakan fork terbalik (USD) 41 mm di depan dan penyerap hentak berkembar di belakang, manakala sistem brek pula terdiri daripada angku J.Juan dan brek cakera pada kedua-dua bahagian.

Turut disertakan adalah ABS dwi saluran dan Traction Control.

CU525 tampil dengan lampu LED yang direka supaya sepadan dengan gaya bobber klasiknya, serta paparan digital berwarna yang memberikan sentuhan moden.

Ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu hijau, hitam dan biru.